-Tahun ke 3, Penduduk Kg Nyatoh dilanda banjir luar biasa
|
"Itu rumah saya" - Pok Ya |
Ismail Ishak atau dikenali sebagai Pok Ya, 53 tahun telah mendiami Kampung Nyatoh, Pemaisuri melangkaui jangkamasa lebih 35 tahun. Pendek kata, pasang surut air Sungai Setiu berhampiran, panas, kemarau, hujan, banjir di kampung ini, semuanya telah sebati menjadi menjadi sebahagian dari pengalaman hidup yang tersimpan kukuh dalam ingatannya.
Memang kawasan kampung ini adalah adalah kawasan tanah rendah yang mudah dinaiki air setiap kali musim tengkujuh berlaku, tetapi banjir yang berlaku sejak 3 tahun kebelakangan ini adalah sangat di luar kebiasaan. Puncanya… Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-SHARP) yang diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad.
|
Menyantuni sebahagian mangsa banjir di Surau Kg Nyatoh |
Walaupun pihak pemaju sering menafikan dengan pelbagai alasan bodoh dan remah, antaranya… "banjir kat mana-mana pun berlaku, bukan kampung ini saja.." "sebelum ada projek udang ini pun dah banjir.." tetapi bolehkah alasan-alasan ini menyelesaikan kesengsaraan penduduk yang telah berpanjangan sejak 3 tahun lalu.
Ketika mangsa banjir lain telah pulang ke rumah masing-masing, kira-kira 61 orang dari 7 keluarga di kampong Nyatoh ini masih menghuni surau di pinggir jalan Permaisuri-Penarik ekoran belum kelihatan tanda-tanda air banjir akan surut yang membolehkan mereka kembali ke kediaman masing-masing sekalipun cuaca semakin cerah dan mentari telah bersinar terang.
|
Bahana i-Sharp |
Rumah Pok Ya contohnya telah ditenggelami air sehingga paras jendela, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak lebih 30 tahun lalu. Ajaibnya… Permaju i-Sharp masih menafikannya!
Kita telah membangkitkan ketika peringkat awal perlaksanaan projek dahulu bahawa kawasan yang dibangunkan itu adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Setiu dan dilimpahi air ketika musim banjir. Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air. Lantas, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai ratusan juta ringgit ini ditenggelami air banjir, kerja-kerja tebus guna tanah telah dan sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir. Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan ini akan menyebabkan air membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar. Tambakan tanah juga akan menghalang pengaliran air banjir ke Sungai Setiu.
|
Jalan projek i-sharp yang menjadi seperti benteng empangan, lihat size calvert |
Tinjauan skuad Lujnah Alam sekitar Pas Terengganu ke lokasi semalam (Jumaat 4 januari 2013) mendapati, pembinaan jalan masuk ke dalam tapak projek sepanjang lebih kurang 2 km sebenarnya menjadi penghalang utama aliran air banjir ke Sungai Setiu yang menyebabkan berlaku fenomena 'air sebak' mengikut istilah penduduk tempatan, walaupun paras air Sungai Setiu sebenarnya tidaklah terlalu tinggi. Jalan masuk ke kawasan projek udang ini memang telah berkesan sebagai banteng empangan yang menghalang aliran air. Laluan air (calvert) yang dibina nyata terlalu kecil dan tidak memadai. Ukuran kasar mendapati beza paras ketinggian air di sebelah Sungai Setiu dengan paras air yang terhalang disebabkan kewujudan jalan i-SHARP ini kira-kira 4 kaki lebih tinggi.
Langkah drastik yang perlu diambil oleh pemaju adalah menggantikan calvert tersebut dengan jambatan yang akan melancarkan aliran air dengan cepat. Pok Ya ada memaklumkan bahawa, penduduk Nyatoh ada menemui wakil pemaju dan idea berkaitan pembinaan jambatan ini telah dikemukakan tetapi maklum balas yang diterima, kos pembinaan jambatan adalah terlalu tinggi.
|
apakah kesukaran ini akan berpanjangan? |
Alasan ini sukar untuk diterima! Ianya bukanlah sebuah jambatan untuk menyemberangi sungai, tetapi ia hanyalah sebuah jambatan di atas darat yang membelah jalan masuk ke tapak projek dengan matlamat untuk meminimakan rintangan jalan ini kepada aliran air. Kos projek pula melebihi RM300 juta. Tak kan itu pun tak mampu wahai pemaju i-SHARP yang budiman! Apakah dengan alasan kos ini, bermakna penduduk akan terus berhadapan dengan kesukaran dan bencana untuk tempoh 30 tahun lagi akan datang?
Bukan setakat penduduk Nyatoh, tetapi juga penduduk setempat sekitar Kampung Buloh dan Kampong Bukit Kemudu juga mengakui bahawa kejadian banjir sepanjang musim tengkujuh 3 tahun kebelakangan ini adalah luar biasa dan tidak berpadanan dengan jumlah hujan yang turun.
Walaupun perlaksanaan projek telah berjalan dalam tempoh melebihi tiga tahun dengan pelbagai impak sampingan mulai dirasai dan terdedah, kerajaan seolah-olah ingin menyembunyikan hakikat sebenar projek ini dari makluman umum. Apabila didedahkan dengan fakta-fakta yang sukar disangkal barulah kerajaan berjanji akan memantau perlaksanaan projek yang dikatakan akan menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri untuk menerima pelabur lain yang ingin melabur di dalam bidang yang sama di negeri ini.
Betul atau tidak pemantauan dilakukan, masih menimbulkan kesangsian. Kalaulah betul kerajaan melakukan pemantauan terhadap projek ini, maka saya dengan segala hormatnya menyimpulkan bahawa jawatankuasa pemantauan ini memang tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan. Kalau tidak, mana mungkin kerajaan boleh berlagak bodoh dengan satu demi satu impak negatif yang berlaku di depan mata. Isu pembinaan jambatan untuk mengantikan calvert telah ditimbulkan oleh Menteri Besar ketika melakukan lawatan ke tapak projek dulu, tapi di mana perlaksanaannya?
Tuntutan kita bukannya supaya pihak kerajaan memberikan jawapan politik yang tak berkesudahan, tetapi tindakan tegas dan berkesan sebelum nasi menjadi bubur. Ditambah lagi dengan cuaca yang belum lagi menentu dengan kemungkinan banjir gelombang seterusnya akan melanda sekali lagi. Kalau pun bukan ditahun ini, selagi ada bulan dan matahari, tengkujuh akan melanda lagi.
Suatu perjudian yang besar apabila sebuah syarikat yang belum berjaya membuktikan hasil dan prestasi dalam industri berkaitan dianugerahkan 1,000 hektar tanah dengan taraf pajakan selama 30 tahun yang turut mengorbankan hak dan mata pencarian rakyat kemudian menghasilkan pula impak negatif alam sekitar dan sosio ekonomi setempat sedangkan hasilnya masih terlalu samar.
Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar
PAS Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan