Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Perak menyifatkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ibarat 'meludah' ke muka sendiri apabila mengkritik keputusan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama satu hari pada 28 Jun ini.
Pengerusinya, Datuk Khusairi Abdul Talib berkata, sebelum mahu beria-ia menuduh kononnya BN takut berdebat, Koo Ham sepatutnya mengingati semula bagaimana kerajaan pakatan pembangkang pada 2008 mengadakan sidang pertama DUN hanya beberapa jam.
Beliau berkata, sidang DUN yang berlangsung pada 25 April 2008 hanya dimulakan pada pukul 3 petang dan diadakan semata-mata untuk memilih Speaker dan Timbalan Speaker serta upacara angkat sumpah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, sudah menjadi kelaziman tidak ada perbahasan dalam sidang pertama DUN pada awal penggal, malah perkara itu juga berlaku ketika pakatan pembangkang memerintah.
''Selepas sidang pertama, kerajaan pakatan pembangkang ketika itu mengambil masa dua bulan untuk mengadakan sidang berikutnya iaitu dari 24 hingga 27 Jun 2008 dan barulah sesi perbahasan dijalankan.
''Nampaknya Koo Ham hanya pandai menuding dan meludah muka orang lain, tetapi beliau terlupa sebenarnya beliau menuding dan meludah mukanya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Koo Ham yang juga ADUN Sitiawan dilaporkan berkata, kerajaan BN hanya mengadakan sidang DUN dalam tempoh singkat kerana takut untuk berdebat dengan pembangkang selain 'masih dibayangi dengan kerajaan perompak'.
Khusairi menegaskan, dakwaan Koo Ham kononnya sidang DUN tidak memberi banyak ruang untuk berbahas adalah tidak masuk akal kerana ADUN pembangkang sering menyalahgunakan peluang yang ada untuk membincangkan penyelesaian masalah rakyat.
''ADUN pembangkang juga tidak banyak memainkan peranan yang aktif sepanjang tempoh persidangan penggal lalu, yang hanya dipenuhi dengan adegan memboikot dan keluar beramai-ramai dari dewan serta tidak berminat membahas dan membawa masalah rakyat.
''Kebanyakan isu yang dibangkitkan ADUN pembangkang sekadar berkisar isu politik negeri dan negara, tetapi kurang memberikan tumpuan kepada masalah-masalah rakyat termasuklah di Pasir Panjang, Sitiawan dan Pantai Remis ketika itu," katanya.
Khusairi berkata, Koo Ham sepatutnya mencermin diri dan partinya terlebih dahulu sebelum melempar pelbagai tohmahan kepada pihak lawan.
Warna-warni Politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan