Walaupun tempoh rasmi kempen hanya 12 hari, dengan kedua pihak yang bertanding telahpun memulakan kempen 'tidak rasmi' mereka sebaik kerusi DUN Kajang dikosongkan 27 Januari lalu; ini mungkin kempen PRK paling lama dalam sejarah.
Seramai 38,055 pengundi bakal mengundi hari ini setelah 1,197 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka Rabu lalu.
Fokus PRK yang dipanggil 'langkah Kajang' ini dikatakan Pakatan Rakyat sebagai referendum menentang ketidakadilan, kepincangan sistem kehakiman dan gerakan pelampau agama.
Perkara itu akan tergambar daripa keputusan hari ini. Soalnya, adakah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mampu menambah majoriti hampir 7000 undi pada 2013 atau sebaliknya.
Calon BN Chew Mei Fun pula dilihat mahu memperbaiki sokongan kaum Cina yang hanya di takat 40 peratus pada pilihan raya umum lalu, sekali gus membuktikan partinya MCA masih relevan.
Pengiraan undi dari 18 daerah mengindi Kajang akan dilakukan di Stadium Majlis Perbandaran Kajang dengan keputusan dijangka diketahui secara berperingkat tidak lama selepas pengundian ditutup jam 5 petang ini.
Apa pilihan penduduk Kajang?
LAPORAN LANGSUNGSehingga jam 1 tengah hari tadi, seramai 17,977 pengundi atau 47.24 peratus daripada 38,055 pemilih berdaftar keluar mengundi
1.21pm Sekolah Kebangsaan Sungai Sekamat - Walaupun tempoh membuang undi sudah berlalu lima jam, suasana di pdm Sekolah Kebangsaan Sungai Sekamat masih lagi hangat dengan provokasi daripada penyokong kedua-dua parti.
Penyokong PKR dan Umno dilihat saling berbalas jeritan dan laungan, tidak terkecuali memaki calon yang bertanding.
Pasukan Gerakan Am yang didatangkan ke pdm ini dengan enam trak sebentar tadi ini sentiasa berjaga dan mengawal sepanjang jalan berhampiran sekolah ini, khususnya di hadapan peraih undi.
Namun keadaan di sekitar masih terkawal dengan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
12:53pm Sekolah Kebangsaan Sekamat - Kelihatan Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh melawat pusat mengundi di sini.
Seketika kemudian enam buah trak polis tiba sebagai persediaany sekiranya berlaku keadaan yang tidak diingini.
Pusat mengundi ini dikatakan antara yang paling gamat dan berisiko untuk tercetus insiden kekecohan atau ketegangan antara penyokong dua parti yang bertanding.
12.30pm Sekolah Kebangsaan Kajang - Bilangan penduduk Kajang keluar mengundi agak kurang pada jam ini dipercayai disebabkan cuaca panas disamping terpaksa menyelesaikan urusan seharian terlebih dahulu sebelum keluar mengundi.
Kelihatan beberapa penyokong daripada kedua-dua belah parti (BN dan PKR) namun mereka tidak melakukan sebarang provokasi.
Di Pusat Daerah Mengundi (PDM) ini dilaporkan seramai 1221 pengundi berdaftar dengan sebanyak tiga saluran.
Keadaan lalu lintas juga terkawal.
12pm: Seramai 15,529 (40.81 peratus) keluar mengundi setakat tengahari.
11.53am Sekolah Agama Persekutuan Kajang - Lebih 100 penyokong dari kedua- dua parti dilihat sengaja mencetuskan provokasi dengan menyindir sesama mereka.
Mereka menyanyikan lagu 'Botingkek-tingkek' nyanyian penyanyi Waris tetapi menukar liriknya kepada "Bodoh bertingkat-tingkat..."
11.45am SK Saujana Impian - Kira-kira 25 orang pengundi bagi saluran 1 dan 2 telah memasuki kawasan sekolah dan beratur untuk mengundi.
Sebanyak lima saluran dibuka di pusat mengundi ini.
Tidak kelihatan penyokong daripada kedua-dua parti berhimpun di sekitar kawasan sekolah untuk meraih sokongan pengundi yang hadir.
Seramai 2014 pengundi berdaftar di SK Saujana Impian.
11.25am Sungai Sekamat - Keadaan jalan agak sesak di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat. Lebih 30 anggota FRU ditugaskan untuk menjaga keamanan di sekitar kawasan terbabit.
Namun ia bukan kerana pengundi berpusu-pusu membuang undi sebaliknya kerana Pasar pagi yang lazim diadakan di Jalan Sekamat 1 setiap hari Ahad.
Bagaimanapun pusat pembuangan undi ini agak aktif dengan penduduk tempatan mengambil peluang memilih ADUN baru mereka.
11.16am Kajang - Satu kumpulan penyokong BN bermotosikal diketuai pemimpin Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah membunyikan enjin jentera merea ketika melalui beberapa pusat pengundian.
Mereka memulas pendikit minyak untuk membuatkan enjin motosikal menderu kuat sehingga menenggelamkan laungan penyokongan lawan.
Kumpulan berkenaan berbuat demikian selama kira-kira 10 minit sebelum meninggalkan kawasan tersebut dalam keadaan kelam akibat kepulan asap motosikal.
Sementara itu seramai 20 orang penunggang basikal, termasuk seorang warga emas yang memakai baju dengan tulisan 'Power of Rakyat' dan 'Rakyat Is Not A Fool' turut mengunjungi kawasan-kawasn pengundian untuk menunjukkan sokongan.
11.10am SK Saujana Impian - Keadaan di sini aman, pengundi mula memasuki pusat pengundian. Kira-kira 30 anggota polis mengawal keselamatan dan lalulintas di SK Saujana Impian.
Menurut SPR, setakat jam 10 pagi, seramai 8,433 (22.16%) orang telah mengundi.
10.30 pagi Sekolah Kebangsaan Convent Kajang - dilaporkan berlaku kekecohan antara penyokong kedua-dua belah pihak akibat provokasi keterlaluan. Kesemua mereka berkumpul 50 meter di luar kawasan pengundian.
Laungan 'Reformasi' dari penyokong Pakatan Rakyat dan penyokong BN melaungkan 'Hidup BN'.
Penyokong juga meniup 'vuvuzela' meriuhkan suasana.
10.30am Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiba di pusat pengundian Sg Chua.
10.27am Datuk Seri Dr Wan Azizah Sampai Wan Ismail sampai di pondok panas PKR yang terletak kira-kira 150 meter daripada pusat mengundi. Beliau sempat bergambar dengan penyokong yang melaungkan "Reformasi".
Manakala penyokong BN pula melaungkan "Tolak Kak Wan" dan "Tolak PKR" sewaktu Wan Azizah bersalaman dengan penyokong Pakatan dan kenderaan lalu lalang di situ.
Kedengaran juga seorang penyokong Tiong Hua yang bersalaman dengan beliau berkata: "Kita sudah menang".
Wan Azizah menyambutnya dengan senyuman. Beliau kemudiannya terus menuju ke pusat pengundian SK Kantan Permai.
10.15am SK Kantan Permai - Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba di pondok panas PKR sampai bersalaman penyokong Pakatan yang berada di situ termasuk kenderaan yang berhenti.
Penyokong Pakatan yang berada di situ mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya bersama-sama bekas pesuruhjaya PAS Melaka Abdyl Ghani Abdul Rahman dan Datuk Lajim Ukin.
Bagaimanapun ketua pembangkang itu tidak melalui kawasan yang dipenuhi dengan penyokong BN.
Penyokong BN tidak melaungkan apa-apa sewaktu kehadiran Anwar kerana tenggelam dengan laungan penyokong PKR yang melaungkan "Tolak BN" dan "Reformasi".
10.15am Sg Kantan - Kesesakan lalu lintas menyebabkan pemimpin politik membonceng motor untuk meninjau kawasan pengundian.
Antara yang dilihat ialah Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin dan Naib President Umno Datuk Shafie Apdal.
Suasana di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan meriah dengan kedua-dua penyokong dipisahkan sebatang jalan dan berlawan sorak di hadapan lawan masing-masing.
10.00am Sungai Chua – Seorang lelaki menarik perharian apabila mengandar kangkung di kawasan penyokong Pakatan.
Lelaki 64 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad itu berkata, beliau memandu dari Pahang untuk bersama-sama di Kajang pada hari ini.
"Saya mahu ingatkan pengundi di sini, (Datuk Seri) Najib (Razak) menyebabkan harga gula naik, tetapi tidak masuk akal bila kata harga kangkung turun.
"Kita sudah tak boleh tahan!" katanya yang melaungkan "kangkung turun tapi harga gula naik" kepada orang ramai.
10.00am SK Kantai Permai - Dipisahkan hanya satu lorong ke Sekolah Kebangsaan Kantan Permai, penyokong BN dan PKR meraih undi kepada pengundi yang menuju ke pusat pengundian itu.
Penyokong BN yang kelihatan lebih ramai daripada penyokong PKR melaungkan " Hidup BN", "Hancur Anwar", "Tolak Anwar" dan "Tolak Kak Wan" beberapa kali sambil mengibar bendera dan poster Chew Mei Fun.
Manakala penyokong Pakatan hanya melaung reformasi. Pondok panas mereka hampir bertentangan satu sama lain.
Berlaku sedikit kekecohan apabila seorang pemandu kereta - tidak dapat dipastikan penyokong BN atau PKR - telah melanggar belakang sebuah motosikal di hadapan kedua-dua penyokong menyebabkan penyokong BN marah.
Bagaimanapun, kekecohan itu dapat ditenangkan oleh anggota polis.
9.55am Kajang - Polis minta pekerja parti, kecuali yang membantu warga emas, beralih daripada pusat pengundian di SK Convent Kajang.
Perayu undi MCA dilihat merekodkan jumlah pengundi yang tiba mengikut bangsa. Mereka juga dilihat mendekati pengundi Cina dengan berkata "Chew Mei Fun" dan "hua ren".
Ditanya sama ada dibenarkan berbuat demikian, dia menjawab: "Siapa kamu? Wartawan? Saya juga boleh jadi wartawan. Saya tidak pakai mana-mana logo parti."
"Kamu tidak cakap bahasa kami jadi kamu tidak tahu apa saya kata. Kamu tak perlu wawancara saya.
"Saya tidak takut, saya tidak sembunyikan apa-apa atau buat salah. Jika saya macam itu polis boleh tangkap," kata lelaki bergelar "Datuk" itu yang enggan mendedahkan identitinya.
9.43am Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan pengurusan dibeberapa pusat pengundian oleh SPR. Terdapat Saluran 1 yang terdiri daripada warga emas yang ditempatkan di tingkat 1. Beliau berkata sepatutnya demi kemudahan mereka, ditempatkan di tingkat bawah. Bayangkan kesusahan mereka yang berusia 70 tahun untuk memanjat tangga.
Apabila ditanya berkenaan kadar keluar mengundi setakat ini, beliau berkata agak perlahan tetapi jentera sedang berusaha untuk melancarakannya.
9.05am Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Sungai Chua. Datuk Seri Dr Wan Azizah berjumpa pengundi di pusat pengundian Sek Keb Tinggi Kajang.
9.00am SK Kantan Permai - Suasana pilihan raya DUN ini semakin 'panas' apabila semakin ramai penyokong BN membanjiri pusat pengundian ini.
Malah, mereka yang berdiri di kiri dan kanan jalan menyanyikan lagu 'Inilah Barisan kita' beramai-ramai sambil diperhatikan oleh penyokong PKR dan Pakatan.
Suasana lebih meriah, apabila seorang penyokong Puteri Umno mengetuai lebih 200 penyokong BN yang berhimpun di luar pusat mengundi, bersorak" Hidup BN" beberapa kali.
8.45am SK Kantan Permai - Kira-kira 35 anak muda penyokong BN menunggang motosikal sambil memulas minyak sehingga menimbulkan bunyi bising dan mengeluar asap sambil mengibarkan bendera sekaligus mengganggu penyokong yang merayu di luar kawasan mengundi.
Salah seorang perayu undi PKR berteriak beberapa kali kepada mereka: "Baguslah, baguslah, buat macam ini."
8.36am SK Kantan Permai - Penyokong BN lebih mendominasi penyokong PKR untuk meraih sokongan pengundi yang masuk ke sekolah ini. Lebih 100 orang penyokong BN mengibar bendera dan payung sambil melaungkan "Hidup BN, Undilah" BN.
Manakala kira-kira 35 penyokong PKR pula memegang poster Wan Azizah dan bendera PKR sambil menunjukkannya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Terdapat juga kenderaan yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada calon BN, menyebabkan penyokong parti bersorak.
8.30am Dewan Orang Ramai Sungai Chua - Penyokong BN dan PKR kelihatan berdiri bersebelahan di tepi jalan masuk ke Dewan Orang Ramai Sungai Chua.
Penyokong BN memakai topi dan vest berlambang BN sementara penyokong PKR memegang poster wajah Datuk Seri Wan Azizah bertulisan 'Dari Kajang ke Putrajaya'.
Turut kelihatan adalah kira-kira 10 orang anggota Unit Tindakan Ringan yang berkawal berhampiran tempat penyokong-penyokong tersebut berdiri.
Pada masa sama, aliran keluar masuk pengundi ke Dewan Orang Ramai untuk membuang undi kelihatan berjalan lancar tanpa masalah.
8.20am Sungai Chua – Chew memulakan harinya di Persatuan Jing Miao Buddhist sebelum melawat beberapa pusat pengundian. Beliau dijadual melawat SRJK (C) Sungai Chua pada-pada jam 9 pagi.
8.18am Kajang Beberapa pengundi dilihat mengalami masalah tersalah pusat pengundian.
"Kamu mengundi di Bukit Kajang, kawasan sebelah di Bangi," kata seorang agen pengundian pada pemilih.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menolak dakwaan seorang pengundi yang mendakwa, di Internet, dipindahkan keluar daripada Kajang tanpa persetujuan.
Kajang meliputi kawasan antara Batu 10 Cheras hingga Seksyen 14 Bangi.
8.05am SK Saujana Impian - Keadaan di sini aman, pengundi mula memasuki pusat pengundian. Kira-kira 30 anggota polis mengawal keselamatan dan lalulintas di SK Saujana Impian
8.00am Sungai Sekamat - Keadaan jalan agak sesak di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat.
Namun ia bukan kerana pengundi berpusu-pusu membuang undi sebaliknya kerana Pasar pagi yang lazim diadakan di Jalan Sekamat 1 setiap hari Ahad.
Bagaimanapun pusat pembuangan undi ini agak aktif dengan penduduk tempatan mengambil peluang memilih ADUN baru mereka.
7.55am SK Saujana Impian - Kira-kira 25 orang pengundi bagi saluran 1 dan 2 telah memasuki kawasan sekolah dan beratur untuk mengundi.
Sebanyak lima saluran dibuka di pusat mengundi ini.
Tidak kelihatan penyokong daripada kedua-dua parti berhimpun di sekitar kawasan sekolah untuk meraih sokongan pengundi yang hadir.
Seramai 2014 pengundi berdaftar di SK Saujana Impian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan