"Peneroka-peneroka tidak pernah ditipu oleh Felda!" - Dialog bersama peneroka-peneroka di Felda Kahang Barat Posted: 28 Jan 2013 12:31 PM PST Kebanyakan peneroka-peneroka Felda merasakan bahawa mereka sudah hidup senang dan merasa marah apabila ada pihak-pihak lain mengatakan bahawa mereka telah ditipu oleh Felda, dan inilah yang diluahkan oleh Pak Toni, seorang ahli UMNO dan peneroka di Felda Kahang Barat, Sembrong semasa Majlis Dialog yang diadakan di Felda Kahang Barat pada 27hb Januari 2013.
Dialog ini dimulakan dengan pendedahan ringkas oleh Sdr Zabidie Abas yang menerangkan bahawa kewangan Felda kini sudah berada di hujung tanduk; kekayaan Felda telah dirompak.
Penyenaraian Felda Global Ventures menyebabkan peneroka-peneroka Felda dibebankan dengan hutang baru apabila saham-saham sejumlah 800 unit yang diperuntukkan kepada peneroka-peneroka tidak dapat dijual-beli apabila harga saham FGV merundum dan terkini jatuh dibawah harga jauh lebih rendah dari semasa disenaraikan.
Sebelum peneroka-peneroka diberikan saham FGV, mereka diminta menandatangani di 73 tempat didalam Borang yang diserahkan kepada mereka; borang tersebut adalah di dalam Bahasa Inggeris dan peneroka-peneroka tidak dibenarkan membawa borang itu keluar untuk diberikan kefahaman kepada mereka oleh peguam atau pihak-pihak yang boleh memberikan kefahaman kepada mereka.
Pihak pengurusan Felda mendesak peneroka-peneroka supaya menandatangani borang itu jika mereka berhajat kepada "Durian Runtuh" yang akan diberikan oleh Felda.
Setelah penyenaraian berlaku , harga saham jatuh dan untuk mengelakkan keresahan dan penentangan daripada peneroka-peneroka, Felda telah mengambil alih hutang peneroka-peneroka sejumlah RM3640 dari bank-bank yang mengeluarkan pinjaman kepada peneroka-peneroka untuk membeli saham 800 unit tersebut.
Bagaimanapun, peneroka-peneroka kena membayar balik kepada Felda dengan jumlah bayaran sebanyak RM5000.00 dan untuk agar peneroka-peneroka tidak terasa akan bebanan hutang yang baru itu, mereka dikehendaki membayar kepada Felda sebanyak RM50.00 sebulan.
Tahukah peneroka-peneroka sekonyong-konyong ditipu oleh Felda, mengharapkan mereka menjadi kaya-raya hasil dari pemerolehan saham FGV rupa-rupanya mereka terbeban dengan hutang baru? Peneroka-peneroka tidak sedar kerana mereka masih dibuaikan dengan mimpi bahawa mereka masih akan menjadi kaya raya apabila harga saham ini naik nanti.
Didalam keadaan harga saham ini jatuh, ada sekelompok golongan yang akan mendapat kemudahan membeli saham-saham FGV seperti golongan korporat termasuklah golongan korporat Yahudi dari luar negara dan akhirnya kepentingan Felda dikuasai oleh golongan yang mampu termasuklah golongan Yahudi; dan ini melibatkan 1/4 daripada tanah-tanah yang sebelum ini diuruskan oleh Felda.
Sdr Zabidie mengajak peneroka-peneroka supaya membuat perubahan di dalam PRU-13 ini bagi menyelamatkan Felda dan peneroka-peneroka.
Setelah ucapan ringkas oleh Sdr Zabidie itu, majlis dialog dibuka kepada peneroka-peneroka yang hadir untuk mengemukakan pandangan dan soalan.
Dengan agak konfiden seorang peneroka yang digelar dengan panggilan Pak Toni yang bangganya mengaku bahawa dia adalah seorang ahli UMNO yang sudah menjadi peneroka Felda di Kahang Barat selama lebih 30 tahun.
Beliau mempertikaikan apa yang telah dinyatakan oleh Sdr Zabidie dan menyatakan bahawa Felda tidak pernah menipu peneroka-peneroka; tidak ada apa cacat celanya dengan Felda.
Pak Toni menyatakan bahawa Kerajaan BN mahu menghulurkan pertolongan kepada peneroka-peneroka dengan penyenaraian FGV; dan beliau mempertikaikan bahawa Felda telah menipu peneroka-peneroka.
Apa yang dinyatakan oleh Pak Toni itu sebenarnya merupakan pegangan kepada golongan terbesar dikalangan peneroka-peneroka Felda. Dan pegangan inilah jika tidak ditangani dengan baik dengan penerangan-penerangan berfakta menjadikan peneroka-peneroka mudah dimanipulasi oleh Felda dan UMNO, dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Toni sebagai seorang peneroka dan ahli UMNO yang telah mempersudikan diri beliau hadir ke Majlis Dialog anjuran PKR Ranting Kahang Barat.
Saya memulakan jawapan saya dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Toni dan saya menyatakan bahawa pandangan Pak Toni itu adalah pandangan dari kebanyakan peneroka-peneroka Felda dan dengan soalan yang dikemukakan oleh Pak Toni itu dapatlah saya menerangkan satu persatu manipulasi yang dimainkan oleh Felda secara lembut sehingga penipuan yang dilakukan oleh Felda tidak dirasai oleh peneroka-peneroka.
Saya bertanyakan kepada peneroka-peneroka yang hadir mengenai peratusan perahan KPG yang diberikan oleh Kilang Felda di Kahang Barat; jawapan yang saya terima ialah antara 21 hingga 22%. Tetapi perahan ini, kata mereka, dibuat selepas dialog diantara peneroka-peneroka Felda disitu dengan PKR hampir setahun yang lalu apabila peneroka-peneroka Kahang Barat bersetuju untuk mengemukakan saman kepada Felda mengenai isu perahan, tetapi sebelum itu peratusan perahan hanyalah diantara 18 hingga 19% sahaja.
Saya nyatakan bahawa di kebanyakan rancangan lain yang telah pun memfailkan saman terhadap Felda peratusan perahan buah sawit peneroka-peneroka boleh mencecah sehingga 27% apabila buah-buah sawit itu dihantar ke makmal Felda di Sg Tekam untuk dianalisis.
Perbezaan antara 18% dan 27% selama lebih 15 tahun telah menyebabkan peneroka kerugian sebanyak RM400,000.00 hingga RM500,000.00 bagi setiap seorang. Maka apakah durian runtuh yang diperolehi peneroka-peneroka dan keluarga mereka sebanyak RM15,000.00 itu boleh dianggap sebagai durian runtuh?
Didalam penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah didalam kes tuntutan perahan KPG oleh peneroka-peneroka Kemahang 3 di Negeri Kelantan telah dinyatakan dengan jelas oleh Mahkamah bahawa "Felda telah menipu peneroka-peneroka" dan dikekalkan sehingga Mahkamah Persekutuan. Selepas kes inilah kita boleh nyatakan secara terbuka bahawa Felda telah menipu peneroka-peneroka.
Apabila FGV disenaraikan dan Felda menggadaikan pegangannya keatas Felda Plantation yang melibatkan lebih 850,000 ekar tanah selama 99 tahun kepada FGV, Felda memperolehi RM5.6 billion, dan wang ini boleh diagihkan kepada peneroka-peneroka Felda dengan setiap daripada mereka memperolehi RM50,000.00, maka apakah tidak dikatakan penipuan apabila Felda hanya mengagihkan RM15,000.00 sebagai durian runtuh? Ke poket mana dan siapakah baki sebanyak RM35,000.00 lagi itu? Pernahkah Felda membuat sebarang penerangan kepada peneroka-peneroka? Tidakkah ini satu penipuan?
Peneroka-peneroka diberikan pinjaman oleh Felda ketika memasuki tanah-tanah rancangan termasuk kos rumah kediaman, kos penanaman, penjagaan dan pengurusan ladang dan lain-lain kos yang dikenakan seperti baja, racun, jalan ladang dan kos pembangunan sosial di tanah-tanah rancangan.
Dan pinjaman ini serta bayaran CAC berjaya dibayar oleh peneroka-peneroka. Tetapi apabila tanah-tanah ladang mereka perlu ditanah semula, peneroka-peneroka "diwajibkan" menanam melalui Felda/Felda Technoplant dengan dikenakan hutang yang baru.
Bagi mereka yang menyedari awal bahawa hutang baru ini sangat membebankan mereka, mereka memilih untuk menguruskan ladang mereka dan melakukan tanaman semula bersendirian. Mereka berjaya mengelakkan bebanan tanggungan hutang yang mereka tidak pernah diberikan sebarang penyata.
Mereka yang sedar dan melakukan tanaman semula dan pengurusan kebun mereka bersendirian tetapi mereka ini disisihkan oleh Felda dengan dinafikan berbagai hak di rancangan, namun, oleh kerana mereka ini tidak dibebani hutang, mereka berjaya memperolehi pendapatan jauh lebih besar daripada peneroka-peneroka yang membuat tanaman semula melalui Felda.
Bukan semua kebun yang ditanam semula melalui Felda/Felda Technoplant itu berjaya; dan berlaku di sesetengah rancangan Felda, tanaman semula mereka gagal. Walaupun tanaman semula di kebun mereka gagal, Felda tetap juga memberikan sara hidup sebanyak RM1500.00 sebulan, dan bagi peneroka-peneroka ini hutang mereka dengan Felda sudah melebihi RM150,000.00 dan mereka tiada mempunyai sumber untuk menejelaskan hutang mereka itu.
Semasa proses untuk tanam semula diusahakan, sesetengah peneroka meminta supaya mereka dibenarkan menanam semula secara bersendirian tetapi dihalang oleh Felda, tetapi setelah Felda gagal menjalankan tanam semula untuk peneroka-peneroka itu, Felda kini meminta kerjasama dari peneroka-peneroka itu mengambilalih pengurusan kebun masing-masing dengan melakukan tanam semula secara bersendirian. Nasi sudah jadi bubur, inilah yang menimpa peneroka-peneroka yang malang itu, dan Felda sudah berlepas tangan dengan meninggalkan peneroka-peneroka malang itu terbeban dengan hutang melebihi RM150,000.00 dan ada diantara mereka sudah pun mencecah angka melebihi RM200,000.00. Dengan umur masing-masing yang sudah melebihi 75 tahun, mampukah mereka menjelaskan hutang yang dibebankan oleh Felda?
Di sesetengah rancangan Felda seperti di Kota Gelanggi, peneroka-peneroka telah pun selesai menjelaskan hutang mereka dan membayar CAC melalui Felda untuk Kerajaan Negeri lebih dari 15 tahun lampau, tetapi Felda masih gagal mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri supaya geran tanah bagi peneroka-peneroka tersebut; ini adalah helah Felda supaya peneroka-peneroka itu melakukan tanam semula melalui Felda/Felda Technoplant dan hanya dengan cara tanam semula melalui Felda/Felda Technoplant sahaja Felda boleh mengaut untung daripada setiap tanah kebun yang ditanam semula itu. Ini adalah penipuan oleh Felda.
Sehingga ke peringkat itu, Pak Toni sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memberikan pandangannya; saya serahkan pembesar suara kepada Pak Toni.
Beliau menyatakan bahawa kalau Pakatan Rakyat memerintah sama juga, katanya, hutang-hutang peneroka kekal begitu juga.
Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Pak Toni, kerana tanpa soalan yang seumpama itu, mungkin saya terlupa untuk menjelaskan "Janji Palong" yang dilancarkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim semasa beliau berkunjung ke Felda Palong 6.
Diantara yang dinyatakan di dalam Janji Palong itu ialah Kerajaan Pakatan Rakyat akan memansuhkan hutang peneroka-peneroka Felda.
Asas pemansuhan ini adalah kerana sesungguhnya peneroka-peneroka tidak berhutang kepada Felda, sebaliknya Feldalah yang berhutang dengan peneroka-peneroka.
Kajian telah dibuat di kawasan Palong, Negeri Sembilan bahawa setelah 8 tahun selepas tanam semula, dengan diperhetungkan pendapatan dan kos pembangunan dan pengurusan, lebihan yang memihak kepada peneroka-peneroka adalah sebanyak RM150,000.00 dan isu ini sudah pun difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
Di sinilah terletak ketaksuban ahli-ahli UMNO seperti Pak Toni yang menyatakan bahawa beliau tidak setuju jika hutang beliau dimansuhkan; tetapi sebaliknya beliau juga berkata bahawa beliau tidak faham kenapa jika beliau meninggal dunia dengan menanggung hutang, roh beliau tergantung dan tidak masuk syurga jika hutang di dunia ini tidak dilangsaikan. Beliau mengaku tidak faham dari segi ugama.
Saya memberi jaminan kepada Pak Toni bahawa hutang peneroka-peneroka Felda akan tetap dimansuhkan apabila Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah samada peneroka-peneroka itu setuju atau pun tidak kerana Pakatan Rakyat tidak akan membezakan diantara peneroka-peneroka itu walaupun mereka itu terdiri daripada ahli-ahli UMNO.
Dan akhir sekali saya menjelaskan bahawa Janji Palong ialah untuk memansuhkan Felda Plantation dan tanah seluas 850,000 ekar tersebut akan dibahagi-bahagikan kepada generasi kedua dan ketiga Felda. Golongan majoriti dari kalangan generasi kedua dan ketiga ini tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan sesetengahnya masih menumpang ibu bapa mereka; masa depan mereka gelap; dan dengan pengagihan tanah dari Felda Plantation kepada mereka itu, akan memberikan jaminan hidup yang cerah kepada mereka.
Majlis dialog itu dihadiri oleh pihak PKR termasuklah Sdr Yusof, selaku Ketua Cabang, Sdr Onn Abu Bakar selaku penyelaras kawasan Parlimen Sembrong, Sdr Zabidie Abas mewakili Jawatankuasa Biro Felda, Sdr Jalil selaku Ketua PKR Ranting Felda Kahang Barat, Hendon Jaafar, AJK Biro Felda, dan Ahli-Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Sembrong; manakala dipihak peneroka pula turut hadir mereka dari berbagai aliran pegangan politik.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan