MELAKA: Bersempena Ramadan yang mulia ini Dewan Muslimat PAS Melaka dan Sekretariat Adun Bukit Baru telah mengadakan majlis meraikan golongan fakir miskin dan anak yatim di sini baru-baru ini sekali gus menyumbangkan barangan keperluan harian serta duit raya kepada mereka.
Program dirasmikan oleh Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim dan turut dihadiri Ketua Muslimat Melaka, Kintan Man serta Ahli Parlimen Bukit Katil, Samsul Iskandar Mat Akin.
Menurut Dr Khalid, masyarakat diharapkan sentiasa prihatin dengan golongan kurang berkemampuan seperti fakir miskin dan anak yatim kerana mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang memerlukan perhatian kita.
"Saya mengalu-alukan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada golongan ini kerana mereka perlu dibantu bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka apatah lagi dalam keadaan tekanan kenaikan harga barangan keperluan yang makin meningkat.
"Kita mengharapkan dengan usaha yang sedikit ini dapat meringankan kesusahan mereka dan dapatlah mereka menyambut hari raya yang bakal tiba tidak berapa lagi dalam suasana ceria seperti orang lain," ujar beliau.
Dr Khalid meminta kerajaan tidak menyisihkan golongan ini dalam pemberian bantuan yang sepatutnya kerana masih berlaku penafian bantuan hanya kerana mereka menyokong Pakatan Rakyat khususnya di Melaka.
"Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi semua rakyat mempunyai hak walaupun berbeza dari segi pandangan mahupun latarbelakang politik kerana ianya dijamin di dalam perlembagaan negara kita.
"Ianya tidak dilaksanakan oleh Umno/BN yang tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat walaupun dipilih oleh rakyat di sesuatu kawasan.
"Walau bagaimanapun kita berusaha dengan sedaya mungkin untuk membantu golongan ini dan terima kasih diucapkan kepada para penderma serta penyumbang yang diharapkan segala bentuk sumbangan itu diterima Allah sebagai amal jariah kita,"katanya.
Harakah 27 - 29 RAMADAN 1435 / 25 - 27 JULAI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan