KEJOHANAN Piala Thomas adalah pertandingan utama badminton peringkat  antarabangsa bagi 
berpasukan lelaki yang dinamakan sempena nama bekas  Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Sir George Alan  Thomas.
 Kejohanan pertama yang berlangsung pada 1949 di Queen's Hall,  Preston, England telah dimenangi Malaya yang menewaskan Denmark 8-1.
 Mulai 1984, kejohanan itu telah diadakan dua tahun sekali berbanding  tiga tahun sekali sebelumnya dan format pertandingan juga ditukar kepada  lima perlawanan sahaja berbanding sembilan sebelum ini iaitu tiga  perseorangan dan dua beregu.
 Berikut adalah fakta-fakta menarik mengenai kejohanan itu yang diadakan di Stadium Siri Fort, New Delhi, India, baru-baru ini.
 - RASHID PERNAH RANGKUL KEJUARAAN
 Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, 46, adalah salah seorang  pemain yang bertanggungjawab membantu Malaysia merangkul Piala Thomas  terakhir pada 1992 dengan menundukkan Indonesia 3-2.
 Pada perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur,  Rashid  sebagai pemain perseorangan pertama telah mengalahkan lawannya  dari Indonesia, Ardy Wiranata.
 Turut sama menyumbang bakti ketika itu ialah adik beradik beliau,  Razif dan Datuk Seri Jalani Sidek selain Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit,  Soo Beng Kiang dan Kwan Yok Meng. Kejayaan itu dikatakan berpunca  daripada semangat berpasukan dan tidak mudah patah semangat, sesuai  dengan lagu rasmi pasukan iaitu iaitu 'Fikirkan Boleh' walaupun Malaysia  tidak dianggap pasukan yang kuat.
 Beliau turut bertanding ketika Malaysia menjadi naib juara piala berkenaan pada 1988, 1990 dan 1994.
 - NASIB PARK JOO BONG
 Kemenangan Jepun cukup bermakna buat Ketua Jurulatihnya, Park Joo  Bong, 50. Ini kerana sepanjang zamannya, beliau adalah pasukan  beregu  handalan Korea Selatan. Beliau tidak pernah mendakap trofi keagungan  badminton dunia itu.
 Beliau juga pernah menjadi Ketua Jurulatih Malaysia dari 2000 hingga  2003. Pada 2002, beliau  berjaya membantu Malaysia menjadi naib juara  Piala Thomas.
 Joo Bong hampir kembali ke pangkuan Malaysia pada awal 2013 sebagai  pengarah kejurulatihan sebelum membuat pusingan U pada saat akhir  selepas menerima tawaran lanjutan kontrak hingga 2016 daripada Persatuan  Badminton Jepun.
 - JURULATIH MALAYSIA
 Kejayaan Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Thomas 2014 adalah hasil bimbingan majoriti jurulatih tempatan.
 Selain Rashid, jurulatih perseorangan ialah Tey Seu Bok, Wong Tat  Meng manakala jurulatih beregu ialah Pang Cheh Chang, Rosman Razak, Tan  Kim Her dan Jeremy Gan.
 Bekas pemain badminton Indonesia, Hendrawan turut membantu melatih perseorangan negara.
 Ini berbeza ketika merangkul Piala Thomas pada 1992 yang menyaksikan  jurulatih terdiri daripada gandingan anak tempatan dan asing.
 Ketua Jurulatih ketika itu ialah legenda badminton negara, Datuk P.  Punch Gunalan manakala jurulatih pula adalah dari China iaitu  Han Jian,  Chen Changjie dan Yang Yang.
 - PERLU MENUNGGU 24 TAHUN
 Kekalahan kepada Jepun menyebabkan Malaysia terpaksa menunggu dua  tahun lagi atau 24 tahun sejak 1992 untuk mencuba nasib sekali lagi.
 Jika Malaysia dapat merangkul Piala Thomas pada 2016, ia adalah rekod  yang lebih baik berbanding penantian 25 tahun sejak 1967 untuk menang  semula pada 1992.
 - KEJUARAAN PERTAMA JEPUN
 Kejayaan menjadi juara Piala Thomas 2014 adalah kali pertama bagi  Jepun. Dalam tempoh 65 tahun piala itu dipertandingkan, ia hanya  dimenangi oleh tiga negara secara bergilir-gilir iaitu  Indonesia (13  kali), China (sembilan) dan Malaysia (lima).
 Kemampuan Jepun untuk mencipta 'tsunami' sudah dijangka lebih awal  apabila menewaskan China 3-0 pada aksi separuh akhir walaupun negara itu  mempunyai rekod cemerlang menjadi juara lima kali berturut-turut  sehingga 2012.
 Turut kecundang dibaham tsunami ialah jaguh nombor dua dunia, Chen Long, 25, serta jaguh nombor enam dunia, Du Pengyu, 26.
 Kejayaan Jepun itu adalah sesuatu yang menakjubkan memandangkan badminton bukan sukan popular di negara itu.
 - BARISAN PEMAIN MUDA JEPUN
 Pemain yang membawa kejayaan kepada negara matahari terbit itu majoriti berusia 25 tahun dan ke bawah.
 Antara pemain yang berusia 25 tahun ialah Takuma Ueda yang  mengalahkan Liew Daren, 27, dari Malaysia dalam perlawanan  penentuan  dan jaguh nombor empat dunia, Kenichi Tago  yang telah mengalahkan Chen  Long.
 Seorang lagi ialah juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2012, Kento  Momota yang telah mengalahkan Du Pengyu yang baru berusia 19 tahun.
 Individu yang bertanggungjawab menggilap bakat Momota ialah jurulatih  remaja Kelab Badminton Nihong dari Malaysia, Izuan Ibrahim.
 - PERLAWANAN TERAKHIR CHONG WEI
 Jika Malaysia meletakkan harapan untuk mendakap Piala Thomas pada  2016, ia tidak boleh bergantung harap kepada jaguh nombor satu dunia,  Datuk Lee Chong Wei, 32, yang dijangka tidak bertanding. Dalam  perlawanan akhir kali ini, Chong Wei telah mengalahkan Tago 21-12,  21-16.
 Ketiadaan beliau sudah pasti memalapkan harapan Malaysia kerana  rata-rata ranking pemain pelapis jauh ketinggalan seperti Daren yang  kini pada kedudukan ke-66 terbaik dunia.
 Yang berada dalam senarai 10 terbaik dunia hanyalah beregu lelaki  negara, Thien How Hoon dan Wee Kiong Tan iaitu ranking ketujuh dan  beregu campuran Malaysia, Peng Soon Chan dan Liu Ying Goh pada kedudukan  kelapan terbaik dunia.
 - NAIB JUARA KALI KESEMBILAN
 Walaupun kalah, Malaysia boleh berbangga kerana dapat menjadi naib  juara untuk kali kesembilan iaitu paling banyak. Malaysia juga pernah  menjadi naib juara pada 2002, 1998, 1994, 1990, 1988, 1976, 1970 dan  1958. Denmark pula menjadi naib juara sebanyak lapan kali, diikuti  Indonesia (lima), China (dua), Korea Selatan (dua), Thailand (satu) dan  Amerika Syarikat (satu).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan