Selasa, 12 November 2013

BLOG - BLOG PARTI UMNO

BLOG - BLOG PARTI UMNO


HAMIM Ledang

Posted: 11 Nov 2013 03:40 AM PST

HAMIM Ledang


MITI galak penubuhan koperasi untuk bantu usahawan PKS

Posted: 19 Sep 2013 07:05 PM PDT


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggalakkan penubuhan koperasi bagi membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan dan memasarkan produk. 

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata dengan tertubuhnya koperasi, usahawan PKS dapat mengeluarkan produk dalam skala yang lebih besar dan dapat meningkatkan daya saing produk berkenaan. 

"Salah satu kemudahan yang boleh diwujudkan oleh koperasi ialah penubuhan Pusat Pengumpulan, Pengedaran dan Pemasaran. 


"Ia akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan bahan mentah secara pukal yang akan dijual kepada anggota koperasi serta usahawan PKS lain pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran," katanya dalam ucapan semasa merasmikan Konvensyen Koperasi Usahawan Groom Big, di sini, hari ini. 

Konvensyen itu yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini, dianjurkan oleh MITI dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

Program Groom Big adalah program pembangunan usahawan yang dilaksanakan untuk meningkatkan status dan kedudukan usahawan dari peringkat mikro sehingga kecil dan sederhana dan seterusnya meneroka pasaran eksport. 

Dalam merealisasikan matlamat program Groom Big, MITI tidak hanya melaksanakan program tersebut secara bersendirian, malah mendapat kerjasama dan sokongan dari pelbagai kementerian dan agensi lain, termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan dan swasta. 
Sementara itu, Hamim berkata penubuhan koperasi ini juga dapat menyelesaikan isu kekurangan bahan mentah dan menjadikan harga produk usahawan PKS lebih kompetitif. 

Bagi meningkatkan daya saing dalam penubuhan koperasi, Hamim berkata koperasi itu sendiri perlu mempergiat aktiviti pengembangan perniagaan secara agresif memandangkan kejayaan aktiviti tersebutlah yang akan menyumbang kepada kejayaan koperasi. 

"Faedahnya akan dapat dirasai dan dikongsi bersama ahli," katanya. 

Selain itu, Hamim juga menggalakkan usahawan supaya meneroka sektor baharu yang berpotensi dan menjanjikan pendapatan tinggi di samping mempelbagai keupayaan mereka dalam bidang Utama Ekonomi Negara. 

"Bidang-bidang ini termasuk sektor pelancongan, pengangkutan dan logistik, perniagaan automotif, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan industri perkhidmatan. 

"Justeru, usahawan dan koperasi haruslah lebih kreatif dan inovatif dalam mengembangkan perniagaan masing- masing," katanya. 

Sehingga kini, sembilan Koperasi Groom Big telah ditubuhkan di Negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis). 

Penubuhan koperasi Groom Big ini mendapat kerjasama dan sokongan daripada SIRIM Bhd dan SKM yang meliputi bimbingan dalam proses penyediaan pelan perniagaan serta kemudahan bagi mendapatkan sumber kewangan perniagaan. 

sumber : berita harian online

17/9/2013
BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan