Oleh Mohd Rashidi Hassan
Parlimen minggu ini kembali rancak dengan kemasukan semula empat pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas enam bulan digantung berhubung isu APCO.
Selain Anwar, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden KeADILan,R Sivarasa kembali ke Parlimen 16 Jun lepas
Pada 16 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar dan tiga wakil rakyat terbabit daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO Worldwide dengan kerajaan Malaysia.
Karpal yang merupakan wakil rakyat DAP bagi kerusi Bukit Gelugor, Azmin (KeADILan-Gombak) dan Sivarasa (KeADILan-Subang) digantung kerana menghina dewan akibat membantah penggantungan Anwar.
Isunya di sini bukan soal penggantungan empat MP Pakatan Rakyat semata-mata. Tugas menggantung adalah hak Speaker, namun usul dan motif penggantungan itu yang dipertikaikan.
Umno-Barisan Nasional mengemukakan usul tersebut mereka mereka sudah tidak tahan dengan Anwar. Anwar dan MP Pakatan Rakyat, berjaya membongkar rahsia besar Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan khidmat perunding Yahudi untuk kepentingan BN. Itu sahaja isunya.
Ketiadaan Anwar dan tiga lagi MP selama enam bulan tidak dinafikan memberikan sedikit kesan. Pertembungan dengan BN tidak setajam ketika semua MP Pakatan Rakyat hadir semuanya.
Tiada siapa dapat menafikan masalah besar kepada Umno-BN adalah Anwar. Sasaran mereka adalah Anwar. Fitnah yang dilemparkan juga teruknya ke atas Anwar. Mengapa Anwar?
Ketika saya bersembang sembang dengan rakan dari Umno di lobi Parlimen, beliau dengan serius mengatakan, “Umno tidak ada pilihan, kalau Anwar masuk dalam (penjara) baru Umno selamat.
“Belum tentu Umno selamat, itu andaian saudara, bagaimana jika sebaliknya?” soal saya.
Beliau tidak menjawab soalan yang bersifat futuristik tersebut. Pada beliau, by hook or by crook, Anwar harus direhatkan jika Umno mahu selamat.
Namun beliau tidak pula menafikan Umno agak gelojoh dalam usaha mereka untuk memusnahkan karektor peribadi Anwar.
Belum pun kes liwat selesai, Umno-BN mendalangi isu video seks, macam-macam lagi yang dijangka akan dikeluarkan, semata-mata untuk menghapuskan hayat politik Anwar.
Tetapi Umno juga sedar, bukan senang mereka hendak berhadapan dengan Anwar. Umno-BN agak termanggu apabila PAS dan DAP cukup setia bersama Pakatan Rakyat dalam menangani isu Anwar
Usaha mereka untuk memecah belahkan Anwar dengan PAS dan DAP gara-gara isu video, menjadi buntu.
“Saya berterima kasih kepada PAS dan DAP, khususnya kepada Dewan Ulama PAS Pusat yang meluluskan usul menolak isu video seks,” kata Anwar kepada saya semasa kami bersembang-sembang di lobi MP bersama Senator Saiful Izham Ramli dari Kedah.
Saya turut bertanya kepada Anwar, jadualnya disusun begitu padat, kudrat sesiapa pun ada batasnya.
“Tidak letih ke Dato’ Seri menghadapi tekanan setiap hari?” soal saya.
Sambil tersenyum beliau menjawab, “Letih juga, tetapi mengenangkan kejahatan Umno-BN yang melampaui batas, ia menzahirkan kekuatan.
“Kita tidak akan beri mereka laluan mudah, kita harus bertekad tumbangkan mereka (PRU nanti),” katanya penuh keyakinan.
“Apa pilihan yang kita ada?” tambahnya.
Pada saya, semangat seperti inilah yang diperlukan dalam Pakatan Rakyat. Semangat ini harus diterjemah dan diwarisi oleh seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat jika kita mahu menumbangkan BN pada PRU akan datang.
Kami terus berbual-bual mengenai isu politik semasa. Anwar kelihatan mahu memesan makanan, tetapi beliau tidak tahu apa yang hendak dimakan.
“Saya belum makan apa lagi, tapi tengahari ini saya tak mahu makan yang berat-berat. Kawan-kawan selalu ingatkan saya, jangan makan banyak sangat nanti perut buncit macam dalam video,” seloroh beliau.
Akhirnya beliau memesan semangkuk sup cendawan yang dimakan dengan roti. Saya cukup dengan kopi o secawan.
Sambil-sambil bersembang datang beberapa orang MP BN yang menyapa Anwar. Tetapi mereka kelihatan agak takut untuk duduk lama-lama dengan Anwar. Mereka sekadar hanya bersalaman dan mengucapkan selamat kembali ke Parlimen, kemudian berlalu pergi.
Beberapa orang menteri dan MP Umno hanya menjenguk dari jauh. Agaknya mereka takut dekat dengan Anwar. Takut dituduh simpatisan Anwar, walaupun hakikatnya memang begitu.
Kelibat Anwar dan rakan-rakan MP Pakatan Rakyat ditakuti kerana mereka mampu menggegarkan Dewan Rakyat. BN nampaknya tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat. MP Umno-BN ibarat keris tumpul.
Sebab itu mereka menggunakan MP pencacai untuk menggendong najis-najis BN. MP-MP yang khianat daripada KeADILan ini, bersama ‘sang katak’ digunakan setiap hari oleh media talibarut Umno sama ada TV mahu pun akhbar untuk menyerang Anwar dan Pakatan Rakyat.
Tetapi mereka hanya kelihatan menang di tv dan akhbar. Hakikat sebenar dalam dewan, mereka tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat.
Yang penting, sepanjang sebulan ini Parlimen akan kembali rancak. Kembali hiruk pikuk kerana panglima-panglima sudah berkumpul semuanya. Pertembungan dengan BN dijangka kembali sengit.
Sayangnya hiruk pikuk ini terpaksa saya tinggalkan seketika kerana mempunyai tugasan yang besar di luar negara bersama misi kemanusiaan Yayasan Amal. Ketika rencana ini disiarkan saya sudah berlepas ke Mesir, dari sana saya akan memasuki Rafah dan terus ke Gaza jika tidak dihalang di sempadan.
Insya Allah jika tiada aral, kami akan merentasi laluan yang jauh ke sempadan Libya untuk meninjau pelarian yang terperangkap akibat kezaliman Muammar Gaddafi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan