Jasindaily Online Posted: 14 Sep 2014 09:05 AM PDT PRK N01 PENGKALAN KUBUR : CARA KOTOR LAGI MENJIJIKKAN Posted: 14 Sep 2014 02:19 AM PDT TUMPAT: Umno kini dilihat bermati-matian mempertahankan Dun Pengkalan Kubor sehingga terpaksa menggunakan khidmat cybertrooper dan pengedaran cakera padat (VCD) bagi memburukkan PAS. Terbaru siber tropper Umno menggunakan isu ketidakhadiran pemimpin utama DAP pada perarakan penamaan calon semalam bagi menggambarkan hubungan dingin dalam Pakatan Rakyat. Anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, ada penduduk menemui VCD yang mempersoalkan tahaluf siyasi PAS bersama parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.
Katanya turut dijelaskan dalam VCD tersebut Umno lebih awal mengadakan tahaluf siyasi dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN). "VCD yang diedarkan di merata tempat di kawasan Pengkalan Kubor sempena kempen pilihan raya kecil sekarang. Saya harap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan propaganda tersebut," katanya di sini. Umno juga terpaksa menggunakan gambar calon BN, Mat Razi Mat Ail dengan memakai serban dan jubah sambil berdoa diletak di tepi-tepi jalan. Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud berkata, jarang berlaku seseorang yang memakai serban dan berjubah berada dalam perjuangan Umno.
"Orang yang pakai serban kebiasaannya mereka lebih faham ilmu agama dan bukan sekadar pandai mengajar qiraati sahaja. "Kalau nak bagi nampak hebat janganlah pula meniru bulat-bulat gaya Tok Guru Nik Aziz berdoa sebagai bahan kempen pilihan raya," katanya pada ceramah di Kampung Tebing malam tadi. Kempen yang masuk hari kedua hari ini tambah rancak dengan ceramah kedua-dua pihak diadakan malam tadi. PAS mengadakan ceramah di Kampung Simpangan, Kampung Geting dan Bunohan.
Ceramah tersebut membabitkan pemimpin-pemimpin utama PAS iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib-Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa. Umno pula mengadakan ceramah di Pengkalan Kubor. Petugas parti pula sibuk mempersiapkan markas dan pos parti. Kempen PAS tambah rancak dengan kemunculan akhbar harian yang dikenali sebagai Pengkalan Kubor Kito, mulai diedar kepada orang ramai mulai semalam.
Keluaran pertama yang memaparkan tajuk "Wan Rosdi harapan rakyat" diedarkan berpusat di Markas Besar Pengkalan Kubor di Kampung Geting. Akhbar harian itu diterbitkan Lajnah Penerangan Badan Perhubungan PAS Kelantan turut diedarkan petugas kalangan anak-anak muda kepada orang ramai. Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kehadiran akhbar harian setebal empat halaman itu sekurang-kurangnya dapat memuatkan maklumat terkini kempen kepada pengundi. "Setidak-tidaknya ia dapat menyaingi berita propaganda dimuat dalam akhbar harian milik Umno," katanya. – HARAKAHDAILY | Tuan Guru Nik Aziz Optimis Calon Dipilih Rakyat Posted: 13 Sep 2014 03:47 PM PDT TUMPAT: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor berjalan baik mengikut amalan demokrasi. Katanya, tidak perlu melakukan perkara yang bertentangan demokrasi kerana pengundi telah akil baligh. Beliau berkata demikian kepada media di tempat penamaan calon, di sini hari ini. Katanya lagi, setiap perkara yang dilakukan di dunia ini akan berkait dengan akhirat, termasuk pilihan raya.
"Hanya ajaran Islam sahaja yang akan mengingatkan umat manusia pada hal akhirat dan bukannya ajaran sekular. "Setiap pembalasan akan berlaku di akhirat kelak sama ada yang baik atau yang buruk," ujarnya. Walaupun tidak mengenal secara peribadi, namun apabila kepimpinan PAS kawasan memilih calon, sudah tentu ia cukup baik untuk mewakili Pakatan Rakyat. "Insya Allah, hasil kerjasama kita semua pihak, sokongan padu rakan Pakatan Rakyat, calon kita akan dipilih rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY | Harga Rumah Di Malaysia Termahal Posted: 13 Sep 2014 03:44 PM PDT KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga rumah semakin mendapat perhatian masyarakat di negara ini, kata Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan. Kataya, peningkatan harga rumah pada suku pertama tahun ini kepada RM276,000 seunit membuktikan kebimbangan tersebut. Menurut beliau lagi, meskipun lonjakan kenaikan tersebut secara relatifnya lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun paras harga itu melebihi paras kemampuan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Tambahan pula, katanya laporan Indeks Harga Rumah daripada firma penyelidikan Global Knight Frank yang dibentangkan pada Jun 2014 yang lalu menunjukkan Malaysia berada pada tempat ke-15 dalam senarai negara yang mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi sepanjang suku pertama tahun ini dengan kenaikan sebanyak 8 peratus. Laporan tersebut, tambah beliau menunjukkan Malaysia berada di bawah China, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia dan beberapa negara yang lain.
Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, UAE, China dan Estonia pula berada pada senarai tiga tertinggi iaitu masing-masing dengan kenaikan 27.7 peratus, 17.5 peratus dan 16.2 peratus. "Apa yang membimbangkan saya adalah sikap kerajaan yang tidak memandang serius bagi menangani masalah kenaikan harga rumah yang berlaku saban tahun," ujarnya dalam satu kenyataan. Katanya, penggelembungan dalam pasaran harga rumah atau kediaman tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan. Beliau berkata, apabila permintaan terhadap rumah tidak seiring dengan pembangunan perumahan, ia boleh mengakibatkan harga rumah meningkat secara mendadak.
Justeru, kata Nasrudin kerajaan seharusnya peka dengan permintaan domestik yang mahukan kawalan harga rumah yang lebih konsisten termasuk penambahbaikan dalam pengangkutan awam. Menurutnya, perlaksanaan sistem cukai GST pada April 2015 juga dibimbangi akan terus memberikan impak negatif kepada pasaran hartanah di negara ini. "Sudah pasti kenaikan pada harga rumah akan berlaku dengan perlaksanaan GST kelak. "Akhirnya, golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah akan merasai keperitan ini," ujarnya. - HARAKAHDAILY | Tekanan Dan Persaingan Faktor Kebocoran Soalan UPSR Posted: 13 Sep 2014 03:38 PM PDT PUTRAJAYA - Persaingan sengit dalam bidang akademik antara faktor yang menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab membocorkan soalan dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin tidak menolak kemungkinan tekanan untuk memastikan kejayaan peperiksaan itu turut menjadi punca insiden itu. "Itu saya rasa alasan paling kuat yang membolehkan orang mengambil kesempatan daripada peperiksaan bagi membuat duit atau sebagainya kerana semua orang hendak berjaya dalam akademik," katanya pada sidang berita selepas merasmikan perbincangan meja bulat 'Keselamatan Negara:Isu Pekerja Asing dan Cabaran Semasa' anjuran MPN dan Universiti Utara Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya insiden itu sudah pasti menimbulkan rasa kesedihan kepada pelajar, ibu bapa dan guru-guru terbabit. Beliau berkata, banyak pihak terlibat dalam proses penyediaan dan penghasilan kertas soalan peperiksaan termasuk pencetak. "Kebocoran soalan tidak dapat dielakkan terutamanya dalam negara di mana adanya persaingan pembelajaran dan sosial mobiliti melalui pendidikan. "Jadi perlumbaan melalui pendidikan itu cukup sengit,"kata Shamsul Amri.
Berikutan kebocoran soalan itu, calon-calon perlu menduduki kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini. Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. - Bernama | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan