Pemilihan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon bagi menggantikan suaminya Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, bukti jelas Ketua Pembangkang itu tidak mempercayai pemimpin lain dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selain itu, tindakan Anwar memilih isterinya juga mengesahkan lagi bahawa PKR adalah parti anak beranak berasaskan nepotisme 'kronik' yang diwujudkan semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik Ketua Pembangkang tersebut dengan berselindung di sebalik amalan demokrasi bagi mengaburi mata penyokong pembangkang.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, beberapa nama besar PKR dan pemimpin tempatan di Kajang langsung tidak mempunyai nilai di hati Anwar kerana Ketua Pembangkang tersebut lebih mempercayai ahli keluarga sendiri berbanding orang lain.
Pada masa sama, beliau berkata, tindakan Anwar memilih Wan Azizah juga merupakan tamparan hebat kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kerana Presiden PKR itu mempunyai hubungan baik dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi pengaruh Menteri Besar Selangor.
"Bagi saya adalah lebih baik Anwar melantik menantunya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (suami Nurul Izzah) bagi melengkapkan sinopsis amalan nepotisme PKR.
"Ini kerana Wan Azizah sudah tercemar rekodnya sebagai ahli Parlimen sebelum ini. Ketika diberi peluang oleh pengundi Permatang Pauh dahulu beliau mengkhianati amanah tersebut dengan meletakkan jawatan tanpa sebab semata-mata demi kepentingan politik Anwar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Azizah, 62, yang juga Presiden PKR dipilih menggantikan Anwar selepas suaminya itu tidak layak menjadi calon, berikutan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang pada Jumaat lalu kerana bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Zahid yang juga bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan melahirkan rasa simpati terhadap Wan Azizah kerana terpaksa menanggung pelbagai beban politik akibat perbuatan suaminya.,
"Sepatutnya pada ketika ini Wan Azizah berbahagia dengan cucu-cucunya dan bukannya berterusan terheret dalam masalah yang dicetuskan Anwar," katanya.
Warna-warni Politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan