Firman Allah di dalam Surah Al – Baqarah ayat 148;
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
Di temurapat, saya ulangi ingatan akan amanah kita sebagai pimpinan; memimpin agenda Reformasi, memenuhi perintah Allah untuk berlumba – lumba mengerjakan kebajikan, demi rakyat semuanya.
Reformasi yang kita perjuangkan bukan berkisar soal pertukaran regim semata-mata, bukan soal menggantikan yang lama dengan yang baru, yang ingin kita laksanakan adalah lebih daripada itu – kita mahukan satu reformasi sistem; reformasi yang menjunjung maruah manusia, memperkasakan rakyat dengan kuasa politik, mengangkat nilai budaya dan memastikan setiap rakyat menikmati limpahan ekonomi yang dikecapi.
Umno – Barisan Nasional kini sudah di hujung hayatnya. Bergelumang dengan rasuah, kronisme dan kebejatan yang kronik, elit penguasa ini terlupa bahawa rakyat memerhati dan menilai. Jangan sekali – kali kita memperkecilkan kebijaksanaan rakyat untuk memilih dan melakukan perubahan.
Dengan penuh tawadhu', tidak sesaat pun saya lupakan teman – teman yang mempertahankan saya ketika saya teruk dihina, diaibkan, dipenjarakan dan dilempar dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. KEADILAN terbina kerana keringat mereka yang lama, namun belum cukup dengan itu, kita perlu cungkil kekuatan baru, yang menjadikan agenda perjuangan kita lebih utuh dan teguh.
KEADILAN lahir atas kesedaran – menentang kezaliman dan kebejatan – kini merupakan satu parti yang kuat. Kita bergerak sebagai satu jentera, hanya satu. Bersama – sama teman Pakatan Rakyat yang lain – PAS dan DAP – kita mampu untuk mengambil alih Putrajaya dan mentadbir kerajaan pusat jauh lebih baik daripada mereka yang sedia ada.
Pilihan Raya Umum ke 13 semakin hampir. Ini pertarungan agung kita. Kita wajib menang. Menang untuk melawan kezaliman. Menang untuk kita selamatkan negara ini. Menang untuk kita semarakkan Reformasi. Menang untuk kita kibarkan panji Keadilan sejagat raya.
Lawan tetap lawan! Reformasi!
ANWAR IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan