Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, ketegangan seperti itu juga dibimbangi boleh menjadi 'api dalam sekam' untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang disifatkan sebagai titik hitam dalam sejarah negara.

Tegasnya, pilihan raya PBT itu adalah kesilapan kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar untuk menang pilihan raya dalam jangka masa sangat pendek, sekali gus bertentangan dengan aspek politik mengendalikan bandar yang mewajibkan untuk mengambil kira kepentingan semua pihak dan lapisan masyarakat dalam memakmurkan sesebuah bandar itu.


"Apatah lagi apabila kita melihatnya daripada aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang majoriti kaum Cina.


"Lihat sahaja jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding RM50 juta di majlis daerah kawasan desa di Selangor yang majoritinya pula satu kaum lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan dakwaan DAP bahawa Pas tidak pernah membangkitkan bantahan terhadap hasrat kerajaan DAP Pulau Pinang untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Setiausaha Organisasinya, An­thony Loke berkata, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng telah menghubungi sendiri Abdul Hadi dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali melalui telefon bagi mendapatkan pandangan mereka tentang perkara tersebut.

Menurut beliau, kedua-dua pemimpin Pas itu tidak membantah hasrat kerajaan DAP Pulau Pinang untuk melaksanakan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan DAP agar tidak melihat kemenangan politik dan penguasaan ekonomi untuk satu pihak dalam masyarakat majmuk.

"Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan arah, termasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pedalaman dan kaum yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar.

"Bandar wajib diurus bukan sahaja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya, yang menjadi laksana darah yang mengalir ke dalam jasadnya. Kalau perjalanannya tidak betul, lebih-lebih lagi kalau tersumbat menyebabkan akibat yang sangat malang," katanya.