Jasindaily Online Posted: 29 Mar 2014 09:05 AM PDT BERAKHIR DILAUTAN HINDI BUKAN TEORI KAMI, TEORI SIAPA ?? - IMERSAT Posted: 29 Mar 2014 05:37 AM PDT Syarikat satelit yang berpangkalan di Britain, Inmarsat, berkata pihaknya tidak terbabit dalam membuat kesimpulan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi".
Pada malam 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi" dengan memetik analisis data satelit Inmarsat.
Bagaimanapun, pengumuman telah membangkitkan kemarahan dikalangan keluarga penumpang China, yang enggan menerima kesimpulan itu sehinggalah pesawat tersebut ditemui.Jurucakap Inmarsat Jonathan Sinnatt berkata Inmarsat hanya menyediakan maklumat dan terpulang kepada kerajaan Malaysia untuk membuat kesimpulan sendiri, laporan China Daily.
"Kami menyediakan maklumat kita kepada rakyat Malaysia, dan mereka menggabungkannya dengan maklumat yang lain yang mereka ada, yang kita tidak tahu tentangnya, dan kemudian mereka membuat kesimpulan daripadanya dan membuat pengumuman mereka sendiri."Kami tidak terbabit dengan apa yang Malaysia umumkan, itu terpulang kepada mereka, kerana mereka melihat gambaran penuh. Kami hanya menyumbang satu set maklumat," jurucakap itu dilaporkan berkata.
Sementara itu, Reuters melaporkan Xinhua hari ini berkata sebuah pesawat China telah mengesan tiga objek yang mencurigakan di kawasan carian baru di Lautan Hindi.Barang-barang itu masing-masing berwarna putih, merah dan oren, kata Xinhua.
Manakala Astro Awani pula memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata hari ini bahawa protokol keselamatan baru di pintu masuk negara, terutamanya KLIA, sedang dikaji dan diperbaiki jika perlu.Imigresen akan memasang APSS atau sistem pemeriksaan penumpang yang akan dilaksanakan pertengahan bulan Jun.
Bagaimanapun beliau enggan menjawab ketika ditanya mengenai protokol ruang udara, sambil berkata ia terletak di bawah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Kementerian Pengangkutan.
Mengenai pelanggaran keselamatan ruang udara kita seperti yang berlaku terhadap lencongan penerbangan MH370, Zahid berkata ia adalah satu perkara yang melibatkan Kementerian Pertahanan.Katanya, ketika beliau menjadi menteri pertahanan, Tentera Udara diberi tanggungjawab untuk memintas apa-apa unsur asing, tetapi bukan pesawat komersial, kerana radar primary dapat mengenal pasti antara sebuah jet pejuang, pesawat tentera dan pesawat komersil. | ISU MEMALI : TUN M TAK MENGAKU SALAH ? Posted: 29 Mar 2014 05:34 AM PDT Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau 'tidak ingat' sama ada beliau ada di negara ini ketika peristiwa Memali berlaku pada 1985. Katanya, beliau perlu mengkaji kembali perkara tersebut. "Saya sedang kaji kebenaran tentang apa yang disebut oleh beliau (Tun Musa Hitam). "Pasal ini berlaku sudah begitu lama saya kena semak baliklah apa yang dia kata betul ataupun tidak," kata Dr Mahathir ketika ditemui pemberita di sesi minum petang bersama Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) di Hotel Istana hari ini. Semalam, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam mendakwa Dr Mahathir berada di ibunegara ketika kereta perisai menuju ke kampung terpencil di Baling, Kedah itu untuk melumpuhkan satu kumpulan agama yang diketuai oleh Ibrahim Mahmud, yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya. Malah, Musa dilaporkan memberitahu satu forum di Kota Bharu semalam dan petikannya dimuat naik di Youtube, bahawa Dr Mahathir masih berada di Kuala Lumpur pada hari kedua, ketiga dan keempat selepas peristiwa tersebut.
Peristiwa bersarah Memali berlaku apabila kira-kira 400 anggota polis menyerbu kampung itu pada 19 November 1985 selepas berdepan dengan penduduk kampung yang enggan menyerahkan seorang pendakwah, Ibrahim Libya kepada pihak berkuasa yang menuduhnya sesat. Serbuan itu mengakibatkan 14 penduduk kampung dan empat anggota polis terbunuh. | Menunggu Jawapan Mahathir Mengenai Memali Posted: 29 Mar 2014 05:21 AM PDT Setelah lebih 30 tahun tersimpul rapi, walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam sebenarnya mempunyai banyak ruang untuk menceritakan segala rahsia mengenai peristiwa Memali sebelum ini, kenapa hanya sekarang beliau mendedahkan perkara itu tentunya menarik perhatian ramai.
Dalam sebuah forum anjuran kerajaan Pas Kelantan di Kota Bharu malam semalam, Musa Hitam yang ketika peristiwa Memali itu merupakan Menteri Dalam Negeri dan dipersalahkan oleh banyak pihak mengenainya, akhirnya mendedahkan bahawa ketika kejadian itu Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri, sebenarnya berada di dalam negara dan bukannnya di China sebagaimana yang diberitahu sebelum ini.
Malah Musa Hitam juga mendedahkan, dua tiga hari selepas kejadian itu pun, Mahathir masih berada di dalam negara. Kenapa Musa Hitam mengambil masa selama 30 tahun untuk mendedahkan perkara ini sedangkan ketika bersama Team B pada 1987 dahulu atau ketika hebat mengasak Mahathir ekoran pengharaman UMNO pada 1988, beliau tidak mendedahkannya? Apakah pula signifikannya beliau memilih Kelantan dan berucap di sebuah forum anjuran kerajaan Pas untuk mendedahkan perkara yang tersembunyi selama ini? Apakah ia bertujuan membersihkan dirinya daripada tanggapan buruk Pas selama ini terhadapnya? Setelah lebih 11 tahun bersara sebagai Perdana Menteri iaitu pada 2003, apakah kerana Mahathir masih aktif, berpengaruh dan mencampuri banyak perkara dalam politik negara, maka tujuan Musa mendedahkan perkara ini ialah untuk menghentikan semua penglibatan Mahathir itu?
Dalam peristiwa Memali yang berlaku pada 1985 dan menyebabkan seramai 14 orang terbunuh serta berpuluh yang lain cedera termasuk Allahyarham Ibrahim Libya, Musa Hitam atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri adalah paling dipersalahkan atas kejadian itu. Ia diperkukuhkan lagi bahawa ketika kejadian itu Perdana Menteri dilaporkan tidak berada dalam negara dan berada di China. Selain Musa Hitam menganggap insiden itu sebagai titik hitam dalan karier politiknya, apabila beliau kemudian meletakkan jawatan pada 1986 kerana berkrisis dengan Mahathir dan diikuti dengan kehilangan anaknya, Carlos Musa dalam kejadian Highland Tower, terdapat pengikut Pas yang menganggap ianya sebagai balasan Tuhan terhadap apa yang dilakukannya dalam peristiwa Memali itu.
Musa Hitam, di sebalik pelbagai dakwaan mengenai peranannya dalam peristiwa Memali itu, beliau tidak pula mahu membuka mulut mengenainya. Dengan itu, tafsiran umum ialah ianya merupakan kejadian yang melibatkan peranan penuhnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, lebih-lebih lagi bila diketahui pula Perdana Menteri tiada dalam negara ketika itu.
Dengan pendedahan Musa Hitam ini, ia tentunya menuntut jawapan segera daripada Mahathir. Jika benar beliau berada di dalam negara, tentunya beliau tidak boleh lepas tangan mengenainya. Konsep pertanggungjawaban bersama tidak mengecualikan Perdana Menteri dalam apa juga kejadian yang berlaku di dalam negara. Jika dalam Ops Lalang misalnya, Mahathir turut melibatkan Anwar Ibrahim dalam peristiwa itu semata-mata kerana tidak membantah di dalam mesyuarat kabinet atau meletakkan jawatan kerananya, maka dalam peristiwa Memali ini juga Mahathir tidak seharusnya dilepaskan daripada konsep pertanggungjawaban bersama kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu.
Jika benar beliau berada di Kuala Lumpur ketika kejadian dan dua tiga hari selepasnya, tentulah konsep pertanggungjawaban bersama itu lebih dekat hubungannya lagi dengan kuasa Perdana Menteri yang dipegang Mahathir ketika itu. Selain itu, apakah juga pendedahan Musa Hitam ini ada kaitan dengan beberapa kritikan yang sejak beberapa bulan lalu kerap dilemparkan oleh Mahathir terhadap kepimpinan Najib? Adakah Musa Hitam sebenarnya mahu mengurangkan kredebiliti serangan Mahathir itu dan kemudian berharap bekas Perdana Menteri itu tidak lagi mengganggu pentadbiran Najib? Jika benar pula, apakah Musa Hitam melakukannya dengan kerelaannya sendiri atau kerana diminta oleh kelompok Najib?
Sementera Pas nampaknya gembira dengan pendedahan Musa Hitam ini dan seolah-olah mendapat "senjata baru" untuk mengecam Mahathir, melihat kegigihan Mahathir dalam politik, sama ada ketika berkuasa atau ketika sudah bersara, persoalan yang timbul juga bagaimanakah bentuk jawapannya kali ini? Mungkinkah beliau mengaku, menafi atau akan melibas balik bekas timbalannya?
Tetapi yang pastinya, apa pun jawapan Mahathir nanti, beliau bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah. Selepas insiden MH370, dakwaan Musa Hitam dan jawapan Mahathir mengenai di mana beliau berada ketika peristiwa Memali adalah episod yang tidak kurang menariknya bagi rakyat negara ini./http://shahbudindotcom.blogspot.com | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan