BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan 9 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan UMNO yang hampir sama perjuangannya dengan parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) supaya tidak terperangkap dan 'hanyut' dengan jasa-jasa lama membebaskan negara masing-masing dari cengkaman penjajah.
Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, kedua-duanya harus berani mengharungi abad ke-21 ini dan berdepan dengan generasi baru untuk terus kekal relevan pada masa ini dan akan datang.
"Perjuangan ANC ada persamaannya dengan UMNO yang telah melalui transisi sebagai parti pejuang kepada parti yang perlu membina sebuah negara bangsa yang baru.
"Apabila kita berjuang menentang kerajaan Apartheid, kita perlukan kemahiran dan strategi berlainan tetapi apabila sudah memiliki kerajaan, kita perlu pula membina satu negara bangsa yang mana strategi dan budayanya kita perlu ubah agar sesuai dengan fasa perjuangan yang mengambil kira suasana yang sudah berubah.
"Kerana itu sebagai parti dalam abad ke-21 ini, kita...ANC, begitu juga dengan UMNO tidak boleh terperangkap dengan jasa-jasa lama kita," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini semalam.
Beliau ditanya bagaimana perjuangan ANC dalam membebaskan Afrika Selatan dari kekejaman rejim Apartheid dan kehadirannya pada pada sambutan ulang tahun ke-100 ANC di Stadium Ragbi Mangaung dekat sini atas jemputan Presiden Jacob Zuma dapat diterjemahkan dalam skop perjuangan dan gerak kerja UMNO.
Perdana Menteri seterusnya menarik perhatian bahawa kehadirannya di sini atas permintaan Zuma dibuat atas dasar UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Malaysia yang merupakan penyokong tegar kepada perjuangan ANC sejak sekian lama.
"Sebelum 1993 lagi, kita telah bantu perjuangan mereka (ANC). Dalam pilihan raya 1993 (di Afrika Selatan), kita telah menolong mereka menerusi bantuan material dan bagaimana hendak uruskan kempen pilihan raya pada tahun berkenaan.
"Malah, semasa majlis mengenang Allahyarham Syeikh Yusuf (pengasas Islam di Afrika Selatan) di Cape Town dan berkongsi pentas dengan pemimpin ANC, Nelson Mandela (pada 1993), saya telah melahirkan sokongan UMNO dan Malaysia kepada mereka. Dan kehadiran saya itu adalah secara simbolik bahawa ia berkesudahan dengan kejayaan ANC membebaskan Afrika Selatan dari cengkaman Apartheid," kata beliau. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan