الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام , وفضلنا على كثير من الأمم. والصلاة والسلام على سيدنا محمد
نبي الرحمات, وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات.
Mukaddimah
Yang dihormati Dato' Pengerusi Tetap, Sahibul Fadhilah Dato' Timbalan Mursyidul 'Am, Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato' Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda - Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Muktamar dan Ahli Jawatan kuasanya, sahabat-sahabat pimpinan dari Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, semua para jemputan, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.
Selamat datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan-rakan seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat, serta para pemerhati yang sudi bersama kami dalam muktamar kali ini di Ayer Itam, Batu Pahat, Johor.
Muktamar pada kali ini juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi pesawat hilang MH370 dan MH17 yang dibedil oleh pihak yang sangat tidak bertanggungjawab. Seluruh ahli dan kepimpinan PAS melahirkan kesedihan dan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa bersabar dan tabah dengan ujian ini. Kita juga mendesak pihak berkuasa kerajaan Malaysia supaya menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk mencari kebenaran dalam tragedi negara yang sangat mengejutkan itu.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,
Muktamar yang ke - 60 pada kali ini bertandang ke negeri Johor. Di sini lah pada awal 1920 bermulanya pengaruh Sarekat Islam apabila Haji Ibrahim Sidin dari Singapura menggerakkan penubuhan cawangan Sarekat Islam di Johor dalam keadaan masyarakat Islam menunggu lahirnya sebuah gerakan Islam dalam negara kita ini.
Bagi mengingatkan semua di kalangan pendukung parti ini, maka kita bermuktamar pada hari ini dengan tema Terus Beristiqamah. Kita ingin menyahut seruan Allah SWT :وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ . (الأنعام :153).
Dan sesungguhnya inilah jalan ku yang betul (istiqamah), maka jangan sekali-kali kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan pecah terpelanting keluar daripada jalannya (yang sebenar), begitulah Allah memberi peringatannya kepada kamu, supaya kamu bertaqwa (kepadanya).
Istiqamah dalam perjuangan kita ini, menuntut kita memahami erti sebenar manusia diciptakan, menerima amanah dari Allah SWT, dan seterusnya bersama kumpulan Islam menerusi PAS bagi memikul amanah khilafah ini. Ianya menuntut kita beristiqamah kepada panduan Allah dan Rasul dalam setiap gerak tindakan kita.
TERUS BERISTIQAMAH
Berasaskan kepada keyakinan terhadap teras perjuangan PAS inilah maka kita melafazkan rasa penuh syukur kepada Allah S.W.T. yang meletakkan kita dalam wadah Parti Islam SeMelaysia (PAS), di mana sejarah penubuhannya menjadi mata rantai perjuangan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
Kita sama-sama memahami dan meyakini bahawa Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak boleh dipadamkan, maka selagi kita beristiqamah (konsisten) di atas landasan Islam dan matlamatnya yang ditetapkan oleh Allah dan ditunjukkan perjalanannya oleh Rasulullah S.A.W, maka kita tetap berada di pihak yang benar dan berpijak di atas landasan hidup yang teguh. Maka kita akan selamat di dunia dan akhirat, walau pun menghadapi keadaan rebah dan bangun, kalah dan menang, serta belum dilihat hasilnya di alam dunia ini.
Kita juga difitnahkan oleh berbagai golongan tertentu untuk mencalarkan Islam yang sebenarnya, walaupun Islam itu adalah paling sempurna dan murni. Fitnah itu sama ada daripada musuh luar yang mewarwarkan sementara waktu agenda Islamofobia atau menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan kelompok jahil yang bersemangat tinggi melalui dalaman umat Islam sendiri. Semuanya akan gagal kerana mukjizat ilmu dari al-Quran dan Sunnah adalah tetap terpelihara dengan rapi dan amanah.
Islam yang kita imani dan hayati ini adalah dari petunjuk al-Quran (Kalam Allah) dan arahannya, supaya mengikut penafsiran Rasulullah S.A.W. yang dipilih oleh Allah bukan dipilih oleh kita. Manakala ilmu serta kebijaksanaan yang diwarisi pula adalah secara benar dan amanah oleh para ulama muktabar.
Bagi mengukuhkan kedudukan dan keaslian dasar perjuangan PAS, maka kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMA' ULAMA dan QIYAS. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, samada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini, manakala batasan pegangan PAS ini hendaklah berpandukan konsep Tafaqquh Fi al-Din.
Para pemimpin yang terdahulu daripada kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam Perlembagaan PAS menerusi nukilan Fasal 3 dan 7 yang memperincikan tentang Hukum, Kekuasaan dan Majlis Syura Ulama. Ianya diikuti oleh Fasal 8 yang mewajibkan penubuhan Majlis Syura Ulama dengan tugas dan fungsinya yang jelas. Semuanya wajib difahami dan diamal oleh seluruh ahli dan khususnya kepimpinan di semua peringkat.
Sepanjang perjalanan PAS sejak ditubuhkan sehingga kini, denai yang kita ikuti adalah penuh dengan ujian dan sarat dengan pengalaman. Kita bermula daripada sifar, kita pernah menjadi pembangkang paling sedikit jumlahnya, kita pernah menjadi kuat, kita pernah menyertai kerajaan pusat dan kita juga sedang memerintah kerajaan negeri.
PAS pernah bersendirian dan bertahaaluf dengan pihak lain dalam kerajaan dan tanpa kerajaan. Dalam semua keadaan ini PAS tidak pernah rugi, kerana kita sentiasa beristiqamah di atas dasarnya yang kukuh dan matlamatnya yang nyata. Hanya mereka yang beristiqamah bersama PAS sahaja yang selamat, mereka yang tidak istiqamah jatuh berguguran di sepanjang perjalanan kita. Maka jangan ada orang yang merasakan dirinya cukup kuat, tidak bijak tidak sabar dalam perjuangan, merasa sangat bijak dan boleh sewenang-wenang menyanggah dasar dan matlamat perjuangan kita.
Sepanjang perjalanan perjuangan ini juga, ada di kalangan ahli yang hidup selesa dengan kegiatan Parti yang mengembirakan kerana bersama pengikut yang ramai, dan organisasi jamaah yang baik dan kuat. Ada pula ahli yang disisihkan di tengah masyarakat paling jahil dan zalim terhadapnya, cawangannya lemah atau tanpa cawangan.
ISTIQAMAH TERHADAP DISIPLIN ILMU DAN TARBIYAH
Kita mestilah meletakkan agenda ilmu dan beramal dengan ikhlas, bersama konsep tarbiyah yang sangat penting dalam parti. Tarbiyah mendidik diri masing-masing dengan ilmu dan kefahamannya, mengeratkan hubungan kita dengan Allah, hubungan dengan jamaah sendiri dan ahli, hubungan dengan semua kumpulan Islam dan anggota masyarakat majmuk yang wajib diselamatkan bersama Islam dengan rahmat Allah dan adilnya.
Tarbiyah mengikut acuan Allah ialah, ilmu fardu ain dalam aspek aqidah, syariat dan akhlak secara menyeluruh menjadikan kita beristiqamah. Ilmu dan amal yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim dan muslimah, ilmu yng diimani dan diamalkan, serta diperjuangkan demi menegakkannya dengan penuh keikhlasan. Ada pun mendalami Islam secara feqah dan semua ilmu keperluan duniawi berpandukan Islam adalah menjadi fardu kifayah bagi kewajipan yang memampukan kita melaksanakan risalah (mesej) rahmat Islam terhadap semua.
Kita telah berjaya menggabungkan semua kalangan ilmuan ini sejak mula ditubuhkan, sehingga PAS kaya dengan semua kepakaran terkini. Namun peningkatannya wajib dilakukan dalam semua aspek ilmu dan tarbiyah secara istiqamah. Untuk mendapat petunjuk dari Allah S.W.T. maka kita wajib memohon pertolongan Allah pada setiap rakaat salat:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
ISTIQAMAH PAS DALAM MUWAJAHAH SILMIYYAH
Kita berada dalam bahtera negara yang sangat mencabar, bukan sahaja dikelilingi gelombang hubungan antara bangsa yang sangat bergelora, bahkan keadaan dalam negara ini sendiri yang sangat bercelaru, kerana tidak diurus dengan baik dan bijak. Walau pun begitu PAS tetap tegas memilih pendekatan muwajahah silmiyyah bersama konsep demokrasi walau pun banyak ketempangannya. Apa yang nyata ialah kita menghadapi kelemahan dalaman umat sendiri dan tanahair tempat kita berpijak, sangat berbeza dengan musuh asing yang datang menyerang dan menjajah. Inilah sabda Rasulullah S.A.W :
مَثَلُ القَائِمِ في حُدودِ اللَّه، والْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سفينةٍ فصارَ بعضُهم أعلاهَا وبعضُهم أسفلَها وكانَ الذينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الماءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا في نَصَيبِنا خَرْقاً وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أَرادُوا هَلكُوا جَمِيعاً، وإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِم نَجوْا ونجوْا جَمِيعاً". رواهُ البخاري.
(Bandingan orang yang tegak di atas sempadan Allah dengan orang yang (MELAMPAU) menceroboh ke dalamnya laksana satu kumpulan yang menaiki kapal bahtera. Maka ada kalangan berada di atas dan ada kalangan yang berada di bawah. Jadilah kalangan berada di bawah itu kalau memerlukan air terpaksa melalui kalangan yang berada di atas mereka. Lalu mereka berkata : "Kalau kita tebukkan sahaja kapal ini tanpa mengganggu sesiapa yang ada di atas kita ?. Kalau dibiarkan kapal ditebuk (oleh pengacau) mengikut kemahuan itu, nescaya semuanya binasa (tenggelam), kalau dihalangnya daripada menebuk kapal, nescaya semuanya selamat").
Di sinilah PAS beristiqamah sehingga kita bersyukur apabila mencapai kejayaan walau pun sedikit peluang dan masanya, dan bersabar apabila belum mencapai kejayaan kerana banyak halangannya. Namun PAS tidak menjadikan rakyat yang lemah sebagai mangsa yang disalahgunakan untuk mendapat kuasa, atau sama ada kerana ingin menang dengan gopoh, atau tidak bersabar menunggu kemenangan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga sanggup melakukan apa sahaja, walau pun rakyat yang lemah menjadi mangsa ditipu, dibeli dan dikacau atau tanahair ini menjadi bahtera yang ditenggelamkan.
Ahli-ahli PAS wajib teguh dan bersabar walau pun terpaksa menghadapi kesulitan perjalanan yang jauh kerana amalan demokrasi yang tidak adil dan berdepan dengan rakyat yang jahil ilmu dan maklumat. Cabaran ini semua wajib dihadapi dengan istiqamah dan bersabar dengan penuh kebijaksanaan.
Perjalanan yang sangat mencabar ini, sebenarnya membersihkan Jamaah Islam seperti PAS daripada anasir hipokrit dan yang lemah imannya, dari individu yang tidak sabar dalam tindakan sehingga tidak istiqamah dalam perjuangan ini. Mereka sebenarnya adalah golongan yang tidak sabar dalam perjuangan. Marilah kita menghayati firman Allah:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَـكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu dengan ramai, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ""Jika kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu"" Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. [at-Taubah: 42]
MEMAHAMI IJTIHAD PAS: ISTIQAMAH DALAM TAHAALUF SIYASI
Sejarah perjuangan panjang PAS dalam persada politik tanahair bukan sahaja membekalkan kepada kita ilmu bahkan pengalaman yang tidak banyak diperolehi oleh gerakan Islam lain. Penglibatan PAS dalam sistem demokrasi memberi ruang kepada kita untuk melebar sayap pengetahuan tentang sistem politik Islam kepada rakan-rakan gerakan Islam lain di seluruh dunia. Manakala pengalaman kita mengadakan pelbagai tahaaluf dengan hampir semua parti politik utama dalam negara sejak tahun lima puluhan lagi, dan terkini tahaaluf bersama Pakatan Rakyat, di samping penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)di kalangan bukan Islam, adalah merupakan khazanah kekayaan sistem politik Islam yang sangat mahal harganya.
Tahaaluf yang dilaksanakan ini mestilah memperkuatkan parti, dan bukan sebaliknya. Amat malang bagi kita sekiranya tahaluf ini menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan kita, mengkucar-kacirkan kita, sehingga ada yang pening dan mabuk lantaran sanggup berlawanan sesama sendiri.
Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain, sehingga hilang prinsip dan jati diri kita, atau hanya menjadikan ukuran kemenangan semata-mata sebagai matlamat, sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam. Matlamat kemenangan mesti digunakan bagi memperteguhkan prinsip Islam yang bersifat syumuliyyah.
Saya ingin mengingatkan pimpinan dan ahli parti, bahawa perjuangan kita adalah kerana Allah. Perjuangan kita kerana Islam, perjuangan kita adalah mata rantai sejak zaman Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mestilah berada di atas landasan syarak dan memperolehi pahala di sisi Allah. Bukan sekadar politik biasa sebagaimana yang difahami oleh Barat. Paksi perjuangan kita mestilah teguh dan kukuh kerana ianya berpaksikan kepada aqidah tauhid.
Inilah keindahan siyasah Islam kerana membenarkan tahaaluf antara mana-mana golongan yang tidak memusuhi Islam. Prinsip tahaaluf ini membuktikan Islam bukanlah agama ekstrem sebagaimana yang dijaja oleh media barat. Sebagai sebuah gerakan yang berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah, maka setiap langkah tahaaluf kita mestilah mempunyai sandaran dan terikat dengan syarat-syarat tahaaluf yang berpaksi kepada kedua sumber tersebut, tanpa merugikan kepentingan Islam. Firman Allah,
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : "Bertolong bantulah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya" [al-Maaidah : 102]
Oleh yang demikian, dengan merujuk kepada syarat-syarat tahaaluf yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS serta hukum tertinggi PAS, maka PAS akan terus istiqamah dengan tahaaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat (takbir) selama mana tidak berlaku pelanggaran syarat yang telah digariskan (takbir). Justeru Nabi Muhammad saw telah mengajar kita:
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا, او أحل حراما
"Seorang muslim wajib menunaikan persyaratan yang telah disepakati kecuali persyaratan yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram." (HR. Muslim)
Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah khianat kepada rakan tahaaluf kita, maka kita minta rakan tahaaluf kita juga tidak mengkhianati tahaaluf ini. (takbir) Sebagai sebuah parti politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum ianya dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS mahu menyertai UMNO atau bergabung dengan UMNO menyertai BN adalah api fitnah yang dicetus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecah belahkan keutuhan jamaah kita. Namun sebagai sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali Allah.
PAS juga tetap menghubungkan silaturrahim dengan semua pihak berpandukan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, saling bantu membantu dalam usaha menegakkan syariat, membuka ruang dialog dan wacana demi kebaikan dan masa depan ummat Islam Firmah Allah:
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. [al-Imran : 103]
ISTIQAMAH DALAM MENYANTUNI MASYARAKAT MAJMUK
Walau pun tanahair kita ini mempunyai sumber alam kurnia Allah yang kaya raya, tenaga manusia masyarakat majmuk berbagai kaum, budaya dan kebolehan, namun ianya masih diolah dengan cara yang salah oleh kepimpinan negara kita. Sepatutnya dengan sumber-sumber yang ada dan kemampuan yang tersedia, ianya akan membolehkan kita merdeka dari berkiblatkan kepada timur dan barat. Tetapi apabila ianya tidak dimanfaatkan dengan cara yang betul, maka sumber yang berfaedah itu menjadi sia-sia dan masa sudah lama terbuang, walau pun dikatakan merdeka daripada penjajahan asing sejak lebih daripada setengah abad mempengaruhi kita.
Inilah akibatnya apabila kita masih meneruskan agenda penjajah yang dijadikan pusaka oleh kalangan tertentu yang masih bertapak mempertahankan kuasa dengan apa sahaja tanpa melakukan perubahan dan islah walau pun tanpa maruah diri kerana sarat dengan kesalahan dan kelemahan. Akhirnya kita berterusan berada dalam kepompong sistem warisan penjajah walau pun bebas daripada penjajah ketenteraan dan imperialis asing, namun kita masih dibelenggu dengan penjajahan pemikirannya.
Masyarakat majmuk yang sengaja diatur oleh penjajah dahulu adalah bertujuan untuk meneruskan masalah perpecahan kaum yang sentiasa diapi-apikan, bagi mengekalkan peluang mereka menjajah lagi secara halus. PAS menerima kepelbagaian masyarakat dalam negara kita ini sebagai jalan untuk saling kenal mengenal dan memperkuatkan di antara satu sama lain. Sepatutnya kita berpegang kepada konsep berbagai kaum yang ditunjuk oleh Al Quran:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
(Wahai manusia !, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa -bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia kalangan kamu di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqwa (mentaati Allah). Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya) [al-Hujurat : 13].
Islam juga memperkenalkan konsep masyarakat madani secara sejagat, dalam amalan politik, ekonomi dan social, dengan ilmu dan berakhlak tanpa paksaan dalam perkara agama dan budaya dan saling mengerti. Kita juga sedar bahawa ada perbezaan bangsa dan agama serta pertembungan budaya dan tamadun di antara satu sama lain, tetapi Islam berjaya menyelesaikan masyarakat majmuk melalui pendekatan banyaknya titik persamaan dari segi fitrah kemanusiaan dan keperluan hidup bermasyarakat.
Di antaranya ialah memperkenalkan konsep adil terhadap semua yang menjadi ciri ketakwaan dalam ajaran Islam yang meninggikan martabat manusia di sisi Allah. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, Jadilah kamu orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali dengan sebab kebencian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dengan mendalam apa-apa sahaja yang kamu kerjakan [al-Ma'idah : 8]
Sebab itulah kedatangan Islam ke negara lain dinamakan Futuhat (pembukaan untuk pembebasan daripada kezaliman), bukannya Isti'mar (penjajahan). Kerana pemerintah Islam tidak memperhambakan rakyat dan merampas harta rakyat dan harta negeri yang dikuasai, konsep yang sangat berbeza dengan penjajahan (Imperialisme) yang dilaksanakan oleh penaklukan barat terhadap negara lain, dan kerajaan zalim daripada bangsa sendiri.
ISTIQAMAH TERHADAP PRINSIP DALAM BERNEGARA
Islam juga telah memberi sumbangan besar kepada tamadun dunia yang maju pada hari ini dengan mengambil segala yang baik dan positif daripada tamadun semua bangsa sebelumnya yang bertembungan, bertukar kepada pertautan dengan konsep menerima segala yang ma'aruf dan menghapuskan segala yang mungkar dalam seluruh kehidupan manusia, serta mencari dan mengekalkan kebijaksanaan kaum lain, walau pun daripada kalangan bukan Islam, kerana sabda Rasulullah S.A.W :
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها فهو أحق بها
ابن ماجه
Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak (mengambilnya).
Islam tidak memaksa perkara yang haram dalam ajaran Islam terhadap pihak lain dan mereka juga diwajibkan menjaga sensitiviti umat Islam. Amalan menghormati agama lain ini telah berlaku dalam masyarakat Islam terhadap bukan Islam sehingga kini. Hal ini dapat difahami oleh penganut Islam yang sebenar walau pun dalam keadaan negaranya tidak beramal dengan syariat Islam yang sempurna.
Di zaman Islam menjadi kuasa besar dunia, berbagai bahasa termasuklah bahasa Arab, Turki, Farsi, Urdu pernah menjadi bahasa rasmi negara berkenaan, bahkan bahasa Melayu tulisan jawi menjadi bahasa rasmi alam Melayu. Tamadun Islam pula berjaya ditegakkan dengan kemajuan ilmu semasa. Mengapa kini kita tidak mampu memperkasakan bahasa Melayu yang hanya diisytiharkan menjadi bahasa kebangsaan, tetapi dalam pelaksanaannya dipinggirkan? Walau pun bahasa ini telah menjadi bahasa perantaraan di rantau ini. Ini adalah salah satu contoh kegagalan kerajaan yang ada ini setelah memerintah lebih dari setengah abad.
Apa yang sepatutnya berlaku ialah, bahasa asing ini digunakan untuk mendapat dan memperluaskan ilmu, dan bukannya dipaksakan ke atas semua rakyat. Ada pun mengilmukan rakyat hendaklah dengan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda kaum masing-masing. Firman Allah:
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ
(Dan di antara tanda-tanda (ketuhanan Allah) ialah ciptaan langit dan bumi, dan berbagai-bagai bahasa dan warna kalangan kamu. Sesungguhnya itu semua adalah menjadi dalil-dalil yang ditunjukkan kepada orang-orang yang berilmu) [ar-Rum : 22]
Islam juga mengharamkan assobiyyah. Assobiyyah bermakna taksub terhadap kaum dan bangsa sendiri walau pun berlaku zalim. Perkara ini ditegaskan oleh sabda Rasulullah S.A.W.
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ» سنن أبي داود (4/ 332).
(Bukan daripada kalangan kita orang yang mengajak kepada asobiyyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang diatas dasar asobiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang mati kerana asobiyyah).
ISTIQAMAH MERUBAH KONSEP YANG SALAH
Pemisahan agama daripada urusan kehidupan manusia (way of life) dengan sistem pelajaran, pendidikan dan media maklumat adalah merupakan satu konsep ciptaan sekularisma barat yang tidak mampu menangani pekembangan ilmu sains dan teknologi yang berlaku dalam tamadun barat di waktu ini.
Dasar, sistem dan konsep pendidikan sedia ada pula masih gagal membangun insan yang sebenar, kerana membekal ilmu tanpa roh, iman dan akhlak. Semuanya kerana melaksanakan sistem pendidikan mengikut acuan sekularisme yang memisahkan ilmu daripada iman dan akhlak, dunia dan akhirat. Urusan keduniaan dipisahkan daripada agama. Pada hal Allah telah meletakkan acuannya dalam wahyu pertama kepada Rasulullah S.A.W.
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (العلق:1-4).
Bacalah dengan nama Tuhan mu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah (campuran mani lelaki dan perempuan). Bacalah dengan nama Tuhan mu Yang Paling Mulia. Dia telah mengajar manusia dengan kalam (alat tulis). Dia telah mengajar manusia apa-apa yang manusia tidak tahu. [al-'Alaq : 1- 4]
Allah Tuhan pencipta alam seluruhnya, mencipta manusia dengan sifat fitrah yang diletakkan di alam bumi dengan tugas hamba Allah yang memakmurkannya dengan rahmat dan adil. Allah juga telah menetapkan kepada manusia, acuan ilmu yang mentarbiyah mengikut fitrahnya, disertakan kemampuan dan panduan yang betul. Konsep dan sistem yang menghubungkan manusia sesama mereka dan juga dengan makhluk yang lain di alam langit dan bumi, berprinsipkan iman kepada Tuhan pencipta alam dan beriman kepada adanya hari akhirat.
Kemusnahan semua kuasa besar yang paling kaya, kuat dan maju adalah apabila terkeluar daripada acuan Allah yang dibawa oleh para Rasul a.s. Maka PAS wajib beristiqamah di atas acuan Islam, tanpa peduli sama ada orang lain percaya atau tidak.
Apa yang paling menyedihkan kita ialah, di atas sifat gagalnya kita mendalami khazanah sumber Islam yang kaya itu, maka ada di kalangan masyarakat kita beranggapan bahawa ideologi ciptaan manusia seperti komunisme, sekularisma, sosialisma, kapitalisma dan seumpamanya ini sebagai tidak bersalahan dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, maka PAS mestilah menjadi benteng umat Islam dari dirosakkan oleh penularan ideologi ciptaan manusia dari bercambah dalam masyarakat kita ini.
ISTIQAMAH MEMPERJUANGKAN SYARIAT ALLAH
Ketidak stabilan politik, ekonomi dan sosial berlaku apabila adanya manusia yang berlagak Tuhan yang maha suci daripada segala kelemahan dan kekurangan. Keadaan ini berlaku apabila acuan sekularisma menjadikan kefahaman bahawa urusan dunia dipisahkan daripada agama yang meletakkan aspek kuasa Allah dan adanya kepercayaan hari akhirat dengan perhitungan dosa dan pahala.
PAS mengajak seluruh manusia dan umat Islam secara khusus supaya kembali kepada Syariat Islam yang sempurna tanpa kongkongan terhadap akal, pengalaman dan kajian ilmu kurnia Allah kepada mereka.
Islam menggalakkan kepada menggunakan akal, menuntut ilmu dan membuat kajian di seluruh pelosok bumi dan angkasa lepas, namun Allah yang memberi rahmatNya melimpah ruah terhadap manusia tidak membiarkan mereka hanyut dengan sebab kelemahan makhluk yang tetap ada pada diri mereka. Maka kitab Allah yang dibawa kepada umat ini iaitu Al Quran, adalah kurnia Allah yang wajib menjadi petunjuk yang diimani dan diamalkan. Hanya orang-orang yang beristiqamah sahaja menerima petunjuk ini. Firman Allah:
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.
Berasaskan kepada hakikat inilah, maka PAS tetap istiqamah dalam memperjuangkan isu syariat Islam, termasuklah juga isu-isu pendidikan dalam negara kita, isu hubungan federalism yang lebih adil, pengagihan kekayaan dan sumber negara secara lebih adil, isu royalti petroleum ke negeri-negeri yang berterusan menjadi agenda penting, memupuk perpaduan kaum, dan menolak undang-undang yang bersifat zalim dan menindas. Agenda-agenda ini akan diteruskan menerusi Lajnah-Lajnah, PAS Negeri dan menerusi pembentukan jawatankuasa yang berkaitan.
ISTIQAMAH MENGISLAH EKONOMI NEGARA
Kerajaan baru sahaja mengumumkan prestasi terkini ekonomi Malaysia iaitu pertumbuhan 6.4% untuk separuh pertama tahun 2014. Namun secara keseluruhannya daya tahan ekonomi Malaysia masih belum kukuh dan mempunyai daya tahan yang sepatutnya. Ini mengambil kira hutang sektor awam yang masih tinggi dan defisit bajet negara yang masih tinggi.
Secara umumnya, PAS istiqamah untuk membangunkan sebuah sistem ekonomi berteraskan khazanah Islam yang sangat luas sehingga benar-benar dapat memobilisasi sumber-sumber kekayaan negara dengan baik dengan menggunakan 'modal insan yang terlatih' dan berakhlak, sehingga lahirnya kemakmuran dalam negara dan kesejahteraan rakyat.
PAS istiqomah dalam mendukungi matlamat membangunkan sebuah 'Negara Berkebajikan' yang bakal melahirkan suasana kemakmuran yang dikecapi oleh semua golongan rakyat. PAS sekaligus komited untuk terus berusaha membenteras kewujudan jurang kaya-miskin yang semakin melebar serta pembolotan kekayaan negara oleh segelintir manusia yang tersangat-kaya akibat dari amalan memanipulasi pasaran. Inilah yang menyebabkan tidak berlakunya persaingan sihat dan terbuka serta diparahkan lagi dengan amalan kronisme-nepotisme dan terbelenggu dengan penyakit ketirisan seperti yang laporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara saban tahun.
PAS mendesak supaya kerajaan membatalkan pelaksanaan GST kerana eko-sistem ekonomi Malaysia dan suasana mikro/makro ekonomi Malaysia masih tidak bersedia untuk GST. PAS mahukan sistem cukai pendapatan dikaji semula kerana wujud ketidakadilan dari segi cukai yang dikenakan kepada golongan berpendapatan sederhana (middle-income) berbanding yang sangat kaya. Kesemua ini, termasuk menghentikan pemberian AP kepada kroni-kroni, pastinya mampu menjana hasil untuk negara daripada langkah GST yang membebankan semua rakyat secara langsung.
Pengumuman Perdana Menteri tentang pertumbuhan KDNK 6.4% dalam suku kedua 2014 serta pengisytiharan yang dibuat seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa pendapatan purata rakyat Malaysia telah mencecah RM5,900 sebulan adalah "propaganda angka" yang biasa sahaja dilakukan kerajaan BN. Apakah makna angka-angka ini kepada rakyat teramai?
Kepada rakyat teramai, mereka mahu tahu mengapa negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan, adalah negeri-negeri termiskin di Persekutuan Malaysia, sedangkan negeri inilah yang paling kaya di segi hasil minyak dan dan gas serta kayu-kayan dan logam? Mereka tak mahu tahu tentang angka yang tidak ada erti dengan kehidupan mereka yang terbeban dengan kos saran hidup yang tinggi dan bakal di 'Gasak Sampai Tumbang' oleh GST tahun depan?
PAS mahu Kerajaan bertanggungjawab terhadap menguruskan kekayaan negara supaya tidak berulang tadbir-urus yang memalukan seperti ditunjukkan oleh syarikat penerbangan negara kita, MAS, yang pernah menjadi kebanggaan rakyat dan menggondol pelbagai pingat dan anugerah. Jumlah hutang MAS berada pada tahap RM10 bilion kepada bank-bank tempatan dan RM2.5 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam bentuk sukuk.
Kita sama-sama lihat bagaimana kerajaan yang memiliki MAS pada masa itu telah memberikan kontrak yang sangat tidak adil seperti kontrak selama 25 tahun bernilai RM6.25 bilion yang antaranya mengenakan harga RM45 sebungkus nasi lemak, sebagai paling tidak wajar dan 'zalim' kepada rakyat untuk diteruskan. Inilah antara gaya tadbir-urus pemerintahan UMNO-BN yang menjahanamkan aset-aset negara dan membawa kerosakan dan kemungkaran dalam ekonomi dan pembangunan.
Secara keseluruhannya dan prinsipnya, adakah kerajaan BN sendiri sebenarnya tidak yakin kepada ekonomi berkat dengan sifat takwa iaitu meninggalkan yang haram dan amalan haram seperti rasuah, dan salah laku dan boros? Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya [al-A'araf 96]
SERUAN KEPADA DEWAN-DEWAN DAN PAS NEGERI
Muktamar kali ini pula dilangsungkan setelah kita bermuktamar kurang dari setahun yang lalu, maka tentulah masih ada aspek tertentu dari muktamar lalu yang perlu dilihat-laksanakan kembali. Antaranya ialah pemantapan gerakerja Dewan Himpunan beserta dengan pembinaan modul-modul latihan yang bersesuaian untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan (DHPP) yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu dari sayap parti yang penting, menjadi jambatan atau pintu yang menghubungkan rahmat Islam perjuangan PAS kepada kaum bukan Islam. DHPP ini juga wajar dikembangkan ke setiap negeri, di mana peranan mereka dibina dan diperkuatkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri sendiri.
Kita juga telah bersetuju supaya semua PAS Negeri mesti berterusan mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah. Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah.
Dewan-Dewan pula yang menjadi benteng perjuangan kita, wajar dibajai dengan persiapan diri dengan pengetahuan dan pengalaman yang mendalam sebelum turun ke medan memimpin masyarakat, dengan lebih memahami realiti politik semasa dalam masyarakat berbagai lapisan yang ada ini. Peluang kemenangan yang dilihat seperti hampir dan cabaran baru di era alam maya juga memerlukan ulama, pemuda dan muslimat untuk menguruskan cabaran tersebut secara berhemah dan berstrategi. Tarbiyah ulama, pemuda dan muslimat pula perlu dinamik, bukan hanya untuk melahirkan pemimpin parti yang murni fikrah perjuangannya tetapi juga untuk membentuk pemimpin masyarakat dan negara yang mempunyai sakhsiah, keterampilan yang tinggi dan mampu merungkai persoalan-persoalan besar yang mewarnai kehidupan bernegara.
ISTIQAMAH UNTUK MEMBAWA KEBAIKAN MENERUSI MEDIA BARU
Kebelakangan ini, PAS bukan sahaja diserang bertubi-tubi oleh media arus perdana yang masuk ke dalam setiap buah rumah sehingga mewujudkan situasi tidak seimbang di kalangan rakyat. Malah serangan dikalangan ahli-ahli PAS sendiri lebih teruk lagi menggunakan media sosial terutama FB, Twitter dan sebagainya sekarang ini sendiri seolah-olah mereka yang terlibat dalam perang siber ini sudah hilang punca. Firman Allah SWT:
أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ النَّاسِ مَن يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَابٍ مُّنِيرٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah mempermudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi, dan telah melimpahlan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahin dan batin. [Luqman : 20]
Media baru dalam dunia tanpa sempadan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan dakwah dan tarbiyah bagi memperbetulkan manusia dan mengembalikan manusia ke jalan yang benar. Saya bersetuju dengan saranan Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia yang menyarankan tiga langkah jangka panjang yang boleh dijadikan polisi dan garis panduan dalam memanfaatkan komunikasi dan sebaran maklumat secara pantas melalui media baru ini agar lebih bertanggungjawab dan berhikmah iaitu:
- Tanggungjawab kepimpinan dalam memanfaatkan ICT dan Media Baru di mana kepimpinan dan ahli-ahli PAS perlulah memikul amanah dan bertanggungjawab dengan apa jua maklumat yang berpunca dari diri mereka.
- Memanfaatkan Laman Web dan Media Sosial rasmi PAS untuk sebaran maklumat rasmi organisasi dengan lebih bertanggungjawab, terurus dan mengandungi mesej dakwah dan kebenaran melalui proses penyebaran yang selamat.
- Sentiasa memantau saluran media baru seperti blog dan media sosial demi mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan perjuangan Islam itu sendiri.
Media organ parti seperti Harakah dan Harakahdaily perlu dikembangkan kandungan dan capaiannya dari masa ke semasa terutamanya dalam menghadapi fenomena ledakan maklumat perang siber sekarang ini. Kerjasama pintar bersama dengan agensi media swasta dari rakan-rakan gerakan Islam yang lain diperingkat antarabangsa perlulah dimulakan.
Seperti yang ditegaskan dalam muktamar-muktamar sebelum ini, media parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm, mestilah berusaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan bagi disampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihan raya bagi meghadapi PRU ke-14 nanti. Kita juga jangan sekali-kali terpengaruh dengan pendekatan sensasi-songsang yang bertujuan melariskan jualan semata-mata tanpa memikirkan hukum-hakam dalam melaporkan sebarang berita.
Marilah kita memahami peringatan yang dinyatakan oleh Allah SWT dengan firmanNya :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. [al-Hujurat :6]
LUAR NEGARA YANG BERGOLAK: ISTIQAMAH DALAM PERANAN KITA
PAS amat tersentuh dengan apa yang berlaku di bumi Gaza. Serangan demi serangan serta pencerobohan tentera Zionis ke atas bumi suci ini yang menggunakan segala kelengkapan tentera telah mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta merupakan satu jenayah perang yang besar.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Gerakan Muqawamah di Gaza yang telah berjaya dengan kentalnya berhadapan dengan kekejaman tentera Zionis yang menyerang bumi Gaza selama hampir 2 bulan. Mereka telah berjuang dengan pengorbanan darah dan nyawa demi mempertahankan bumi suci ini.
Sekali lagi saya ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap intifadhah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi suci Palestin. PAS mengutuk sikap 'double standard' Kuasa Barat yang mempertahankan segala tindakan zalim dan dan tidak bertamaddun ini kononnya atas dasar 'memerangi keganasan'. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa.
PAS amat tersentuh dengan apa yang berlaku di bumi Syria, Iraq, Libya dan Mesir. Pertumpahan berdarah yang sedang berlaku di Syria mesti dihentikan segera. Apa yang kita sedang lihat adalah amat trajis dan memilukan. Kini lebih 200,000 orang rakyat Syria yang kebanyakannya rakyat awam yang terbunuh dan lebih dari 4 juta rakyatnya terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran.
Lebih parah lagi kini dunia Islam dikejutkan dengan kemunculan kumpulan yang dinamakan ISIL (ISLAMIC STATE OF IRAQ and SYRIA) dan kumpulan yang bertindak secara melampau tanpa memahami fiqh-jihad. Mereka berperang sesama sendiri sehinggakan dianggarkan lebih 3000 yang dikaitkan dengan pejuang mujahidin terbunuh akibat pertempuran sesama sendiri.
Saya ingin tegaskan sekali lagi, PAS tidak mahu dan tidak akan membenarkan ahlinya terlibat dengan mana-mana kumpulan yang bertindak ganas melangkaui fiqh-jihad, malah bercanggah dengan etika berperang dalam Islam.
Campurtangan asing juga tidak boleh sekali-kali dibenarkan di bumi umat Islam. Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan asing. Yang pasti rejim kejam Bashar Al-Assad mesti diturunkan segera. Bagi rakyat di Mesir dan Iraq pula, biarlah rakyat mereka di negara masing-masing menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan Kuasa Barat yang cuba memporak-perandakan negara-negara ini.
PAS juga amat prihatin terhadap nasib umat Islam di rantau ini iaitu di Bangladesh dan Myanmar. Umat Islam di kedua-dua negara yang bergolak ini terus dibebani dengan konflik yang tidak nampak jalan penyelesaiannya. Di Bangladesh, pertumpahan berdarah masih berterusan sehingga sekarang. Begitu juga di Myanmar. Penduduk minoriti Rohingya telah di halau dari bumi mereka sendiri dengan berlakunya pembantaian umat Islam dengan membakar perkampungan mereka, sekolah-sekolah serta masjid-masjid yang mengakibatkan beribu-ribu umat Islam Rohingya kini menjadi pelarian.
PAS ingin membuat seruan terbuka kepada kedua-dua negara jiran kita agar kekejaman ini di hentikan segera. Saya ingin menegaskan bahawa PAS sentiasa mencari jalan bagi membantu saudara-saudara kita di Bangladesh, Myanmar, Kashmir dan Selatan Thai.
PAS juga mendesak kepimpinan negara umat Islam supaya sedar dari tidur mereka, tidak mementingkan tampuk kuasa dan kedudukan sehingga menyebabkan badan dunia Islam seperti OIC, dan badan dunia yang lain seperti PBB, ASEAN, NAM hanya sekadar menjadi pemerhati ketika mana umat Islam diusir dan dizalimi di serata dunia.
SERUAN
Maka muktamar kali yang ke 60 ini pula, sebagai kesimpulan, kita akan memfokuskan kepada tiga aspek hala tuju pemantapan, iaitu:
(1) Organisasi parti – istiqamah terhadap dasar perjuangan PAS, merapatkan ukhuwwah dan saf, memperkukuhkan organisasi, memperbaiki akhlak berjamaah, memahami persoalan fiqhu-tho'at, memperkemaskan gerakerja, memberdayakan tarbiyah dan aktiviti dakwah di medan baharu;
(2) PAS dalam negara – istiqamah PAS terhadap melakukan perubahan dalam negara ke arah negara yang lebih baik, menentang amalan rasuah – ketirisan – penyelewengan, istiqamah terhadap peranan PAS dalam masyarakat, istiqamah untuk membetulkan salah faham terhadap Islam, menyedarkan masyarakat kepada kehidupan beragama di mana Islam adalah sebagai cara hidup, menekuni hubungan kaum dan agama yang lebih aman dan adil;
(3) PAS di luar negara – istiqamah PAS untuk memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam urusan dunia antara bangsa yang lebih aman dan adil.
PENUTUP
Akhirnya, marilah sama-sama kita perteguhkan jamaah, perkukuhkan saf perjuangan, perkemaskan fikrah, dan mantapkan keyakinan kita kepada janji Allah S.W.T. kepada sesiapa yang berjuang di jalan Nya, yang berbeza dengan yang tidak berjuang, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللّهُ الَّذِينَ جَاهَدُواْ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ (3:142)
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar". [al-Imran : 142]
Akhirnya, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengerusi, Pengarah dan Jawatankuasa Panitia Muktamar, Badan Perhubungan PAS Johor, Petugas-petugas, anggota Jabatan Amal dan semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-60 ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t.
Saya RASMIKAN Muktamar PAS kali ke-60 ini dengan menyebut sabda Rasulullah S.A.W. :
سيروا على بركة الله .
وآخر دعوانا أن الحمدلله رب ا لعالمين .
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر , ولله الحمد .
TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan