SEPANG: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap anggota dan pegawainya terbabit dalam jenayah termasuk rogol. 

Mengulas mengenai tiga anggota polis yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia di Perai, Pulau Pinang, Jumaat lalu, Ismail berkata, pihaknya menggantung tugas ketiga-tiga anggota berkenaan sementara menunggu pendakwaan. 
Ketiga-tiga mereka kini ditahan reman dan laporan siasatan ke atas mereka diserahkan kepada pendakwa raya, katanya. 


"Kita ambil tindakan segera terhadap anggota dan pegawai yang cuba memburukkan reputasi Polis DiRaja Malaysia. Malah kita tidak mahu negara jiran kita menganggap ia satu perbuatan yang dibenarkan, kita tegas dalam tindakan kita," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini. 

Ismail berkata, kini tindakan lanjut diserahkan kepada pendakwa raya untuk menentukan bila mereka akan didakwa di mahkamah. 

Terdahulu, Ismail merasmikan majlis sambutan kepulangan 76 anggota polis, dan dua anggota perubatan Angkatan Tentera Malaysia yang selesai menjalankan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Timor Leste. - BERNAMA