Pada 11hb Ogos 2012 jam 5.00 petang, saya dan Kak Hendon menerima jemputan anak-anak muda dari Felda Jengka 24 untuk meraikan beberapa orang Anggota Baru yang turut menawarkan diri untuk menjadi Petugas/Pacaba/Sukarelawan PKR untuk PRU-13, seramai 18 orang Pemuda anggota baru PKR yang terlibat.
Kami bertandang ke rumah Sdr Azrul bersama-sama dengan Sdr Ramli Lin, Ketua PKR Ranting Felda Jengka 24.
Sehingga kini sudah 35 orang Pemuda PKR Felda Jengka 24 sudah mendaftarkan diri untuk menjadi petugas/pacaba/sukarelawan.
Kami sempat merakamkan gambar bersama sebahagian daripada 18 orang pemuda tersebut tetapi hanya sebahagian sahaja yang bergambar, yang lain-lain dinasihatkan tidak bergambar bersama untuk menghormati kedudukan ibu-bapa mereka yang masih tegar didalam UMNO, Insya Allah, sebahagian daripada ibu-bapa mereka bukan sahaja memahami pilihan anak-anak mereka bahkan sudah berlembut hati terhadap kehadiran PKR di rancangan Felda itu.
Keseluruhan ahli-ahli Pemuda Felda Jengka 24 yang menyertai PKR adalah 120 orang dan sebahagian besar dari mereka bertugas di luar kawasan, sesetengahnya di Kuala Lumpur dan Kuantan.
Selesai tugas kami di Felda Jengka 24, kami bertolak menuju Kampong Dato Shariff Ahmad, Kuala Krau untuk berbuka puasa di rumah Abang Haji Abdullah Simat (Hj Dollah), pupu saya; seorang yang hebat berjuang didalam UMNO di zaman Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussain. Kini beliau bersama isterinya menyertai Parti Keadilan Rakyat.
Abang Haji Dollah menjemput pupu-pupunya, anak-anak saudaranya dan cucu-cucunya (semua dah dewasa) berbuka puasa di rumahnya. Dua ruang tamu di rumahnya, satu untuk Wanita dan satu untuk lelaki penuh.
Majlis dimulakan dengan mengadakan Tahlil Arwah dipimpin oleh seorang Ustaz Tahfiz.
Pada 12hb Ogos 2012, saya cukup excited nak dengar berita dari Sabah; dan di awal pagi lagi saya terus melakukan kerja-kerja berkebun untuk "membunuh masa", Alhamdulillah, dapat satu jalur yang luas saya terangkan tanah dan saya terus menanam pelbagai jenis sayur seperti keledek, ubi kayu, bendir, kacang panjang, dan cili api.
Apa yang saya tanam di permulaan Ramadhan dulu sudah boleh mendatangkan hasil. Cili sudah berbuah, beberapa ulaman sudah boleh dipetik, dan pucuk ubi kayu serta pucuk keledek sudah boleh dibuat sayur; dan kangkung sedang membesar. Bendir dan kacang panjang belum lagi mengeluarkan hasil, saya kena buat para untuk kacang panjang, peria, dan timun.
Saya tanam rambutan ini 3 tahun dahulu, sudah beberapa kali berbuah, tapi tahun ini nampak begitu lebat bunganya. Saya ada 20 pokok rambutan, alahai, kalau kawan-kawan tak datang tolong makan bila buah dah masak nanti, alamat rosak dipokok sajalah buah-buah itu.
Kelapa, memang saya tak perlu membeli di kedai. Ada 8 pokok kelapa, semuanya berbuah lebat.
Pokok rambutan, dan yang jauh itu adalah buah mata kucing dan mempelam kampung
Pisang dah tak termakan, keledek sedang menjadi
Di sebalik pokok kelapa itu adalah pokok rambutan, dengan saya tak sedar ada sarang tebuan di pokok itu, sudah begitu besar, dan kini sudah dibakar, nak mujur juga saya sedar awal, cucu-cucu saya suka bermain di bawah pokok-pokok ni.
Di belakang lorong ini ada 8 pokok mangga, tapi tahun ini loangsung tidak berbunga, mungkin tahun depan berbunga/berbuah
Anak-anak pokok kelapa untuk dialihkan ke belakang rumah
Di dalam tong-tong ini terdapat ratusan anak-anak ikan Tebakang, kini sudah selebar 3 jari, lambat betul ikan ini membesar. Induk kepada ikan-ikan ini saya sumbangkan kepada Sdr Zainal di Felda Jengka 12, beliau adalah penternak ikan secara komersial, di tempat penternakannya juga diadakan kursus-kursus menternak ikan air tawar, ada beberapa kolej yang menghantar pelajar-pelajar mereka belajar di sini.
Ini adalah kelapa pandan, dulunya berbuah mencecah tanah, tapi oleh kerana kawasan ini banyak babi hutan, buah-buah kelapa ini tak sempat dimakan, kini pokok dah tinggi sedikit, bolehlah dimakan; saya suka petik buah mudanya untuk airnya diminum; cukup seronok minum tengah hari bila sudah dicampurkan ice, nyaman. Ooop...jangan perasan ya? Itu di luar bulan Ramadhan.
Di dalam tong itu, saya pelihara ikan sepat benua
Nampak pokok dokong tu?
Dan di bawah sana ada reban ayam, saya pelihara ayam kampong
Ini siapalah nak makan nanti, dokong ini berbunga begitu lebat
Di sebelah kiri pokok bunga raya tu, semuanya pokok dokong
Orang kata berbudi kepada tanah memang akan mendapat hasilnya, cukup dengan bajanya, cukup dengan airnya, sampai waktunya pokok-pokok itu membalas budi kita.
Berbeza dengan menabur budi dengan manusia. Kalau tidak ikhlas kerana Allah, kadang-kadang budi itu tidak dipandang begitu berharga kerana manusia mudah lupa (kata Dr Mahathir), dan kadang-kadang diterima dengan sindiran. Ikhlas kerana Allah ada ganjarannya.
Setelah siap saya berkebun, dan menyiram pokok-pokok (ini musim begitu panas), saya bersihkan diri dan pada jam 12.30 tengah hari, saya pandu kereta Volvo saya, sebuah kereta yang saya sudah pakai berbelas tahun, dan Kak Hendon pandu Pesonanya, kami pergi ke Kuala Lumpur untuk mengambil sumbangan untuk kami edarkan kepada golongan dhaif, dan ibu tunggal di Kuala Krau.
Esuk, 14hb Ogos, kami ahli-ahli PKR Kuala Krau akan mengedarkan sumbangan itu kepada mereka yang sudah disenaraikan termasuk didalam item edaran itu beras, minyak masak, air kordial, mee hoon, dan ketupat.
Moga-moga amal yang disempurnakan di bulan Ramadhan ini kerana Allah ada ganjarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan