1 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Juara bertahan, Kelantan dan Sarawak mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing pada suku akhir kedua, malam tadi.
Kelantan mencatatkan kemenangan besar 6-1 ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk mara dengan keputusan agregat 8-5 manakala Sarawak menumpaskan Sime Darby FC dengan agregat 3-1.
Pada saingan separuh akhir, Kelantan akan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala Sarawak berdepan dengan Pahang.
Perlawanan separuh akhir pertama akan diadakan pada 18 dan 19 Okt ini dan perlawanan timbal balik pada 25 dan 26 Okt ini.
Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi rembatan kencang Muhammad Norfarhan dalam kotak penalti, sekali gus menyemarakkan sokongan padu 25,000 penonton.
Kapten Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi menggandakan jaringan untuk skuad kendalian Bojan Hodak selepas beliau menyudahkan hantaran lambung daripada Muhammad Norfarhan pada minit ke-32.
Johor DT berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi Mohd Safee Sali pada minit ke-42 sebelum pemain pertahanan, Obinna Nwaweri menambah gol ketiga untuk Kelantan, dua minit kemudian.
Pada babak kedua, Kelantan terus 'bernafsu' untuk menambah jaringan dan hasilnya, Dickson Nwakaeme meledak gol keempat untuk pasukan 'The Red Warriors' pada minit ke-46.
Muhammad Norfarhan terus menambah derita skuad 'Harimau Selatan' dengan gol peribadi kedua pada minit ke-62 selepas beliau menyudahkan hantaran lintang daripada Indra Putra Mahayuddin.
Indra Putra memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Kelantan dengan gol keenam pada minit ke-89 selepas beliau menyudahkan hantaran Dickson.
Juara Liga Perdana Sarawak menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan sepenuhnya untuk mengecewakan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching.
Bagaimanapun, Sarawak tersentak seketika apabila Sime Darby FC membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Mohd Yusof Zainal Abidin.
Namun, Sarawak mula mengatur strategi dan melancarkan serangan sebelum pemain import Muamer Salibasic muncul wira skuad 'Ngap Sayot' dengan jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-27, 55 dan 85.
Pada suku akhir pertama, Sabtu lepas, kedua-dua terikat seri tanpa jaringan.
Semalam, ATM menempah slot separuh akhir dengan kemenangan agregat 4-2 ke atas Lions XII dari Singapura manakala Pahang menang agregat 5-2 ke atas pasukan PKNS FC Selangor.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan