Oleh SHARIF PUTERAINI kali ketiga Usu Dolah panjat bangunan 18 tingkat itu dalam tempoh dua minggu. Ini hajat yang tidak boleh disekat. Menyekat hajat bermakna mengakui gagal. Gagal bukan prinsip hidup Uda Dolah, sasterawan kerdil dari Kampung Hujung Pasir.
Tetapi dalam usia yang hampir melangkah 66 tahun ini, prinsip itu mungkin berakhir. Dia tidak akan memanjatnya untuk kali keempat, takdirnya hajat itu tidak juga kesampaian. Sebaik-baik sahaja dia tiba di permukaan lif iaitu pukul sepuluh suku pagi, hajat itu akan dikuburkan.
Memang sahlah cerita orang, suara halus itu melintas deras ke dalam hatinya, Datuk Makhluk tidak berminat dengan cerita daripada orang luar. Memang benarlah juga, siang malam dia dalam kipasan rakan taulan yang menunggu buah sampai ke tangannya. Barangkali hukumnya, orang seperti Usu Dolah yang serba selekeh tidak begitu dilayan, sungutnya sendiri.
Ketika lif paling kanan terbuka dan memuntahkan lima orang lelaki yang kesemuanya memakai tali leher, Uda Dolah menapak ke dalamnya. Di belakangnya dan bersama masuk dua pekerja perempuan berpakaian serba putih dengan masing-masing memegang sebuah baldi dan sebatang penyapu.
" Pak Cik nak ke tingkat berapa?" Tanya pekerja perempuan itu sambil tangannya pada papan tunjuk tingkat lif.
" Enam belas!"
" Nak jumpa Datuk ke?"
" Hajatnya tu."
" Rasanya hari ni Datuk tak masuk pejabat."
" Mana kamu tahu? Kamu kerja dalam pejabat Datuk ke?"
" Saya tukang sapu pejabat dia," balas pekerja perempuan itu.
" Saya datang kali ketiga ni."
" Sikit tu Pak Cik. Kelmarin saya jumpa seorang tu datang kali ke-10. Tak jumpa-jumpa juga. Dia sumpah saya. Tak pasal-pasal saya kena marah."
Usu Dolah menyapu dagu yang memiliki sejemput janggut. Tidak berusaha menjawab cerita dan aduan pekerja wanita itu. Mungkin nasibnya berbeza. Dia datang itu pun selepas diberi tarikh oleh seorang pegawai dalam sebuah bilik .
"Saya cadangkan Pak Usu datang semula hari Selasa depan. Insya-Allah Datuk ada. Datuk tak ada jadual hari itu."
Lega Usu Dolah mendengar pegawai itu menuturkan janji walaupun pedihnya selepas menunggu lebih sejam di luar biliknya.
Kalau saya datang kali ketiga Selasa ini, akan jadi macam ini juga? Kali pertama pun janji yang sama? Macam hafal saja.
Pegawai itu seperti tersintak. Merah padam mukanya macam udang kena bakar. Usu Dolah merasakan pegawai itu terkena tempias sindiran. Mungkin pertama kali dilaluinya. Orang lama seni janganlah dipermainkan, katanya dalam hati. Pegawai itu meraba sebuah diari di hujung sikunya.
Cuba membuka tetapi menutupnya kembali. Gelisah amat. Tiba-tiba matanya terarah kepada sebuah sampul surat di tangan kanan Usu Dolah.
"Kalau ada apa-apa surat untuk disampaikan, apa salahnya Pak Usu tinggalkan untuk saya serahkan kepada Datuk."
"Yang penting saya nak berjumpa mata dengan ketua saya. Saya pengundi kawasan dia. Saya tak akan puas kalau saya tidak dapat menerangkan lebih lanjut apa yang saya tulis dalam surat pendek ini. "
Dan Usu Dolah meninggalkan muka separuh kecewa di meja pegawai khas Datuk Makhluk.
Ketika turun dari lif Usu Dolah teringat kata-kata anak saudaranya Majid, yang datang ketika dia berehat di bengkel ukirnya selepas waktu solat Zuhur sehari selepas dia gagal menemui Datuk Makhluk pada kali pertama itu.
"Pergi ke rumah dia saja," anjurnya.
Usu Dolah mendongak muka bulat anak saudaranya. Melihat hidungnya yang lebar dan kepalanya yang separuh gondola. Dia meletakkan pahat kecil di sisi lutut.
"Apabila jadi orang besar umpama kuih nikbat di atas meja. Letak sekejap saja akan penuhlah semut. Datuk Makhluk macam tulah. Berjujut orang di rumahnya. Rata-ratanya orang senang dan nak senang lagi. Nak minta projek. Selasarnya penuh. Sampai diturunkan kerusi ke bawah pokok pauh. Ayah Su ni tukang ukir. Orang seni, bukan kontrakor. Ayah Su sekadar nak jumpa, nak cakaplah sikit."
"Biar saya cakap kepadanya yang Pak Usu nak jumpa."
"Tak payah. Tak boleh jumpa di rumah, Pak Usu ke pejabat."
"Lagi susah Pak Usu."
"Lelah Pak Usu tak kena mengena dengan orang."
Sampai sekarang Majid tidak lagi menjengok rumahnya. Usu Dolah tidak ambil kisah sama ada anak saudaranya itu merasa kecil hati terhadap layanannya atau ada hal lain. Marahnya pun tidak jadi kudis gatal kepadanya. Sudah acap kali dia kena marah kerana tidak sempat siapkan ukiran cemagan pintu tempahan orang.
Lagi pun bukan penat mana berjalan dari tempat letak kereta ke bangunan utama pejabat Datuk Makhluk itu. Hajat yang hendak disampaikan itu bukan hajat peribadinya. Dia akan bercakap mewakili ramai karyawan biarpun mereka tidak memintanya diwakili.
Sudah hampir sedekad, orang seni sepertinya tidak diberi perhatian walaupun ukirannya sudah terpapar di beberapa bangunan kedutaan Malaysia di luar negara. Lukisan cat minyak karya rakan pelukisnya seperti Zek dan Jali juga sudah berada di bilik-bilik hotel mewah di ibu kota dan khabarnya tergantung di pejabat perdagangan negara di beberapa kota perdagangan di Eropah. Tak ada sesiapa ambil peduli .
Novelis Salehuddin sudah banyak karyanya diterbit. Sudah ada diterjemah ke beberapa bahasa dunia, dibaca ribuan orang. Pun tidak ada yang ambil hirau. Usu Dolah rasa kecewa dan marah apabila seorang ahli sukan yang menang di peringkat global disambut, disanjung begitu rupa dengan pelbagai hadiah yang lumayan: dapat duit puluhan ribu, dapat tanah lagi. Hanya sekali itulah sahaja. Hanya sekali.
Tetapi pengukir sepertinya, pelukis seperti Zek dan Jali, Salehuddin dan ramai lagi yang sudah tersohor dan sudah kerap kali namanya disanjung dalam halaman seni seperti pengemis. Sudah berdekad mencipta nama.
Dia mahu orang besar itu dapat mendengar luahan hatinya. Mendengarnya sahaja sudah memadai. Hendak menerima atau tidak bukan urusannya lagi. Kalau separuh daripada hujah yang disampaikan itu meresap ke dalam hati pembesar itu memadai. Lenalah dia tidur, amanlah jasadnya ditakdirkan dia pergi.
Usu Dolah sudah masuk ke dalam pejabat Datuk Makhluk. Diminta duduk oleh penyambut tamu seorang perempuan muda yang separuh cantik.
"Pakcik nak jumpa Datuk ke?" soal perempuan muda dari meja kaunter. Hanya wajah separuh comelnya yang kelihatan. Usu Dolah angguk.
"Datuk belum masuk," sambung perempuan itu, selamba.
"Saya ni orang pertama sampai agaknya," kata Usu Dolah.
"Tak semestinya orang pertama dapat jumpa awal," tingkah perempuan di kaunter itu.
"Kenapa jadi begitu?"
"Sekejap lagi orang besar dari KL nak datang. Dua hari lepas mereka buat janji."
"Pakcik dah tiga minggu."
"Nasib orang kecik pakcik," suara simpati daripada perempuan kaunter.
"Kalau pak cik jadi orang besar mungkin tak jadi begini ya?"
"Pakcik nak minta balak ke?"
"Pakcik bukan ada kilang papan," balas Usu Dolah, jujur.
"Tapi saya dapat tahu yang minta balak tu bukan ada kilang pun. Mereka nak kaya segera, nak beli kereta besar, lepas tu cari bini dua tiga."
Usu Dolah senyum. Menurunkan cermin mata berbingkai hitam yang dipakainya ke atas pahanya. Dia yakin dengan apa yang diperkatakan pegawai perempuan kaunter itu. Sebahagian pejuang bangsa hari ini merosakkan pertubuhan yang diwakilinya.
"Pak nak jumpa Datuk, nak minta Datuk bina sebuah kompleks budaya macam di Solo. Semua orang seni berkumpul di situ. Yang pandai ukir buat kerja ukir di sana. Yang pandai lukis, melukis di sana. Yang pandai main drama berlatih dan bermain di sana. Yang nak tulis cerita ,tulis di sana. Bukan untuk pakcik tapi untuk generasi baru yang sudah hanyut."
"Bagus idea pakcik tu," puji perempuan kaunter.
Usu Dolah merasa sedikit lega. Ada manusia yang memuji ideanya itu. Tetapi bukan sasaran perempuan itu untuk didengar. Dia mahu Datuk mendengar. Biar Datuk Makhluk mendengar sendiri cadangan dan rintihannya.
Ketika Usu Dolah hendak menyambung pandangannya, tiba-tiba perempuan separuh cantik di kaunter itu bangkit dan berjalan tergesa-gesa ke pintu besar. Pegawai Datuk yang pernah ditemui Usu Dolah menerpa sama. "Orang dari KL datang pak," ujar wanita itu, menarik daun pintu. Daun pintu terkuak lebar. Masuk beberapa orang korporat berpakaian seragam kelabu. Ketua kumpulan tiba-tiba terhenti, berpaling kepada Usu Dolah.
"Ehhh Usu Dolah pun ada," sapa tokoh korporat, bergerak ke arah Usu Dolah. Pegawai Datuk Makhluk tercengang ketika tokoh korporat itu memeluk Usu Dolah.
"Pak Usu masih sihat nampaknya?"
"Alhamdulillah," balas Usu Dolah.
"Masih mengukir? Masih menulis?"
"Belum berhenti. Periuk nasi Datuk," kata Usu Dolah.
"Kawan lama, " ujar Datuk berbadan gempal kepada rakan-rakannya itu.
Beberapa orang rakan yang dipanggil Datuk oleh Usu Dolah ikut menjabat tangan pengukir dan penulis itu.
Ketika mempersilakan rombongan dari Kuala Lumpur itu memasuki ruang tamu kedua, Pegawai Datuk Makhluk mendekati Usu Dolah.
"Mereka dari Kuala Lumpur nak jumpa Datuk. Lambat sikit. Selepas inilah.
" Encik , siapa yang lebih dahulu membuat temu janji? Saya atau mereka? Siapa yang lebih dahulu sampai di sini? Saya atau mereka?"
Pegawai itu tersengih dan cepat-cepat melangkah. Perempuan kaunter yang dari tadi memegang tombol pintu dengan selamba ke kaunter, menampakkan separuh badannya dan dari jauh seperti kepala anak patung.
Usu Dolah kembali bersandar di sofa. Menerawang ke zaman mudanya, menjadi penggerak utama permainan-permainan tradisi seperti gasing, lumba perahu dan gayung ota-ota. Kini setelah orang sepertinya seorang demi seorang pupus, permainan-permainan itu tinggal dalam sebutan sahaja.
Usu Dolah juga teringat bagaimana susah payahnya dia mengaktifkan gerakan penulisan sehingga melahirkan ramai barisan penulis novel, cerpen dan puisi. Ingatannya bergerak daripada seorang demi seorang , kemudian seorang demi seorang meninggalkan dia buat selama-lamanya.
Dan dalam masa yang sama, dia berjinak-jinak dengan batang-batang kayu lama. Membeli beberapa bilah pahat besar dan kecil. Menghabiskan masa petangnya dengan mengukir batang-batang itu.
Kemudian minat itu semakin lebar sehingga mendorongnya membuka bengkel ukir untuk anak-anak muda menjadi pengukir muda. Indahnya bermain seni. Kepuasan datang bertunda-tunda walaupun harga yang dibayar tidak seberapa.
Hari ini, anak-anak muda hampir kehilangan arah. Tidak ada pembimbing yang mampu mengarahkan mereka menjadi manusia seni bangsanya. Ramai yang menjadi pembimbing kepada kemusnahan dan keganasan. Inilah tekad Usu Dolah untuk menemui Datuk Makhluk. Binalah sebuah komplek seni dan budaya.
Usu Dolah merasa kagum dengan bala tentera orang muda Solo, Jogja yang memenuhi pusat latihan seni di kompleks yang dibangunkan. Alangkah hebatnya kalau kompleks itu dapat dibangunkan di hujung tanjung yang saujana tanahnya.
Usu Dolah sudah terlena di sofa.
Dia memasuki bilik Datuk Makhluk. Datuk Menteri segera meluru menjabat tangan dan mendakapnya. Terasa mesra dan terhibur dengan sambutan luar biasa itu.
"Jarang Pak Usu datang jumpa saya ni," ujar Datuk Makhluk.
"Ada hajat sikit. Kalau nak kata kecil, rasanya besar. Terkandung dalam surat ini." Usu Dolah mengunjukkan surat di dalam sampul putih berukiran 4''x 8 ". Datuk Makhluk menarik surat itu dan membacanya.
"Saya sedang kaji perkara ini. Memang tidak adil."
"Perkara kedua tu?" Usu Dolah ikut meletakkan jari telunjuk kepada perkara dua- Komplek Seni/Budaya.
"Kosnya besar ni," ujar Datuk Makhluk, memandang tepat wajah Usu Dolah.
"Tapi tak sebanyak membina stadium," tingkah Usu Dolah.
"Beri peluang saya kaji," balas Datuk Makhluk.
Usu Dolah menjabat salam Datuk Menteri itu dengan eratnya.
"Terima kasih, Datuk... terima kasih!"
Perempuan di kaunter terbangkit apabila mendengar suara itu. Lantas ke tempat duduk Usu Dolah. Kemudian kembali semula apabila telefon berdering di belakangnya.
"Ya saya. Ya saya." Dia meletakkan kembali gagang dan bergerak ke tempat Usu Dolah semula. Usu Dolah membuka mata. Melihat jam. Sudah dua belas setengah.
"Pak...pegawai Datuk cakap, pak tak sempat nak jumpa Datuk hari ini. Dia minta pak datang minggu depan."
"Pak dah agak. Pak orang kecil kan?"
Usu Dolah menyapu matanya. Bangkit dari sofa.
"Siksanya menungggu orang besar ya?" Dia melepaskan kata-katanya ke daun pintu, membuka dan menutupnya dengan keras. Perempuan kaunter terangkat muka, tersentak. Menggeleng-geleng kepala.