Harakah
Ahmad Lutfi
Melihat sambutan hebat masyarakat terhadap program Pakatan Rakyat, khususnya ceramah-dialog politik dan majlis makan malam, tidak terbayang bahawa Najib Razak dan BN mampu mempamerkan prestasi lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang, berbanding rekod buruk Abdullah Ahmad Badawi empat tahun lalu.
Pagi Ahad lalu, 25 Mac, sewaktu singgah di majlis Himpunan Anak Terengganu di Perantauan 2012, di Kajang — yang menyaksikan hampir semua pimpinan kanan PAS Negeri turun, termasuk Pesuruhjaya, Abd Wahid Endut dan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang — saya lihat hadirin memenuhi segenap ruang Dewan Majlis Perbandaran Kajang itu.
Wajah dan air muka mereka menyerlahkan keyakinan atau sekurang-kurangnya semangat dan harapan tinggi agar Terengganu tidak lagi tercicir daripada gelombang tsunami politik, seperti tahun 2008.
Di sebelah malamnya, wartawan Harakah yang membuat liputan Karnival Terima Kasih Rakyat di Stadium Kuala Selangor, sempena empat tahun Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, memaklumkan bahawa puluhan ribu menghadiri majlis ceramah Rapat Rakyat, yang disertai tiga pimpinan utama, Anwar Ibrahim, Ustaz Hadi dan Lim Kit Siang, selain Menteri Besar Khalid Ibrahim.
Sehari selepas itu, saya dikunjungi dua aktivis mahasiswa Universiti Malaya, yang banyak menceritakan perkembangan menarik anak-anak muda di kampus; siri aksi protes terbaru mereka begitu mengujakan, termasuk menghantar simbol batu nesan kepada Menteri Pengajian Tinggi, petanda keprihatinan tinggi terhadap idealisme perjuangan untuk bersama-sama mencetuskan perubahan yang begitu didambakan rakyat.
Sekurang-kurangnya saya dapat diyakinkan bahawa kebangkitan mahasiswa kini berupaya membentuk gelombang tersendiri dan mampu mempengaruhi kecenderungi mengundi generasi muda dalam PRU13 nanti. Jadual mereka untuk mengungguli suara kebenaran cukup padat sekali.
Ketika menulis catatan ini, jam 1.10 pagi, 28 Mac, hanya 2km dari kediaman saya, di Padang Awam, Taman Kosas, Ampang, ceramah Anwar dan Mohamad Sabu baru berakhir setengah jam lalu. Mulanya saya bercadang untuk merasai kemeriahan itu, tetapi keuzuran dan kesuntukan masa menyemak deadline Harakah menghalangnya.
Saya menelefon anak sulung yang terperangkap dalam kesesakan. “Ramai sangat yang datang … kebanyakannya anak-anak muda. Mereka bertepuk dan bersorak semasa Anwar berucap. Mungkin itu sebabnya Anwar berceramah lama malam ini, dia pun bersemangat dengan orang muda,” ujarnya sambil ketawa.
Seminggu sebelumnya, 18 Mac, sempena Hari Wanita Sedunia, di Petaling Jaya, ribuan aktivis daripada pelbagai pertubuhan, berarak penuh bersemangat, dari Masjid Bulat, Seksyen 14 dan Taman Tasik Jaya ke Paang Astaka, juga membawa tema serupa, iaitu menuntut perubahan, antara lain dengan laungan “Wanita Menuntut Kerajaan Bersih” dan “Wanita Menolak Rasuah”.
Asakan berterusan terhadap Pakatan Rakyat, yang disiar besar-besaran media, khususnya Utusan Malaysia dan TV3, dengan tukang karut utamanya, Najib, sudah cukup membayangkan, bahawa Umno-BN dalam keadaan panik dan tidak tentu arah. Kuasa yang bakal terlucut begitu menggerunkan.
Ya … begitulah pemandangan lahiriah atau lakaran di permukaan; begitu menjanjikan! Di mana-mana orang bercakap soal perubahan dan pembaharuan. Atau setidak-tidaknya menjalar fenomena Asalkan Bukan Umno (ABU), meskipun masih ada yang curiga keupayaan Pakatan Rakyat untuk melakukan yang terbaik buat Malaysia.
“Berilah peluang Pakatan memerintah kerajaan pusat … kalau sama juga perangainya, rasuah, sombong, asyik kayakan diri dan kroni, cukup sepenggal kita tukar orang lain pula, apa susah?” Ungkapan yang lebih kurang hampir sama maksudnya, sering diluahkan kepada saya, terutama oleh orang awam yang saya lihat tidak begitu komited dengan mana-mana parti politik.
Dalam masa sama, rupa-rupanya agak ramai yang lebih cenderung untuk bersikap berhati-hati mentafsirkan situasi yang dilihat mata kasar itu. Tidak kurang yang menelefon saya, manakala lebih ramai menghantar SMS dan emel.
“Lutfi, saya bimbang dengan penipuan dan taktik jahat BN yang kita tidak terhidu. Mungkin perancangan licik mereka berbeda dengan komplot di Terengganu pada 2004 dulu. Tapi, ia tidak lari daripada manipulasi senarai daftar pemilih, itu yang paling penting,” SMS seorang pembaca Harakah, sekadar memaklumkan dari Shah Alam.
Beliau cukup khuatir, Selangor — yang menjadi idaman Najib dan Noh Omar — akan terlepas ke tangan BN, bukan disebabkan kelemahan kepimpinan Khalid Ibrahim, tetapi berpunca daripada seribu satu tipu muslihat, yang disokong dan dimudahkan oleh rangkaian agensi kerajaan!
“Mampukah Pakatan halang penipuan daftar pemilih? Tidak ada cara lain kecuali kita tingkatkan tekanan melalui Bersih 3.0. Kali ini kita berhimpun lebih lama, kalau boleh berhari-hari, dan tidak bersurai sehingga ada jaminan tindakan berkesan dari kerajaan,” seorang pemanggil, bekas tentera melontarkan pandangan.
Mendapat panggilan yang agak kerap dan curahan SMS dengan nada sama, yang khuatir dan curiga, bukan sahaja merisaukan laluan Pakatan ke Putrajaya, malah bimbang dengan penguasaan ke atas Selangor dan Kedah, saya sendiri naik cuak.
Apakah mereka turut terpengaruh dengan mesej yang sering saya bawa dalam kolum ini, atau kerisauan itu memang sesuatu yang real; bukan disebabkan kegagalan Pakatan untuk meraih sokongan tetapi manipulasi BN terhadap proses pilihan raya yang masih tempang ini?
Saya jarang tertarik dengan emel blogger Tulang Besi, tetapi tulisannya tentang Selangor agak menyentap perhatian saya. Antara yang ditekankan beliau:
“Dengan bantuan SPR dan JPN, Umno (di Selangor) telah berjaya menukar puluh ribuan pengundi Pakatan Rakyat dari Dun masing-masing; mendaftar pendatang asing sebagai pengundi yang sah; menukar alamat pengundi Umno dari Johor, Melaka dan Pahang untuk mengundi di Dun (yang dikuasai) KeADILan dan PAS; dan mendaftar banyak pengundi hantu yang tidak dikenali dan tidak wujud di Selangor.
“Mengikut bilangan terkini, bilangan kerusi yang bakal dimenangi oleh Umno-BN adalah 35 berbanding Pakatan Rakyat 21. Menjelang pilihan raya umum bulan Jun 2012 nanti, bilangan kerusi yang bakal dimenangi BN adalah 43 berbanding Pakatan Rakyat 13.
“Umno-BN bukan setakat yakin untuk memerintah Selangor tetapi yakin mendapat kembali majoriti dua pertiga di Dun Selangor.
“Setakat yang saya tahu, amat sedikit sangat usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk menangkis penipuan Umno-BN ini. Disebabkan kos membantah nama dalam daftar pemilih yang diragui ditetapkan oleh SPR RM10 untuk satu nama, maka PAS Selangor tidak mampu membantah dengan banyak walaupun mereka kuat bekerja.”
Saya tinggalkan anda dengan persoalan yang kelihatan merisaukan ini …
Tiada ulasan:
Catat Ulasan