(Saya bukanlah seorang penyair, tetapi bukan juga seorang yang tidak mencintai syair. Saya suka membaca syair, bahkan saya mungkin mendahului rakan-rakan membeli dan membaca sajak-sajak seorang sahabat saya Usman Awang, atau Tongkat Waran; bahkan syair-syair yang tulis pernah keluar didalam majalah keluaran Dewan Bahasa; tetapi sajak-sajak yang keluar itu dibantu pembetulannya oleh Sdr Usman Awang. Saya pernah berguru dengan Dr Mohamad Salleh, seorang penyair prolifik yang menulis didalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dan sajak-sajaknya telah diterjemahkan kedalam bahasa Russia, Perancis dan lain-lain bahasa; tetapi setelah berbulan "mengadapnya" beliau berkata kepada saya, "Mi, aku ingat kau concentrate dengan penulisan prosa sajalah, lupakanlah sajak, kau ada idea tetapi bahasa kau tu kaku, tak ada seni." Sejak hari itu (hampir 30 tahun dahulu), saya tidak lagi cuba menulis sajak.
Semasa aku berpindah semula ke Temerloh dari Kuala Lumpur, saya telah banyak menulis didalam akhbar-akhbar tetapi tidak dalam bentuk sajak, saya menulis mengenai kemasyarakatan, politik, ekonomi, kehidupan. Sekali sekala artikel aku keluar juga didalam Majalah Dewan Masyarakat, tetapi yang paling banyak didalam akhbar WATAN dan BUMI, hampir setiap minggu.
Dan semasa akhbar WASILAH masih diterbitkan, aku diberikan kolom mingguan.
Tetapi disuatu hari Sdr Man Kadir yang kebetulan pada waktu itu (ini cerita 30 tahun yang lampau) ingin mementaskan sebuah drama. Kami adalah kerabat DPMP (Dewan Penulis Melayu Pahang) cawangan Temerloh, sebuah badan penulisan yang sangat aktif. Sentiasa kami mengadakan kursus penulisan dan diantara tokoh sastrawan yang kami undang memberikan kursus termasuklah Allahyarham Usman Awang,
Saya tergerak untuk menuliskan sebuah puisi dan memahukan agar puisi itu dijadikan tema kepada Drama yang bakal dipentaskan oleh Sdr Man Kadir atau nama penuhnya Ab Kadir bin Abd Manap yang kini terkenal dengan nama Pak Jabit.
Saya tuliskan sebuah sajak berjodol - LORONG ITU MATI, dan sajak itu juga diterbitkan didalam Majalah Dewan Masyarakat.
Apabila aku diberitahu oleh Man Kadir dan Yassin Salleh bahawa pada 13.11.12 jam 8.45 malam akan diadakan Majlis Membaca Puisi, tergerak sekali lagi aku mahu menulis sebuah puisi, satu puisi sindiran. Kalau Sdr Kassim Ahmad menyiapkan sebuah puisi didalam tempoh beberapa hari (beliau sangat cermat didalam penulisannya), saya hanya menulis didalam tempoh 5 minit sahaja (kerana aku bukan seorang penyair).
Inilah (dibawah ini) aku turunkan semula sajak yang aku tulis dengan jodol AKULAH ORANG YANG PALING HEBAT.
Akulah orang yang paling hebat
apa kerja pun aku tak perlu buat
kalau bercakap akulah orangnya
yang amat pandai dan berdarjat
Aku tahu seribu satu ilmu
nak cakap tentang dunia
akulah yang paling tahu
nak cakap tentang akhirat
akulah ulamaknya
bahkan nak cakap fasal perempuan
aku jugalah ular dalam semaknya
Siapa boleh lawan aku
bukankah aku seorang intelek
aku ada setempeket
kerja aku bukan menoreh getah
kerja aku bukan menyadat sawit
kerja aku bukan di kebun pisang
kerja aku bukan di ladang gersang
kerja aku bukan menangkap ikan di sungai
aku orang yang hebat amat-amat
aku menulis di akhbar-akhbar
aku berucap di pentas politik.
Siapa tak kenal aku
Akulah yang bersama Dato Seri Anwar Ibrahim
Dato Seri Anwar sentiasa menghubungi aku
ditengah malam dia mahu check aku dah tidur ke belum
akulah orang yang paling digemari oleh Anwar
akulah pilihan Anwar, no less!
Tanpa aku perjuangan di kawasan ini tidak bermakna
tak usah ganggu gugatlah aku ni
aaku ada sumpah keramat
aku tak perlu kepada kawan yang ramai
tak perlu aku kepada jentera
apa guna banyak bendera
bukan bendera atau poster yang mengundi aku
rakyat seluruhnya di belakang aku
aku manusia pilihan kerana aku hebat
tanpa aku siapa lagi?
Ini bukan gurindam anak kampong
ini bukan gurindam anak tani
ini bukan gurindam anak nelayan
ini bukan gurindam anak pekerja
ini bukan gurindam anak kakitangan kerajaan
ini bukan gurindam anak polis
ini bukan gurindam anak tentera
ini bukan gurindam anak bomba
ini bukan gurindam anak rela.
Ini gurindam pejuang negara
manusia terpilih yang tidak ada galang gantinya
Akulah orangnya!
Akulah manusianya!
Amboihai, hebatnya AKU!
haji suhaimi said
10.11.12
baitul fath, kg batu 4,
jalan maran, temerloh,
pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan