SPR: Jangan pertikai pengundi meningkat
PUTRAJAYA - Peningkatan pengundi baru di beberapa kawasan yang diwakili pembangkang adalah ekoran langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan promosi secara agresif selain suasana semasa yang hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-13.
Justeru itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menolak dakwaan bahawa peningkatan jumlah pengundi baru itu adalah sesuatu yang dirancang SPR bagi tujuan tertentu.
"Peningkatan jumlah pendaftaran telah berlaku secara menyeluruh di semua bahagian pilihan raya seluruh negara.
"Perkara ini tidak harus dipertikaikan kerana sehingga Jun 2011, masih terdapat 3.7 juta warganegara Malaysia yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pengundi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.




Perkara itu adalah antara yang terkandung dalam buku bertajuk 'Fakta Sebenar di sebalik dakwaan dan fitnah terhadap SPR' yang akan diedarkan SPR di seluruh negara termasuk kepada media, parti politik dan agensi kerajaan.
Sebanyak 5,000 buku yang mengandungi 12 jawapan terhadap dakwaan yang ditimbulkan beberapa pihak terhadap SPR, akan diedar di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai menilai sendiri dakwaan berkenaan.
Abdul Aziz berkata jumlah mereka yang belum mendaftar yang tertinggi mengikut negeri ialah di Selangor diikuti Wilayah Persekutuan, Johor dan Perak.
"Maka, jika peningkatan pendaftaran tertinggi berlaku di Selangor, itu adalah selari dengan fakta yang mana seramai 750,000 warganya belum mendaftar sehingga Jun 2011," katanya.
Beliau berkata, terdapat bahagian pilihan raya yang mencatat peningkatan yang tinggi seperti di kawasan Subang sebanyak 34 peratus, Tebrau (34 peratus); Kota Raja (33 peratus); Pekan (33 peratus) dan Gua Musang (30 peratus). – Bernama

Panglima : terima kasih atas penjelasan SPR dan penerbitan buku di atas. Jangan biarkan mereka menipu rakyat dengan propaganda murahan yang boleh merosakkan maruah dan integriti SPR sendiri.