Dari Harakah
Oleh Abdul Shukur Harun
Sejak awal Subuh lagi (Isnin), Masjid Wilayah Persekutuan, yang berada di depan Mahkamah Tinggi Jalan Duta didatangi ribuan umat Islam untuk mendengar keputusan kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka menunaikan solat Subuh dan kemudian menuju ke kompleks mahkamah tersebut – tidak jauh dari situ dengan penuh semangat dan bersedia menerima apa saja keputusan mahkamah.
Dingin Subuh tidak terasa kerana ramainya orang yang hendak memberi sokongan kepada Anwar, seorang pemimpin pembangkang penuh karisma, yang menghadapi siri fitnah bertahun-tahun lamanya.
(Gambar: Awal Subuh mereka sudah berkumpul di Masjid Wilayah)
Sebahagian besar mereka yang datang menyangkakan, Anwar akan dijatuhkan hukuman bersalah, namun mereka menggagahkan diri untuk datang bagi meneruskan perjuangan ketua pembangkang itu.
Ertinya di sini, mereka bukan semata-mata datang untuk menyokong Anwar secara peribadi, tetapi mereka datang untuk menyokong perjuangan pemimpin Pakatan Rakyat itu bagi membebaskan Malaysia dari cengkaman politik Umno/BN yang korup.
Walaupun tenggelam dalam persepsi umum bahawa kemungkinan besar Anwar akan dihukum, orang ramai terus berjalan dengan aman ke pekarangan mahkamah tersebut dalam cuaca pagi yang semakin cerah.
Matahari sedikit demi sedikit menampakkan wajahnya, di balik rimbunan pohon-pohon di situ, seperti gadis sunti yang malu-malu. Dan orang ramai – pelbagai kaum – terus berkumpul. Teriakan 'Reformasi', 'Allahu Akbar' bergema. Ratusan wartawan dan juru-foto dari dalam dan luar negara turut sama dalam gelombang orang ramai itu
Ini membuktikan bahawa kes Liwat-11 Datuk Seri Anwar ini mendapat perhatian antarabangsa, di samping beliau sendiri adalah tokoh yang terkenal di peringkat antarabangsa.
Di tengah gegak gempita orang ramai menyambut para tokoh pembangkang yang tiba seorang demi seorang, pasukan polis berkawal dengan tenang, malah ada yang dengan ramah menyambut salam orang ramai, kontras dengan suasana Himpunan Bersih 2.0 dulu yang penuh dengan ketegangan.
Waktu berjalan dan degup jantung hampir setiap orang begitu kencang ketika menanti keputusan perbicaraan tersebut – suatu keputusan yang sangat akan membantu arah jalannya politik negara ini.
(Gambar: Presiden PAS yang datang untuk memberikan sokongan moral kepada Anwar)
Tetapi keadaan yang mendebarkan itu kemudian bertukar tiba-tiba dengan teriakan gembira orang ramai apabila diumumkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebas dan dilepaskan.
Setelah mendapat pengesahan berita itu, penyokongnya terus melonjak kegembiraan dan menjerit, "Anwar tidak bersalah!". Kebanyakannya tercengang-cengang mendengar berita itu. Matahari pagi terus naik – menyaksikan peristiwa itu – seolah-olah ikut gembira kerana berakhirnya sebuah fitnah.
Ramai yang kelihatan begitu bergembira sambil memeluk antara satu dengan lain, bertepuk dan melaungkan "reformasi", "Allahu Akbar" tidak putus-putus.
Di dalam mahkamah yang penuh sesak, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakap suaminya dengan gembira dan menahan sebak setelah tertekan perasaan dan dukacita yang amat sangat sejak perbicaraan bermula pada tahun 2008. Namun wajahnya masih tergambar kesabaran dan ketabahan hati sebagai isteri seorang pemimpin yang paling banyak menerima ujian silih berganti.
Di tengah orang ramai itu ada suara terdengar perlahan, "Ini ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, Allah masih menyayanginya. Allah membersihkannya dari fitnah.''
Anwar dan isteri kemudian keluar dari bangunan mahkamah dan diserbu oleh orang ramai yang hendak mengucapkan tahniah.
Anwar mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan mengisytiharkan bahawa perjuangan mereka masih jauh dari tamat.
“Kita telah dengar tadi bahawa saya kini bebas. Tetapi ini bukanlah mengenai kebebasan saya saja. Perjuangan selepas ini adalah untuk membebaskan rakyat daripada terus dicengkam oleh kerajaan Barisan Nasional. Tugas kita sekarang ini ialah untuk membebaskan rakyat, untuk membebaskan rakyat," katanya berulang kali.
Beliau segera ditemui ramah oleh TV Aljazeera dan media lokal dan international yang lain.
Di tengah-tengah itu, tiba-tiba terdengar letupan beberapa kali tidak jauh dari pekarangan tersebut, namun orang ramai masih berkumpul dan berkumandang doa disampaikan oleh YDP PAS Gombak, Ustaz Salahuddin Nasir.
Selepas itu orang ramai pun bersurai perlahan-lahan dengan rasa lega atas keputusan tersebut. Namun mereka sedar, perjuangan ini belum berakhir, justru ada kemungkinan kes ini akan dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sekali lagi orang ramai menyerahkan ketentuan ini kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Di ini saya mencatatkan ingatan yang penting dari Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menasihatkan pihak yang telah memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memohon maaf dengan segera.
(Gambar: Anwar pulang sebagai seorang yang bebas setelah diputuskan tidak bersalah)
Katanya, mereka yang membuat fitnah terhadap Anwar selama ini perlu memohon maaf kepada Anwar.
“Berdosa besar dan tidak akan masuk syurga selagi tidak memohon maaf darinya," ujarnya lagi.
Tuan Guru berpuasa sunat sehari hari ini (Selasa) bagi melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah.
"Mudah-mudahan fitnah politik di negara ini tidak akan berlaku lagi," katanya.
Matahari semakin meninggi ketika medan Jalan Duta itu beransur lengang selepas orang ramai pulang dengan rasa gembira dan shukur kepada Ilahi. Yang tinggal hanyalah sampah saraf, kertas, botol-botol dan sebagainya menunggu dibersihkan oleh buruh bandaraya. Bangunan Mahkamah Tinggi yang ditinggalkan itu telah mencatat sejarah penting bahawa ada sinar keadilan memancar di sana
Tiada ulasan:
Catat Ulasan