Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
malam ini mengajak rakyat untuk bersama-sama beliau
menanam azam tahun baru ke arah membina masa depan
Malaysia yang lebih cerah.
Najib berkata, jika diberi mandat yang jelas, beliau dan kerajaan
pimpinannya berikrar akan menggunakan kepercayaan yang
diberi dengan sebaik-baiknya dengan menepati segala janji dan
komitmen yang diberi seperti yang telah dibuktikan selama ini.
"Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini
suatu realiti.
Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan
kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk
melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan
anak-anak kita," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2013
yang disiarkan melalui radio dan televisyen malam ini.
Perdana Menteri berkata beliau dan kerajaan hari ini tidak akan
mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang
terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh
rakyat.
Najib juga berkata negara amat memerlukan sumbangan
daripada rakyat dalam setiap perancangan yang dibuat di mana
bagi kerajaan tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang
ada hanyalah kesanggupan untuk melakukan sesuatu.
"Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita
lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang
kita impikan mampu tercapai.
"Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting
untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan
eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan
usaha yang berterusan dengan hala tuju yang jelas.
"Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa
yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah
terletak keputusan bagaimana masa depan
negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak dibawa,"
katanya.
Menyimpulkan kesan transformasi kerajaan pada tahun 2012
sebagai positif selepas berakhir fasa pertama prakarsa
transformasi yang melibatkan kerajaan, ekonomi dan politik,
Perdana Menteri berkata angka tunjuk negara dalam pelbagai
bidang di peringkat antarabangsa telah meningkat secara yang
membanggakan.
Najib berkata ia terbukti melalui laporan Bank Dunia, "Doing
Business 2013" meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling
mudah berurus niaga di dunia manakala laporan "World
Competitiveness Yearbook 2012" telah menempatkan Malaysia
sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.
Beliau berkata di sebalik semua yang berlaku, kerajaan tetap
perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman
lalu dalam menangani cabaran yang
bakal mendatang tahun depan dengan meneruskan dan
menambah baik apa yang terbukti baik dan terbukti berjaya
serta setiap kegagalan ditamatkan dan dijadikan teladan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan empat asas
daripada Dasar Transformasi Nasional yang perlu diteruskan,
ditingkatkan dan dipastikan dalam memastikan wawasan
Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi
tercapai.
Pertama, katanya, perlu meneruskan agenda nasional bagi
mengukuhkan perpaduan kebangsaan yang merupakan teras
kelangsungan negara dengan berpandukan falsafah 1Malaysia
'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Kedua, usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan
sistem jaringan keselamatan sosial akan diteruskan di mana
bantuan kebajikan dan subsidi adalah
disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan.
"Ini diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi
keluarga, korporat dan keagamaan di mana setiap rakyat yang
memerlukan bantuan akan memperolehnya," katanya.
Ketiga, katanya meningkatkan kemakmuran negara dengan
memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan
fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial
yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang
individu tidak hanya dihadkan oleh daya imaginasi.
Beliau berkata sebaliknya daya keusahawanan dan sejauh mana
kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras dengan
gabungan kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko
akan mendatangkan laba yang lumayan.
Najib berkata asas keempat yang perlu diteruskan dan
ditingkatkan adalah memastikan Malaysia menjadi tempat
terbaik untuk membina kehidupan berkeluarga dengan segala
aspek dan keperluan hidup seperti keselamatan, kejiranan,
kesihatan dan pendidikan dipenuhi sebaiknya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan