CINA ISLAM (林川興) Posted: 10 Sep 2013 01:24 AM PDT Ranking universiti utama negara merosot Posted: 10 Sep 2013 12:48 AM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi tahun 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.
Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut: Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya dari tangga 358 (2012) kepada 355 (2013).
Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
1. Reputasi pencapaian akademik (40%)
2. Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)
3. Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)
4. Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)
5. Keantarabangsaan pelajar (5%)
6. Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)
Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.
Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdayasaing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan. Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.
Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.
Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.
Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr- Saunders. Pada tahun 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya (di Kuala Lumpur) dan NUS (di Singapura).
Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.
Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.
Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:
1. Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan
2. Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia
3. Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya
4. Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan
5. Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia
Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.
Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.
*Penulis adalah pengarah strategi PKR | MB perinci perancangan ekonomi Kelantan Posted: 10 Sep 2013 12:47 AM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU: Biarpun ada pihak mendakwa kepemimpinan baru kerajaan Kelantan tiada idea, namun tanpa sedar kerajaan negeri telah menapak jauh bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub berkata, tumpuan diberi bagi menarik pelabur dari Asia Barat dan Asia Timur ke Kelantan.
Katanya, Asia Barat termasuk Oman, Kuwait, dan negara-negara Arab lain, manakala Asia Timur pula China dan Jepun.
"Enam siri pelaburan ke luar negara akan dilaksanakan tahun hadapan. Tiga misi perdagangan akan memberi tumpuan kepada negara di Asia Barat dan tiga lagi ke Asia Timur," katanya di sini.
Delegasi itu akan diketuai Menteri Besar selaku pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi dan Pelaburan Negeri.
Ahmad juga berkata, tumpuan diberi kepada pelaburan dalam bidang halal hub dan industri berasaskan mineral terutamanya limestone yang belum diusahakan secara industri.
Menurutnya juga tumpuan kerajaan negeri sekarang berusaha bagi mencapai sasaran membina 5,000 rumah mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah.
Katanya, kerjasama agensi kerajaan negeri dan pihak swasta sedang dijalankan.
Baru-baru ini Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama syarikat Hectares dan Acter Sdn Bhd melancar projek bercampur di kawasan seluas 115 ekar di Kok Lanas. Sebanyak 135 unit rumah mampu milik akan dibina.
"Kita yakin boleh capai sasaran 5,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun. Program tersebut sebagaimana dijanjikan PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan pada pilihanraya umum lalu," katanya.
Projek usahasama tersebut membabitkan pembinaan 653 unit kediaman. Menteri Besar juga berkata, Kelantan juga sedang menyediakan Dasar Pelaburan Negeri.
Harakahdaily/- | MP: Potong peruntukan perjalanan menteri Posted: 10 Sep 2013 12:42 AM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli mencadangkan supaya kerajaan memotong peruntukan perjalanan menteri, timbalan menteri dan pegawai atasan demi menginsafi beban yang ditanggung rakyat ekoran kenaikan harga minyak.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membuat potongan itu sebanyak 25 peratus berkuatkuasa serta merta untuk mengelakkan perjalanan yang merugikan kerajaan.
Rafizi turut menggesa kerajaan menghentikan amalan mencetak kad jemputan yang mahal dan dihantar secara pos laju.
Sebaliknya, Rafizi yang pengarah strategi PKR berkata, kaedah penghantaran jemputan rasmi kerajaan itu boleh digantikan melalui email dan laman sosial secara percuma.
"Ketiga-tiga langkah ini boleh menjimatkan jutaan wang rakyat setiap tahun jika dilaksanakan serta-merta.
"Saya menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak," katanya.
Berdasarkan jawapan bertulis di Parlimen, perbelanjaan Najib ke luar negara menelan belanja sebanyak RM44 juta dalam tempoh lima tahun.
Rafizi berkata, beliau menunggu pengumuman Najib mengenai langkah penjimatan khusus untuk mengurangkan keborosan kerajaan sekaligus membentang perincian program dan perbelanjaan yang akan dihentikan oleh kerajaan.
"Setiap langkah ini perlulah diperincikan sasaran penjimatan yang akan dicapai dan penjimatannya dilapor di Parlimen setiap 3 bulan, seperti mana organisasi korporat menjalankan program penjimatan kos," katanya.
Rafizi juga mencabar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya mengemukakan usul tergempar membahaskan tindakan BN menaikkan harga minyak dan kesannya jika ikhlas untuk berbahas mengenai permasalahan rakyat.
"Saya menunggu tindakan selanjutnya dari Saudara Khairy Jamaluddin untuk mengemukakan usul di Parlimen untuk membuktikan bahawa tindakan beliau menolak jemputan berdebat bukanlah kerana beliau tidak berani berhadapan dengan suara rakyat.
"Jika tidak ada apa-apa tindakan di pihak beliau, ternyatalah bahawa beliau hanya memberi alasan kerana tidak berani untuk berdebat," katanya.
Malaysiakini/- | PAS fail rayuan penolakan petisyen PRU di Perak Posted: 10 Sep 2013 12:39 AM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - PAS mengemukakan rayuan terhadap penolakan petisyen pilihan raya melibatkan lima kerusi dewan negeri di Perak.
Peguam bersama yang bertindak bagi pihak parti itu, Gene Anand Vendragon, ketika dihubungi semalam mengesahkan bahawa pengurusan kes untuk rayuan bagi kawasan Rungkup, Manong dan Pasir Panjang telah ditetapkan pada Khamis.
Pengurusan kes bagi Lubok Merbau dan Selama ditetapkan 19 September.
PAS memenangi lima kerusi negeri, berbanding DAP 18 dan PKR lima dalam pilihan raya umum Mei lepas, dengan Barisan Nasional kini menguasai 31 daripada 59 kerusi dewan berkenaan.
Anand berkata PAS membuat rayuan terhadap kerusi kawasan itu di mana parti itu kalah dengan jumlah undi yang kecil antara 100 dan 500.
Peguam itu berkata semua petisyen itu ditolak atas sebab-sebab teknikal.
Peguam utama Datuk Bastian Pius Vendragon akan mewakili pempetisyen di Mahkamah Persekutuan.
Sejumlah 58 petisyen difailkan oleh parti politik di Semenanjung Malaysia, bilangan tertinggi didaftarkan di Perak dengan 11 petisyen, diikuti oleh Kelantan dengan sembilan.
-Bernama | Hilang 4 orang tersayang. Posted: 10 Sep 2013 12:05 AM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Kajang: "Dunia gelap seketika saat berita malang itu dikhabarkan... ia saat paling hiba dalam hidup saya," kata Muhammad Tauffid Kassim, 44, yang kehilangan isteri dan tiga anaknya serentak dalam kemalangan di Kajang, semalam.
Ketika dimaklumkan mengenai nahas kira-kira jam 11 pagi itu yang mengorbankan isterinya, Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga anak mereka, perkara pertama terlintas dalam fikiran Tauffid ialah nasib empat lagi anak mereka yang masih kecil. Tiga anaknya yang maut dalam nahas pada jam 11.50 pagi di KM 8 Jalan Kajang-Banting itu ialah Nur Nabila Al-Huda, 9; Nur Nabila Al-Hanan, 7; Muhammad Nabil Lutfi Al-Hadif, 1, manakala seorang lagi, Muhammad Nabil Lutfan Al-Husni, 3, parah dan dihantar ke Hospital Kajang. "Saya hilang empat nadi sekali gus," kata guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SKBBB) itu dalam nada hiba sambil memaklumkan, empat anaknya yang masih hidup berusia antara tiga hingga 10 tahun, termasuk Nabil Lutfan. Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta PERODUA Kancil dipandu Rohaya, yang juga guru agama di SKBBB dalam perjalanan dari arah Bangi ke Kajang untuk menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Teras Jernang sebelum dikatakan terbabas dan bertembung sebuah lori dua tan dari arah bertentangan. Dua anak mereka yang maut, juga bersekolah di SKBBB. Tauffid berkata, dia sedang mengajar di sekolah ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu dan terus lesu sehingga terpaksa dipapah ke lokasi nahas. "Isteri mengajar sesi petang, saya pula sesi pagi. Biasanya jam 12 tengah hari dua anak yang kecil dihantar ke rumah pengasuh," katanya sambil menambah, jenazah empat beranak itu dibawa ke Kuala Nerang Kedah, malam tadi untuk disemadikan. Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, Abdullah Ramli, berkata ketika pasukannya tiba di lokasi, tiga daripada anak mangsa yang duduk di kerusi penumpang belakang sudah dikeluarkan orang ramai dengan seorang cedera dan dihantar ke Hospital Kajang. "Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan dua lagi mangsa, iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang berada di kerusi depan. Keadaan kereta yang remuk teruk menyebabkan dua mangsa berkenaan sukar dikeluarkan kerana tersepit dengan bahagian depan lori," katanya. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah van yang melanggar belakang lori berkenaan, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan serius. | 478,848 calon duduki UPSR seluruh negara mulai hari ini Posted: 09 Sep 2013 11:30 PM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Sebanyak 478,848 calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama tiga hari bermula hari ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 469,882 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 calon lagi dari sekolah swasta yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu. Sebanyak 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan, kata jurucakap Lembaga Peperiksaan Malaysia. Di KUALA LUMPUR, sebanyak 21,965 pelajar menduduki peperiksaan itu di 247 pusat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kata jurucakap Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Daripada jumlah itu, tiga calon menduduki peperiksaan itu di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan faktor kesihatan. Menurut jurucakap HKL, dua pelajar lelaki dan seorang perempuan itu menduduki peperiksaan dalam sekolah di HKL. Di KUALA TERENGGANU, sebanyak 22,359 calon yang terdiri daripada 21,521 calon Sekolah Kebangsaan, 434 calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 404 calon sekolah swasta menduduki peperiksaan UPSR. Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Husin berkata 381 pusat peperiksaan dibuka dengan 1,988 orang pegawai bertugas sepanjang tempoh peperiksaan. "Seramai 183 calon berkeperluan khas (CBK) yang buta, rabun, pekak dan masalah lain, kertas peperiksaan khas seperti kertas peperiksaan Braille dan cetakan besar disediakan untuk mereka," katanya. Menurutnya sebanyak lapan pusat peperiksaan di hospital bagi seluruh negeri turut dibuka bagi kes-kes kecemasan dan untuk calon yang mengalami masalah kesihatan. Di JOHOR BAHARU, 58,335 calon daripada 906 buah sekolah kerajaan dan swasta menduduki peperiksaan itu. Pengarah Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani berkata sebanyak 37,854 calon adalah pelajar sekolah jenis kebangsaan dan 19,878 calon sekolah jenis kebangsaan manakala 603 calon sekolah swasta. Jadual waktu peperiksaan itu telah diedarkan ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp. Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. - BERNAMA | PAS sanggah pandangan Fathul Bari Posted: 09 Sep 2013 11:25 PM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - Harakahdaily KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan hadis yang disandar Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari berhubung barang naik, 'diguna pada konteks yang salah'.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, islam menitikberatkan konsep adil kepada semua pihak bukan sahaja kepada peniaga tetapi juga kepada pembeli.
Menurutnya, adalah tidak wajar mengajak rakyat menerima kenaikan harga barangan sebagai takdir sedangkan pada masa yang sama ada pemimpin negara, ahli korporat dan syarikat kroni terus-menerus mengambil kesempatan untuk hidup bermewah.
"Memang hakikat naik turun, ajal maut semua ketentuan Allah tetapi bukan bermakna pemerintah boleh sesuka hati meletakkan kesalahan kepada takdir.
"Demikian juga kalau kita tengok kerajaan memotong subsidi untuk rakyat tetapi dalam waktu sama golongan korporat dan bangsawan lihat hidup melampau-lampau mewah," katanya dipetik TV Selangor.
Sehubungan itu, beliau memintak ulamak muda Umno itu memperbetul semula kenyataannya bagi mengelak salah faham kepada masyarakat.
Kenyataan Fathul Bari itu juga katanya berbahaya kerana boleh memberi gambaran bahawa peniaga boleh bebas menaikkan harga barangan mereka, dan pengguna harus menerimanya sebagai takdir. | Wartawan demo desak rakan dibebas Posted: 09 Sep 2013 11:21 PM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - Harakahdaily MESIR: Sekumpulan aktivis dan wartawan mengadakan demonstrasi bagi mendesak seorang wartawa Ahmed Abu- Deraa yang ditangkap pihak tentera dan menghadapi tuduhan penyiaran maklumat palsu mengenai tentera dibebaskan dengan segera.
Mereka menyatakan solidariti serta mempertahankan tindakan Abu- Deraa yang didakwa telah memberi laporan benar kepada dunia.
"Saya menyeru Abdel Fattah El- Sisi untuk campur tangan segera untuk melepaskan Abu- Deraa ," kata Abdul Qader Mubarak, wartawan berpengkalan di Sinai semalam.
"Abu- Deraa sentiasa menyumbang untuk mendedahkan kebenaran di Sinai," katanya.
Abu- Deraa adalah seorang wartawan yang pernah memenangi Anugerah Kewartawanan Samir Kassir 2013 untuk laporan beliau berkaitan penyeludupan manusia berlaku di Sinai.
Beliau telah dirujuk kepada pendakwaan tentera pada Khamis lalu yang mendapat perintah untuk menahanya 15 hari.
Kudeta menuduh beliau menyiarkan maklumat palsu tentang tentera , berkomunikasi dengan "kumpulan pengganas" di Sinai, penggambaran harta tentera dan memprovokasi angkatan tentera.
Sejak rampasan kuasa 3 Julai lalu, ramai wartawan terkorban, sebahagiannya ditangkap dan diburu oleh pihak tentera ekoran menyiaran tindakan ganas pasukan keselamatan terhadap penyokong Morsi.
Kerajaan kudeta sebelum ini juga melahirkan rasa tidak senang terhadap media khususnya media asing yang disifatkan berat sebelah dan memberi gambaran salah terhadap tindakan tentera meleraikan penunjuk perasaan. | Kontraktor: Pemaju pasti naik harga rumah Posted: 09 Sep 2013 11:15 PM PDT 4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - - Seorang pemimpin persatuan kontraktor bumiputera berkata para pemaju pasti akan menaikkan harga rumah untuk mengelakkan kerugian apabila harga bahan api meningkat.
Yang dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor, Mahmood Amir dalam satu laporan Sinar Harian berkata para kontraktor juga akan melakukan penyesuaian dengan mengurangkan saiz rumah, bagi mengelak kerugian.
"Kalau kita tidak naikkan harga, kontraktor terpaksa kurangkan saiz rumah untuk seimbangkan kos dan keuntungan mereka, jika tidak mereka akan rugi," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Beliau juga menjangkakan bahawa pengguna dan pemilik rumah akan menanggung ansuran bulanan pinjaman yang tinggi dalam jangka masa panjang.
"Dalam tempoh satu atau dua tahun ini kenaikan harga rumah tidak akan menjejaskan pasaran perumahan kerana trend permintaan ketika ini sangat tinggi.
"Namun masalah akan mula timbul selepas tiga tahun kemudian apabila pembeli rumah terpaksa menanggung ansuran bulanan rumah yang tinggi," katanya dalam laporan itu.
Katanya, permintaan untuk hartanah pada masa ini menunjukkan trend meningkat dan menjangkakan bahawa pasaran perumahan dan hartanah terus rancak dalam tempoh terdekat.
Mahmood juga berpendapat bahawa kerajaan akan dapat menampung jumlah subsidi dan mengelak kenaikan harga bahan api dengan menangani rasuah dan mengawal perbelanjaan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan menteri hal ehwal perumahan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada Ahad lalu, yang membidas jangkaan persatuan pemaju bahawa kenaikan harga minyak menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.
Abdul Rahman berkata, jangkaan kenaikan sehingga 10 peratus itu akan membimbangkan rakyat kerajaan kerajaan hanya menjangka bahawa peningkatan itu hanya pada paras lima peratus.
Abdul Rahman mengulas kenyataan presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy dalam laporan pada Khamis, yang turut mengaitkan kenaikan harga rumah tersebut dengan operasi kerajaan ke atas golongan pendatang tanpa izin.
Malaysiakini. | Kenapa Pertikai Takdir Allah Posted: 09 Sep 2013 02:12 AM PDT 3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - Ahmad Baei Jaafar
Sehari dua ini ramai yang memberi komen dalam fb kononnya kenaikan harga barang ketentuan Allah. Saya hairan kenapa timbul isu dengan kenaikan harga barang, apakah ada kaitan dengan kenaikan harga minyak. Tetapi yang saya perhatikan dalam hal minyak ini, bukan harga minyak yang naik tetapi sabsidi minyak yang dikurangkan. Maka dengan itu kita kena bayar lebih untuk beli minyak itu.Nak kata barang lain naik, saya tidak pasti sangat sebab jarang ke pasar. Tetapi isu naik harga dan turun harga barang bukan baru hari ini. Harga ikan naik dan turun setiap hari, begitu juga dengan harga sayuran. tetapi kenapa waktu ini timbulkan isu kenaikan harga barang ketentuan Allah.
Sebenarnya, kalau umat Islam masing-masing kuat tauhidnya, masing-masing berpegang kepada qada dan kadar Allah, mereka tidak mudah melatah. Bukankah kita faham bahawa kita dan makluk seluruh alam ini ciptaan Allah. Dia yang menentukan hidup kita dan apa yang kita lakukan. Kita boleh menulis, boleh bernafas, boleh makan adalah dengan kehendak Allah dan itupun telah ditentukan Allah.
Percaya tak, ada orang yang sedang berjalan tiba-tiba terhenti lalu jatuh, kena angin ahmar. Itu menunjukkan Allah tak izinkan dia berjalan padahal sebelum itu sihat. Dan sudah pasti itu adalah takdir Allah. Sebaliknya, apbila segala yang ditentukan itu berlaku, barulah perkara itu dikatakan qada (maksudnya terlaksana ketentuan Allah itu).
Barangkali kalau apa yang dipaparkan itu dikaitkan dengan kenaikan harga barang dan turun kemudiannya, tentu bolehlah kita katakan "ketentuan Allah". Bagaimana boleh jadi begitu? Apabila barang banyak, harga akan turun dan apabila barang kurang atau permintaan ramai dan kehendak tidak mencukup maka harga barang dinaikkan. Memang harga barang itu ditentukan oleh pasaran dan permintaan tetapi siapa yang mengurangkan hasil dan menambahkan hasil, tidakkah itu kehendak Allah?
Sebagai orang Islam, kita harus sedar bahawa takdir Allah sudah ditentukan sejak kita belum lahir lagi termasuk apa yang kita hendak lakukan. Cuma sebagai makhluk Allah kita tidak tahu apa yang telah Allah takdirkan kepada kita. Maka berbekalkan akal dan hati budi, ilmu dan petunjuk Rasul dan ulama kita bertindak. Kita bukan bergerak ikut angin bertiup tetapi mengikut ilmu dan akal. Di situ kadang-kadang kita berjaya dan kadang-kadang kita gagal. Setelah itu terjadi baru kita sedar bahawa sudah ditakdirkan begitu.
Sungguhpun begitu, setelah kita sedar daripada kegagalan itu, kita bangun semula daripada kegagalan, kerana kita tidak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita selepas itu. Mungkin dengan sebab itu kita berjaya, maka sedarlah kita bahawa telah ditakdirkan Allah begitu.
Begitulah kefahaman yang sepatutnya kita hayati dalam hidup ini selepas ini. Kita tidak boleh serah kepada takdir kerana kita belum tahu apa yang Allah takdirkan kepada kita selepas ini. Berdasarkan ilmu ini jika kaitkan dengan isu harga naik, ya memang itu takdir Allah, tetapi apa yang Allah takdirkan untuk kita dengan harga barang itu. Kitapun tidak tahu. Boleh jadi dengan harga naik itu, kita menjadi usahawan berjaya. Boleh jadi dengan harga barang itu kita boleh mencipta barang baru. Inilah peluang yang selalu kita lupa dalam hidup ini. Percayalah kalau umat Islam belum mahu sedar dalam hal seperti ini, kita akan terus mundur.
Ayuh bangun segera wahai orang Islam. Kita ada Allah, Allah maha kaya. Dia boleh mengayakan kita kalau kita tidak banyak mempertikaikan takdir Allah. Wallahu aklam. | 14 cedera pesawat terbabas landasan di Bangkok Posted: 09 Sep 2013 02:07 AM PDT 3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - ANGGOTA keselamatan memeriksa pesawat Thai Airways yang terbabas selepas tayar di muncung depan tercabut ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, awal pagi ini. - Foto REUTERS BANGKOK: Lebih 14 orang cedera apabila sebuah pesawat milik Thai Airways terbabas apabila tayar di muncung depan tercabut ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, awal pagi ini.
Kejadian berlaku ketika pesawat Airbus 330-300 yang membawa 287 penumpang dan 14 anak kapal mendarat dari Guangzhou.
Penumpang diselamatkan dengan keluar menggunakan gelongsor kecemasan. Penumpang yang cedera dibawa ke hospital, demikian menurut syarikat penerbangan berkenaan menerusi Twitter. - AFP | 478,848 calon duduki peperiksaan UPSR mulai esok Posted: 09 Sep 2013 02:04 AM PDT 3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Seramai 478,848 calon akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula esok sehingga 12 September ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini daripada jumlah itu sebanyak 469,882 calon adalah dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 calon lagi dari sekolah swasta yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Sebanyak 49,117 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.
Jadual waktu peperiksaan itu diedarkan ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.
Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.
- BERNAMA | Kelantan peruntuk RM7 juta tambah kapasiti air Posted: 09 Sep 2013 02:01 AM PDT 3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM7 juta bagi menambah kapasiti air daripada 64 juta kepada 75 juta liter sehari pada Oktober ini membabitkan tiga kawasan iaitu Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad, berkata dengan pertambahan kapasiti air hampir 10 juta liter, secara tidak langsung akan menyelesaikan masalah air yang berlaku di beberapa tempat.
"Walaupun ianya tidak begitu mendapat aduan yang ketara oleh rakyat berhubung masaalah air, namun kerajaan negeri melalui AKSB peringkat jajahan akan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin.
"Ketiadaan air biasanya berlaku akibat tekanan air yang rendah, jadi dengan pertambahan peralatan dan sebagainya akan menyelesaikan masaalah kekurangan air," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas mendengar taklimat sempena lawatan ke Loji Rawatan Air AKSB peringkat jajahan.
Berhubung program lawatan ke setiap jajahan pula, katanya ia dirancang untuk menyeselesaikan masalah air di peringkat jajahan.
Menurutnya, kerana itu antara yang terlibat dalam perjumpaan itu adalah wakil rakyat, ahli parlimen, pengurus-pengurus kanan AKSB negeri, Pengurus Kanan AKSB Peringkat Jajahan.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, Adun Meranti, Datuk Mohd Nasruddin Daud, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Abdul Rasul Mohamed (Bukit Tuku) dan Mohd Rozi Muhmmad (Tendong).
Harakahdaily/- | Ambil langkah segera tangani kejatuhan ringgit Posted: 09 Sep 2013 02:00 AM PDT 3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - Harakahdaily KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi menstabilkan nilai mata wang Malaysia dengan campur tangan dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan inflasi.
Pakar ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaccob, berkata BNM boleh mengambil langkah untuk campur tangan dalam pasaran mata wang antarabangsa dengan membeli mata wang negara.
"Jika BNM campur tangan dalam pasaran mata wang antarabangsa, nilai mata wang kita boleh distabilkan. Sayangnya, BNM tidak berbuat apa-apa. Dan ia masih belum terlambat untuk melakukannya," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Mengulas kejatuhan nilai mata wang negara, Dr. Rosli berkata negara terpaksa membayar beban hutang dengan kadar yang lebih tinggi, khususnya jika kerajaan berhutang ke luar negara.
Katanya, walaupun hutang negara tidak bertambah, ekoran kejatuhan nilai mata wang akan menyebabkan kerajaan membayar lebih tinggi kadar pinjaman, sekaligus menyebabkan beban hutang meningkat.
Malah, kata bekas Timbalan Pengarah BNM itu, kejatuhan nilai mata wang turut memberi kesan kepada industri import, di mana Malaysia banyak bergantung ke atas industri terbabit.
"Kita banyak bergantung dengan import, khasnya makanan dan automotif. Apabila nilai jatuh, nilai import akan meningkat yang boleh menyebabkan inflasi. Apabila harga import meningkat, barangan import tersebut akan meningkat sekaligus kuasa membeli rakyat rendah kerana terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal," jelas beliau lagi.
Nilai ringgit jatuh melebihi tujuh peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap dollar dan merupakan rekod terburuk di kalangan negara Asia lain.
Bank Negara juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 ini kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan enam peratus sebelum ini. | 5 jam TG Nik Aziz di Institut Pemikiran Tok Guru Posted: 09 Sep 2013 01:58 AM PDT 3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] - KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam memulakan tugasnya di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Kota Darul Naim. Beliau selaku Penasihat dan Murabbi IPTG dilihat memasuki pejabat di aras bawah blok Dewan Undangan Negeri itu kira-kira jam 9 pagi disambut Pengarah IPTG, Dr Che Samsudin Mohamed Noor dan kakitangan lain.
Pengawal Peribadinya, Zakaria Deraman ketika dihubungi Harakahdaily berkata, Tok Guru berada di situ hampir lima jam sebelum pulang ke rumah selepas Zohor.
"Dia lakukan rutin sepertia biasa, sama macam sewaktu di pejabat MB dulu la. Dia solat Dhua, kemudian baca surat khabar dan kemudian meneliti beberapa dokumen dan nota.
"Lepas itu ada sedikit perbincangan dengan pengarah IPTG, dan lepas Zohor kita bawa dia pulang ke rumah untuk beliau berehat" katanya. Menurutnya, keadaan kesihatan Tok Guru semakin baik dan boleh dilihat dengan kehadirannya dalam beberapa program sebelum ini.
Ianya termasuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu pagi Jumaat lalu, dan memenuhi jemputan mentahnik anak kecil di majlis aqiqah di rumah bekas Setiausaha Sulit beliau pada hari sama.
"Alhamdulillah, kesihatannya semakin baik dan minggu ini mungkin banyak lagi program yang beliau akan hadiri," katanya. Semalam adalah kali kedua Tok Guru memasuki pejabatnya. Kali pertama beliau melawat pejabat ini adalah pada 4 september lalu. IPTG adalah projek yang dicetuskan oleh Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob selepas menggantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai ketua kerajaan negeri.
Ianya dipengerusikan Menteri Besar sendiri dan berperanan sebagai sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan.
Selain itu, ianya juga berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan. | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan