KEMAMAN – "Secara tiba-tiba arwah rebah ketika sedang pujuk seorang murid yang menangis sewaktu berbaris," kata rakan guru Tadika Kemas Meraga Beris, Kijal, Nor Aima Sulong, 43, yang meninggal dunia pada hari pertama persekolahan 2014, semalam.

Che Wan Ajariah Che Wan Ariffin, 30, yang juga guru Pintar Quran berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi ketika murid sedang berhimpun di dalam kelas itu mengejutkannya dan ibu bapa yang berada bersama anak masing-masing.

Nor Aima, yang juga Setiausaha Wanita Umno Cawangan Meraga Beris, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kijal, kira-kira jam 9.45 pagi akibat serangan jantung.

Che Wan Ajariah berkata, seorang ibu murid memberitahunya Nor Aima jatuh dan tidak sedarkan diri.

"Dia sedar selepas saya renjis air ke mukanya, tetapi beberapa minit kemudian dia pengsan kembali. Keadaan itu berlanjutan sampai tiga kali.

"Pihak Tadika menghubungi suaminya dan apabila suami arwah tiba, kami segera bawa arwah ke Klinik Kesihatan Kijal.

"Saya ada bersama arwah semasa dalam kereta dan waktu itu dia mengadu sakit pinggang dan sesak nafas sambil menggosok-gosok dadanya," katanya.

Bagaimanapun, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat dekat Balai Polis Kijal, kira-kira dua kilometer dari klinik, Nor Aima tiba-tiba kejang.

"Saya ajarnya mengucap, tapi tiada respons, namun nafasnya masih kedengaran sehinggalah kami sampai di klinik.

"Selepas kira-kira setengah jam dirawat, doktor mengesahkan dia meninggal dunia," katanya.

Mayat Nor Aima, ibu kepada tiga anak berusia 15, 11 dan 4 tahun itu, dihantar ke Hospital Kemaman di Chukai, untuk dibedah siasat.


Arwah lebih banyak diam

Che Wan Ajariah berkata, Nor Aima kelihatan lebih banyak berdiam diri sejak Isnin lalu.

"Semasa melakukan persediaan untuk menerima murid baru dua hari lalu di Tadika, dia tak banyak bercakap dan mukanya nampak pucat," katanya.

Sementara itu, guru kelas jahitan Kemas, yang juga Ketua Wanita Umno Cawangan Meraga Beris, Saadiah Mat Amin, 58, memberitahu, dia hairan apabila arwah tidak banyak bercakap dan kelihatan tidak bermaya.

"Bangunan kelas saya dan kelasnya bersebelahan. Dua hari lalu (Isnin), saya pergi ke kelasnya untuk berbincang mengenai pelantikan ahli-ahli Biro Wanita Umno Cawangan. Saya minta dia buat surat jemputan mesyuarat, tapi anehnya dia suruh saya uruskan sendiri perkara itu.

"Biasanya apabila diminta buat apa-apa kerja, dia akan buat sendiri," katanya.

Nor Aima menjadi Setiausaha Umno Cawangan sejak 23 tahun lalu.

"Dia pekerja parti yang sangat taat. Pemergian arwah merupakan kehilangan besar buat Umno dan saya buntu kerana orang seperti arwah sukar dicari ganti," katanya.


Suami terkejut arwah pergi

Kamarudin Salim, 41, berkata, pemergian isterinya itu satu dugaan besar buat keluarganya kerana arwah meninggal dunia dalam keadaan sihat.

"Sebelum ini isteri tak pernah mengadu dia sakit apa-apa dan tak menunjukkan sebarang perubahan pelik. Sebab itu saya sangat terperanjat apabila pihak Tadika menghubungi saya jam 9 pagi dan beritahu isteri tak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman, semalam.

Sementara itu, Penyelia Perhubungan Kemas Kawasan Dun Kijal, Razali Selamat berkata, arwah tidak pernah memohon cuti sakit sebelum ini dan merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi.

Jenazah arwah dituntut keluarga selepas solat Asar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Meraga Beris.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.