KEADILAN mengalu-alukan ketetapan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah mengesahkan penaiktarafan status negara Palestin dari entiti "Pemerhati Bukan Ahli” kepada “Negara Pemerhati Bukan Ahli,”
Meskipun ia mendapat tentangan dari Amerika Syarikat dan Israel, resolusi tersebut telah disokong oleh 138 negara, 9 menentang dan 41 berkecuali. Dengan Ini bermakna Palestin telah wujud secara sebagai sebuah Negara di PBB. Implikasinya nanti, Palestin akan berpeluang berurusan dengan sebarang Negara lain (termasuklah dengan Israel) sebagai sebuah Negara yang sah selepas memperjuangkannya lebih dari 60 tahun.
Namun demikian, KEADILAN tetap berpendirian bahawa secara prinsipnya, sebagai sebuah negara yang berdaulat, PBB seharusnya Palestin telah diterima menjadi anggota penuhnya secara automatik. Dengan keputusan yang dibuat, PBB di lihat bersikap 'double standard' atau pilih kasih kerana banyak Negara lain yang lebih baru, telahpun mendapat pengiktirafan sebagai anggota penuh.
Sesungguhnya, perjuangan mendapatkan hak Palestin keanggotaan penuh PBB wajar diteruskan. Status terbaru yang ada, sudah pasti memungkinkan matlamat menjadikannya sebagai sebuah Negara Merdeka dan berdaulat mudah dicapai. Dengannya nanti, Palestin berhak menjadi anggota agensi-agensi PBB dan badan-badan antarabangsa termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). KEADILAN amat yakin, hasrat ini akan tercapai segera.
Amatlah nyata, rakyat Palestin sudah terlalu lama dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya. Kehidupan mereka berterusan dhaif dan derita dalam serba perkara. Kanak-kanak pula tidak mendapat peluang pendidikan sebaiknya sepertimana di negara yang lain. Perkembangan terbaru, Israel dilaporkan akan membina 3,000 penempatan baharu di Baitulmaqdis dan di Tebing Barat sebagai tindak balas terhadap kejayaan Palestin memperolehi status pemerhati bukan anggota di PBB.
Justeru, kekejaman dan kezaliman berterusan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin perlu dikutuk dan ditentang dengan apa jua cara. Kepada semua pihak yang sedang berusaha membantu – khususnya NGO dan sukarelawan – kita mengucapkan syabas dan moga diberkati Allah jua. Kita juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia – merentasi kaum dan kepercayaan – agar terus memberikan sokongan dan dokongan.
DATO’ SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN
PARTI KEADILAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan