PM tidak sahkan MH370 dirampas, misi diteruskan ke dua koridor baru
OLEH MOHD FARHAN DARWIS/malaysian Insider/Admin
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengesahkan laporan media berhubung pesawat MH370 dirampas dan pencarian pesawat ini sedang memasuki fasa baru ke arah dua koridor baru di utara Malaysia dan satu lagi di selatan negara ini.
Koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara Thailand manakala koridor selatan ialah di Indonesia dan selatan Lautan Hindi.
Perdana menteri berkata demikian pada sidang medianya sebentar tadi.
Pada sidang media itu, Najib yang membaca teks tanpa menerima sebarang soalan media, berkata Malaysia akan terus meningkatkan usaha mencari dan berharap maklumat baru yang diperolehi akan membawa kepada satu langkah mendekati penemuan pesawat itu.
Najib berkata, komunikasi terakhir MH370 dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu tempatan Sabtu lalu (hari kehilangan pesawat) di Selat Melaka.
Katanya, penyiasatan menunjukkan pergerakan penumpang kapal terbang itu dan hubungan telekomunikasi dibuat dengan sengaja namun beliau menolak ia satu rampasan.
Najib berkata, berdasarkan data daripada radar yang dikesan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kerajaan mengesahkan pesawat yang ditunjukkan dalam data asal adalah MH370.
Katanya, ia diperolehi berdasarkan kerja forensik yang dibuat oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia yang bekerja secara berasingan ke atas data yang sama.
"Berdasarkan data baru itu, kali terkahir komunikasi disahkan antara pesawat dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia hari Sabtu, 8 Mac," katanya.
Beliau berkata, pasukan penyiasat kemudian membuat pengiraan yang akan menentukan sejauh mana pesawat itu boleh terbang selepas perhubungan terakhir itu dan ia akan membantu kita membuat pencarian.
Katanya, berdasarkan jenis data satelit yang ada, ia bagaimanapun tidak boleh mengesahkan tempat pesawat itu membuat hubungan terakhir dengan satelit.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan data baru ini, pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya percaya kapal terbang itu boleh berada di dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Tukministan dan utara Thailand atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Najib berkata, berdasarkan perkembangan terkini ini, pihak berkuasa Malaysia memfokuskan penyiasatan mereka ke atas anak kapal dan penumpang.
"Walaupun ada laporan media yang mengatakan pesawat ini dirampas, saya ingin jelaskan kami masih menyiasat semua kemungkinan yang menyebabkan MH370 menyimpang dari laluan asalnya," katanya.
Katanya, data baru daripada satelit itu mempunyai kesan besar ke atas bentuk dan bidang operasi pencarian.
"Kami menghentikan pencarian di Laut China Selatan dan menilai semula penempatan aset kita," katanya.
Keluarga dan waris penumpang dan anak kapal MH370 menonton siaran langsung sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di lobi Hotel Everly, Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 15 Mac, 2014. MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing.
Setakat ini, 15 negara menyertai misi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan sejak seminggu lalu di kawasan Laut China Selatan, Selat Melaka dan kini diperluas di kawasan Laut Andaman dan Lautan Hindi.
Antara negara terlibat dalam misi berkenaan termasuk Amerika Syarikat, Vietnam, Australia, China, India dan Singapura. – 15 Mac, 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan