|
Sekadar foto hiasan |
IMEJ gadis Melayu bertudung litup dan berperwatakan lembut dianggap tidak sesuai untuk menceburkan diri dalam sukan ekstrem yang rata-rata dimonopoli golongan lelaki.
Selain sukar untuk menyesuaikan diri, masyarakat juga akan memandang sinis pembabitan mereka terutamanya dalam sukan permotoran. Istilah minah rempit atau gadis liar pasti ditujukan kepada mereka.
Bagaimanapun, Nasha Edziera Muhammad Bahauddin, 19, berjaya menyangkal persepsi negatif itu, sekali gus membuktikan bahawa kaum Hawa juga setanding kaum Adam.
Anak sulung daripada empat adik-beradik itu tidak gentar untuk menyertai sukan permotoran yang menguji fizikal, mental, daya ketahanan badan dan kemahiran memacu motosikal pada kelajuan yang tinggi.
Nasha memberitahu, selain mengejar cita-cita untuk menjadi pelumba profesional, dia turut berazam untuk berdakwah dengan mengekalkan perwatakan sebagai gadis Melayu yang beragama Islam.
"Saya memang tidak boleh mengelak daripada pandangan sinis dan cemuhan masyarakat terutamanya pada awal pembabitan saya dalam perlumbaan motosikal ini.
"Ketika di alam persekolahan, guru-guru turut mempersoalkan keputusan saya untuk menceburkan diri dalam sukan yang dianggap hanya sesuai untuk golongan lelaki ini.
"Namun, kini segala-galanya sudah berubah dan masyarakat menerima saya sebagai salah seorang pelumba wanita dalam perlumbaan ini.
"Cabaran saya cukup sukar. Selain kesusahan di litar, saya juga menghadapi cabaran di luar litar. Saya perlu mempertahankan penampilan saya sebagai gadis Melayu yang beragama Islam. Bertudung ketika berlumba bukan satu masalah. Saya juga tidak kekok untuk melakukannya. Kadang-kadang ia memberikan motivasi tambahan kepada saya.
"Banyak pantang larang yang perlu saya ikut setiap hari tetapi ia tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk mengejar cita-cita," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah di Seremban, Negeri Sembilan itu.
Segala pengorbanan dan kerja keras itu berbaloi dan kini, Nasha tampil selaku pelumba persendirian yang berjaya mencipta nama dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2014.
Nasha bercerita, dia tidak kekok untuk bersaing dengan barisan pelumba lelaki dan menunggang motosikal pada kelajuan yang tinggi.
NASHA tampil selaku pelumba persendirian yang berjaya mencipta nama dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2014.
Menaiki podium
Nasha membuktikan bahawa dia mampu mencetuskan gerun dalam perlumbaan bagi kategori Piala Pro-Am musim ini. Sepanjang sembilan pusingan lalu, Nasha berjaya menaiki podium dan menamatkan dua perlumbaan di kedudukan lima terbaik iaitu satu keputusan yang cukup positif.
"Persepsi sukan ekstrem hanya sesuai untuk lelaki tidak relevan lagi.
"Kini, ramai wanita yang beraksi dalam pelbagai sukan ekstrem di serata dunia. Mereka merupakan wanita moden yang gemarkan cabaran dan suka bersaing dengan lelaki walaupun sedar ia membawa risiko besar.
"Saya percaya, saya merupakan salah seorang daripada mereka," katanya yang bekerja sambilan di butik Alpinestar di Kuala Lumpur sejak Mei lalu.
Nasha berkata, beberapa pelumba wanita berjaya memberi impak dalam sukan permotoran dunia dan dia bercita-cita untuk mengikut jejak langkah pelumba Sepanyol, Ana Carrasco yang beraksi dalam kategori Moto3 Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).
Pelumba wanita yang turut mencipta nama ialah Maria Herrera yang beraksi dalam Kejuaraan Nasional Sepanyol dan Elena Myers dari Amerika Syarikat (AMA Pro Racing).
Mengimbas pembabitan Nasha dalam sukan permotoran, dia mula berjinak-jinak dalam sukan lasak itu sejak berusia 10 tahun sebelum memberanikan diri untuk menyertai Kejuaraan Cub Prix pada tahun 2010.
Katanya, minat terhadap sukan permotoran ini tercetus selepas sering kali melihat adik lelakinya bermain motosikal mini dan ayah merupakan individu yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk menjadi seorang pelumba profesional.
Agresif
Meskipun mengakui kekurangan kaum Hawa berbanding lelaki, Nasha yakin menerusi latihan dan persiapan yang secukupnya, dia mampu cemerlang dalam sukan itu.
"Berada pada tahap yang sama dengan pelumba lelaki bukan mudah. Mereka secara semula jadi memang lasak dan agresif tetapi saya akan buktikan bahawa pelumba wanita juga mampu cemerlang.
"Apa yang penting ialah strategi yang digunakan ketika berlumba. Saya akui, setiap pelumba perlu mempunyai hati yang kuat untuk bersaing dan terpaksa berdepan dengan risiko dilanggar atau terbabas.
"Saya sendiri mengambil masa yang lama bagi mendapatkan kepercayaan untuk berlumba. Saya bekerja keras dan kadang-kadang perlu melupakan hakikat bahawa saya adalah seorang wanita.
"Bagaimanapun, semuanya berbaloi apabila saya berjaya membuktikan kebolehan saya untuk berlumba seperti pelumba lelaki yang lain," katanya.
Sementara itu, Nazirul Izzat Muhammad Bahauddin, 14, memberitahu bahawa dia bertuah kerana mempunyai seorang kakak yang berkongsi minat sama.
NASHA (kiri) berjaya menaiki podium ketika menyertai kategori Piala Pro-Am pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2014.
Kejar impian
Kelebihan itu digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan dan mencari keserasian dalam mengejar impian menjadi pelumba motosikal terbaik negara.
"Kakak memberikan nasihat supaya saya lebih banyak bergaul dengan semua orang, jaga kecergasan dan berlatih bersungguh-sungguh. Dia mahu saya berkomunikasi terutama bersama kru pasukan. Saya akan cuba untuk memperbaiki kelemahan itu.
"Dia juga banyak membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan motosikal. Kadang-kadang kami berbincang untuk mengatasi kelemahan masing-masing terutama ketika mengambil selekoh," kata Nazirul Izzat yang menggalas cabaran Malaysia dalam kategori Moto3 pada Shell Advance Asia Talent Cup 2014.
Bagaimanapun, Nasha bukan pelumba wanita tunggal yang beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas kerana dia turut dicabar Siti Norafizah Mohamad, 19.
Siti Norafizah atau lebih mesra disapa Fifie merupakan pelumba wanita kelima dalam sejarah Cub Prix yang tampil mencabar dominasi pelumba lelaki.
Sebelum ini, arena Cub Prix tanah air pernah menonjolkan beberapa penunggang wanita antaranya Mazera Izaty Mohamad, Farah Melina dan Nur Amirah Basir.
"Selaku pelumba wanita, kami tidak boleh lari daripada pandangan negatif masyarakat sekeliling. Namun, demi mengejar cita-cita, kami perlu hadapi situasi itu dengan bijak.
"Selain tu, kami juga tidak boleh meletakkan jurang yang besar dengan pelumba lelaki. Kami tidak boleh terlalu menghormati mereka. Meskipun fizikal kami nampak lembut, kami perlu berani dan bersemangat untuk menghadapi setiap perlumbaan yang rata-rata dipenuhi dengan pelumba lelaki," katanya.
Fifie mula bergiat aktif dalam sukan permotoran seawal usia sembilan tahun apabila menyertai perlumbaan Pocket Bike yang diadakan di Plaza Tasik, Pasir Gudang, Johor dan beberapa lokasi lain di seluruh tanah air sebelum beralih ke persada Cub Prix pada tahun 2011.