Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Kadir berbuat demikian dengan melakukan serangan memburuk-burukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi tulisan bertajuk Banjir is the Watershed for Change seperti disiarkan di laman blognya 'The Scribe A. Kadir Jasin' (http://kadirjasin.blogspot.com) Jumaat lalu.

Menurut beliau, dalam tulisan itu, Kadir telah melemparkan pelbagai tuduhan liar, fitnah dan tidak bertanggungjawab terhadap Najib.

"Cuma mungkin motif sahaja berbeza, Kadir menyerang Najib agar beliau berhenti segera daripada menjadi Perdana Menteri, maka senanglah agenda peribadi mereka tercapai.

"Mungkin beliau mahu Tun Daim Zainuddin kembali menjadi Menteri Kewangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam tulisan tersebut, Kadir mengkritik Perdana Menteri kerana bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di Hawaii pada 25 Disember lalu ketika banjir besar me­landa kawasan Pantai Timur.

Mohd. Puad menambah, golong­an yang ingin menjatuhkan Najib itu menggunakan media baharu bagi melakukan serangan memburuk-burukkan Perdana Menteri dengan alasan kononnya untuk menyelamatkan UMNO dan BN

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, mereka lupa tentang sikap pakatan pembangkang yang suka memutarbelitkan segala isu dan mewujudkan persepsi negatif terhadap langkah-langkah positif yang diambil kerajaan.

"Kadir secara tidak langsung terlibat dalam kegiatan ini," ujarnya.

Mohd. Puad berkata, Kadir tidak sepatutnya menjadikan 'Julius Caesar' dan 'Rom' sebagai analogi untuk menjatuhkan Najib.

"Analogi itu tidak tepat kerana Rom tetap dalam keadaan porak-peranda, malah berlaku perang saudara yang berpanjangan selepas Caesar dibunuh," jelasnya.

Menurut beliau, situasi di negara ini juga amat berbeza kerana Rom pada era pemerintahan Caesar, dipimpin oleh pihak tidak berwibawa dan mementingkan diri sendiri.