Assalamualaikum.
Begitu pantas waktu berlalu, Ramadan semakin hari, semakin meninggalkan kita. Walaupun kita bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah untuk menemui Ramadan kali ini, namun apakah kita mungkin berkesempatan untuk menemui Ramadan sekali lagi nanti.
Apa pun, kita menyambut Ramadan dengan rasa penuh syukur dan nikmat di negara kita. Saya melihat dengan dekat suasana dan keindahan menyambut Ramadan di negara kita berbanding dengan kebanyakan negara di dunia. Hari ini, rata-rata program membantu masyarakat bukan sahaja tertakluk kepada wakil rakyat semata-mata. Semua orang kini berlumba-lumba turun padang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Mengapa semua itu berlaku. Apa yang hendak saya sampaikan ialah, betapa sebenarnya rezeki itu sedang melimpah ruah di negara kita. Kita bersyukur kepada Allah kerana telah mengurniakan pemimpin negara yang mampu bekerja demi rakyat dan negaranya, bukan hanya pandai berkata-kata. Sama ada kita suka atau sebaliknya, apa yang sedang kita kecapi di Malaysia hari ini adalah sesuatu yang jarang-jarang ada di mana-mana.
Walaupun seringkali kita mendengar ada pihak yang menuduh, mengganggu dan melemparkan pelbagai fitnah kepada kerajaan BN, namun golongan itu jika dilihat atau ditanya kepada mereka, mereka tidak menyumbang apa-apa kepada negara. Mereka hanya menghabiskan masa dengan perangai lama dan membaca skrip lama di pentas ceramah politik. Mereka ini berjuang dengan bermodalkan air liur semata-mata dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
Meski pun kadangkala saya sendiri pun terkilan dengan segelintir rakyat yang masih terpedaya dengan golongan seperti ini, namun saya sentiasa berdoa agar rakyat menyedari betapa sebenarnya mereka akan menjadi golongan yang rugi jika terjebak dengan manusia yang hanya tahu menyalahkan orang lain, sedangkan dia tidak melakukan apa-apa.
Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada Ramadan di negara kita yang bertuah ini. Selain rezeki yang melimpah ruah, kita juga hidup dalam keadaan aman damai tanpa apa-apa gangguan. Keselesaan itulah kadangkala telah dan boleh menyebabkan kita alpa dan memandang mudah perkara-perkara yang secara halus boleh menggugat apa yang kita miliki selama ini.
Saya berdoa agar seluruh rakyat akan terus diberikan hidayah dan terpelihara dari segala dosa dalam bulan Ramadan ini dan bulan-bulan yang seterusnya. Marilah kita menjadi rakyat yang bukan sahaja tahu bersyukur di atas nikmat yang ada dan berterima kasih kepada kerajaan BN di atas bantuan dan sumbangannya terhadap negara dan rakyat tetapi biarlah kita menjadi rakyat yang bijak dalam menilai setiap peristiwa yang berlaku.
Mudah-mudahan kita menjadi rakyat dan insan yang terbaik, insya'Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan