Harakah
Oleh Abd Shuku Harun
Presiden Ketiga Indonesia, B.J. Habibie yang kini berada di Malaysia memenuhi beberapa undangan untuk menyampaikan ceramah adalah antara tokoh pemimpin terhebat di rantau ini.
Beberapa hari lalu, beliau menyampaikan ceramah di Pulau Pinang dan esok (Khamis) akan menyampaikan pidatonya di Dewan Pro Canselor Unisel, Shah Alam.
Beliau memberi fokus ceramahnya mengenai transisi Indonesia ke dunia demokrasi iaitu sesuai dengan peranan beliau mengubah Indonesia menjadi negara demokrasi.
Nama penuhnya Bacharuddin Jusuf Habibie adalah presiden ketiga Republik Indonesia. Lahir di Pare-Pare, Sulawesi Selatan, pada 25 Jun 1936.
Bayangkan, dalam tempoh singkat memegang jawatan Presiden Indonesia – 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999 – beliau telah berjaya membuka gerbang demokrasi seluas-luasnya di negara 240 juta rakyat itu.
Ini tentunya sangat luar biasa, justru beliau digelar sebagai Guru Demokrasi di rantau ini.
Walaupun dalam masa yang singkat sebagai presiden, namun B.J. Habibie telah:
1) Memberi kebebasan pada rakyat untuk menyalurkan aspirasi mereka sehingga banyak bermunculan partai-partai politik baru yakni sebanyak 48 partai politik.
2) Membebaskan tahanan politik dari NGO (Napol) seperti Sri Bintang Pamungkas dan Mochtar Pakpahan.
3) Mencabut larangan berdirinya pertubuhan buruh independen.
4) Membentuk tiga undang-undang yang demokratik iaitu:
1. UU No. 2 tahun 1999 tentang Partai Politik
2. UU No. 3 tahun 1999 tentang Pemilu
3. UU No. 4 tahun 1999 mengenai Susunan Kedudukan DPR/MPR.
Di bawah kepemimpinan Habibie, Indonesia memilih demokrasi sebagai jalan hidup berbangsa dan bernegara.
Habibie sebagai pembuka sejarah perjalanan bangsa Indonesia pada era reformasi dengan melakukan sejumlah perubahan mendasar bagi penegakan demokrasi dan keterbukaan politik.
Pilihan raya umum tahun 1999 tercatat sebagai pilihan raya umum paling demokratik yang pertama setelah pilihan raya umum 1955.
Media
Presiden Habibie juga membuka seluas-luasnya kebebasan bersuara, khususnya media.
Keterbukaan politik di masa pemerintahan BJ Habibie juga diiringi dengan sejumlah usaha pemulihan (recovery) ekonomi.
Pemerintahannya berhasil menekan laju turunnya inflasi dan krisis kewangan dunia berbanding saat awal krisis ekonomi muncul.
Kejayaan Habibie yang juga terserlah ialah menempatkan Bank Indonesia dalam kedudukan yang bebas dari kawalan pemerintah.
Sikap beliau sangat terbuka dalam berbicara, mesra dalam bergaul dan ia seorang liberal kerana kehidupan dan pendidikannya yang lama di dunia Barat.
Beliau mendapat pendidikan awal hingga menengah atas di tanah airnya dan kemudian melanjurkan pelajaran di bidang kejuruteraan kapalterbang di Jerman dan lama beliau menetap di sana.
B.J. Habibie berundur dari kerusi presiden setelah Ucapan Pertanggungjawabannya ditolak oleh MPR (Majlis Perunding Rakyat Sementara – Parlimen).
Kesilapan beliau, kalau boleh dikatakan kesilapan, ialah semasa pemerintahannya, beliau telah 'membebaskan' Irian Jaya dari wilayah Indonesia, tetapi tentu Habibie mempunyai sebab tertentu mengapa beliau berbuat demikian.
Bagaimanapun, jiwa besar dan keterbukaan Habibie terlihat jelas di mana beliau masih boleh tersenyum dan mesra dengan ahli-ahli politik MPR yang tidak menyokong Ucapan Pertanggungjawabannya itu menyebabkan beliau meletakkan jawatan.
Dalam buku memoernya 'Detik-Detik Yang Menentukan – Jalan Panjang Indonesia menuju demokrasi, bekas pemimpin Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Hidayat Nur Wahid menyebut:
"Tokoh ini yang dengan reformasi berubah dari wakil presiden menjadi presiden dan kemudian meninggalkan kerusi keperisedenannya dengan bibir tersenyum dan kepala tegak. Semuanya berlaku secara damai, tanpa setitis darahpun yang tumpah. Kemudian beliau membuka pintu seluas-luasnya untuk para pemimpin menerusnya agar dapat mengisi momentum yang ada lebih berjaya."
Buku memoer B.J. Habibie itu ditulis berdasarkan catatan harian beliau dengan ulasan pelbagai media dan tokoh. Bukunya itu seolah-olah sebagai rakaman ulang sebuah realiti politik yang amat gawat di saat itu.
Meskipun demikian kelembutan dan di tengah ketegasan sikapnya, seorang putera bangsa terbaik bernama B.J. Habibie itu sangat jelas tergambar dalam bukunya itu.
Khamis ini tokoh besar demokrasi di nusantara itu dijangka akan bercakap di Shah Alam mengenai demokrasi dan bagaimana rakyat Indonesia bertuah menikmatinya.
Umpamanya dalam Pemilu (Pilihan Raya Presiden) 2004, 2009 di mana saya turut menyaksikannya terlihat jelas bahawa pilihan raya itu benar-benar sebagai pesta demokrasi.
Tidak ada kekerasan, fitnah dan tuduhan melalu, elemen-elemen rasis dan seumpamanya. Ia berjalan lancar, telus, ceria dan penuh demokratik.
Bagi rakyat Indonesia, semuanya ini adalah hasil usaha B.J. Habibie justru beliaulah yang membuka pintu gerbang demokrasi seluas-luasnya di negaranya. Dalam masa yang sama beliau mengembalikan semula harga diri dan hak asasi anak bangsanya.
Negara-negara yang belum menikmati erti demokrasi sepenuhnya, terutama di rantau ini, sewajarnyalah meneladani kepimpinan B.J. Habibie.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan