TERUS terang saya katakan Anwar ini hebat orangnya. Hebat dalam permainan kata-kata. Hebat sebagai pemidato awam. Dan hebat dalam serba-serbi!
Jika orang Melayu mendengar pidatonya pasti mereka akan cair jiwa raga dan ternganga rongga mulut. Malah bukan orang Melayu sahaja, dia juga berjaya menggunakan kemahiran kata-katanya sehingga 'mat-mat salleh' Amerika dan orang asing pun jatuh hati kepadanya.
Pendek kata kemahiran itu bukan datang secara semula jadi, tapi melalui ilmu yang dipelajarinya.
Difahamkan dia mempelajari seni oratori atau pengucapan awam itu di Indonesia. Seni yang dipelajari oleh Anwar ini bukan seni pidato sembarangan, bahkan seni yang disokong oleh aura spiritual yang dapat menundukkan pendengar sekali gus mempengaruhi pemikiran dalaman pengikutnya.
Saya difahamkan kemahiran itu pernah dipelajarinya daripada seorang guru pidato awam terkenal di Indonesia yang bernama Prof. H. S. Soenarjo.
Dalam tempoh isu video seks itu membelenggu dirinya sekarang, beliau menggunakan talian hayatnya dengan merangka program jelajah untuk berpidato – bagi mempengaruhi orang ramai mempercayainya.
Seperti biasa, ramai yang mendengar pasti akan terpegun dengan gurindam kencananya. Orang Melayu terbuai-buai dengan antonasi suara dan gerak mimik wajahnya yang cukup meyakinkan.
''Saya difitnah, saya dikhianati, saya tidak bersalah, saya bukan lelaki yang berzina dengan perempuan Cina itu..." Orang ramai yang mendengar pidato bertenaga Anwar itu tergamam.
Hakikatnya, semasa beliau berkata begitu aliran darahnya berkocak-kocak. Naluri dalaman menyentap dirinya.
Anwar, sebenarnya kini sedang menghadapi satu situasi yang paling sukar dalam hidup dan karier politiknya dengan tuduhan terbaru berhubung video seks itu.
Nyawa politiknya kini di hujung tanduk. Semua orang yang melihat video aksi seks dengan pelacur Cina itu mengenali si pelakunya.
Difahamkan seorang pemimpin tertinggi Pas yang sudah melihat versi penuh aksi seks itu memberitahu "sahlah dia".
Yang pasti Anwar kini cukup tertekan. Datuk Shazryl Eskay Abdullah (Eskay) sudah pun bersumpah laknat mengatakan dia adalah lelaki yang memakai seluar jeans yang berjalan ke hulu ke hilir di dalam video itu.
Eskay bersumpah bahawa dialah di dalam video itu dan beliau bersumpah mengetahui siapa pelaku yang memakai tuala dan tanpa tuala di dalam video itu. Sumpah telah dibuat, namun tidak disambut oleh si pelakunya, yang dakwa oleh Eskay sebagai Anwar bin Ibrahim.
Setakat drama bersiri yang membelenggu Anwar ini, sudah dua sumpah laknat dibuat. Saiful Bukhari Azlan, pemuda lemah lembut yang mendakwa diliwat Anwar juga telah bersumpah laknat.
Kini Eskay pula, bekas rakan karib Anwar yang sudah tidak sanggup menutup kemungkaran sahabatnya itu.
Anwar, sehingga saat ini masih enggan bersumpah. Bersumpah kepada Allah Taala mengatakan dia tidak terbabit dalam perbuatan liwat atau pun berzina dengan pelacur Cina itu.
Tapi Eskay tetap mahu Anwar bersumpah.
Jika utidak mahu bersumpah dengan Allah Taala, Eskay mencabar Anwar melakukan ujian poligraf pula. Ia adalah ujian saintifik untuk menentukan sama ada orang itu berbohong atau bercakap benar.
Eskay mahu polis atau jurupoligrafi bebas melakukan ujian itu ke atasnya dan ke atas Anwar.
Dalam Cuit bertarikh 6 April lalu bertajuk: Episod malang dan bala Anwar: Rakyat berhak tahu! saya ada menulis mengenai kaedah poligraf ini. Tulisan itu dibuat dua hari setelah petikan pertama video seks tersiar di YouTube.
Ini petikannya: SAYA tertarik untuk memetik surah Yasin ayat 65 yang berbunyi: "Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan".
Ia membawa erti mulut manusia mungkin boleh bercakap bohong, mendusta, tapi tangan dan kaki akan menjadi saksi kepada pendustaan kita itu, kata sahabat seorang ahli matematik dan komputer sains yang percaya sejenis alat boleh membuktikan seseorang itu bercakap bohong atau tidak.
Katanya, apabila wayar-wayar dipasang di jari-jari tangan dan anggota badan maka orang itu akan diuji untuk bercakap benar atau bohong. Mesin itu dikenali sebagai poligraf (polygraph) atau alat kesan pembohongan, mungkin boleh menjadi salah satu alat ujian untuk kes-kes seperti itu.
Orang yang bohong biasanya boleh dikesan melalui dengupan jantung dan nadi, peluh di jari-jari, getaran di halkum dan lain-lain.
Ujian poligraf jarang-jarang dilakukan di Malaysia. Difahamkan ada beberapa agensi penguat kuasa mempunyai alat itu tapi hanya digunakan untuk urusan dalaman sahaja.
Pihak polis tidak menggunakan poligraf untuk mengesan peringkat awal pengakuan tertuduh dalam sesuatu kes.
Di Amerika ia banyak digunakan untuk orang yang disyaki terbabit dalam jenayah seksual. Ia juga banyak digunakan ke atas pesalah seksual yang dibebaskan secara parol atau di bawah pemerhatian.
Banyak mahkamah rayuan persekutuan di Amerika menyokong penggunaan poligram untuk pesalah seksual yang dibebaskan di bawah pemerhatian bagi menilai keinginan seks, pemikiran dalaman dan naluri.
United Kingdom juga dikatakan akan mewajibkan ujian poligram ke atas pesalah seksual yang dibebaskan atas jaminan.
Menurut sahabat tersebut, ayat Kursi itu dengan jelas membuktikan bahawa anggota badan lain kita tidak akan menipu sekiranya mulut asyik mengatakan dia difitnah, ditipu atau tidak melakukannya.
Walaupun poligraf ada kelemahannya, sahabat itu berkata, banyak kes yang boleh diselesaikan jika ujian tersebut digunakan dalam urusan siasatan dan forensik di Malaysia. Apa kata polis?
Setelah Eskay bersumpah laknat, kini beliau akan mencabar Anwar melakukan ujian poligraf pula. Sanggupkah Anwar?
Episod ini akan lebih mendebarkan, kita tunggu...
(Petikan akhbar Utusan Malaysia, 4 Mei 2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan