The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah Posted: 25 Dec 2011 11:50 PM PST Kali pertama melawat Negeri Kelantan Posted: 25 Dec 2011 08:47 PM PST Sejak Wan (Nenek) saya dibawa oleh Aki saya ke Temerloh mula-mula ke Kg Berhala Gantang, kampong Aki saya, dan kemudiannya membuka Kampong Lubok Kawah bersama Aki disebelah ayah saya, sebelum Banjir Merah, Wan saya tidak pernah pulan ke Kelantan.
Pada tahun 1955, Ayah saya merancang untuk membawa Wan saya ke Pasir Mas untuk menziarahi sanak saudara Wan saya.
Di percutian Sekolah penggal satu, Ayah saya sudah memberitahu Emak saya bahawa dia nak ajak seisi keluarga melawat kampong Wan saya; Emak saya sangat bersetuju kerana dia juga dilahirkan di Kelantan, tetapi dibawa ke Pahang oleh Aki dan Wan saya dan tidak pernah selepas itu kembali ke kampong tempat kelahirannya iaitu Kg Bemban, Lemal, Pasir Mas, Kelantan.
Sebulan sebelum cuti sekolah, ayah saya bersama alat kelengkapan Apam Baliknya pergi ke Kuala Lipis; dia tidak kekuk di Kuala Lipis kerana disana ramai saudara-maranya. Aki saya (iaitu ayah kepadanya) berasal dari Lipis, ertinya Aki kepada ayah saya adalah Orang Lipis. Tetapi Aki saya (ayah kepada ayah saya dilahirkan di Kg Bintang, Temerloh).
Ayah saya berniaga di Lipis, setiap hari menjual Apam Balik. Setelah wangnya cukup, dia menghantarkan taligeram kepada Aki saya untuk menaiki keretapi di Mentakab; Ayah akan tunggu di Setesyen Keretapi Kuala Lipis.
Kami sekeluarga, Aki, Wan, Emak, Abang Dol, Abang Din, Saidal Khadri, saya dan Jaenah,juga pupu saya yang saya panggil Abang Atan (nama sebenar Raslan, yang sekarang tinggal di Kerinci Kuala Lumpur, beliau adalah anak kepada abang emak saya, Pakwe Hassan, dia abang tiri emak saya dan ibu dan ayahnya adalah orang Kelantan, kami menaiki keretapi di Mentakab. Sampai di Lipis ayah saya sedang menunggu dan menaiki keretapi itu.
Lama betul rasanya barulah sampai di Pasir Mas, Kelantan. Pak Cu Kamarzaman, iaitu pupu emak saya, iaitu anak Saudara kepada Wan Saya, ada menunggu di Setesyen Keretapi Pasir Mas.
Pak Chu telah menyediakan beberapa teksi (ini bukan teksi kereta) ini teksi basikal roda tiga, Wan, Aki, Emak dan Saidal Khadri menaiki teksi itu, manakala Ayah, Abang Dol, Abang Din dan saya berjalan kaki sahaja bersama Pak Chu. Saidal naik teksi kerana dia adalah OKU, sebelah kakinya kurang berfungsi.
Sampai di Kg Bemban, hidangan nasi sudah disediakan di rumah Pak Chu. Di sebelah Rumah Pak Chu itu ialah rumah Pak Ngah, abang kepada Pak Chu, keluarga Pak Ngah pun makan bersama kami.
Pak Chu ada seorang adik yang saya panggil Pok Su, dan dia hampir sebaya dengan kami. Abang kepada Wan saya, iaitu Aki Omar masih ada tetapi sudah sangat tua pada waktu itu.
Kami kanak-kanak mudah menjalinkan hubungan dengan kanak-kanak Kg Bemban. Ada sebatang pokok perian di kampong itu sedang berbuah dengan lebatnya. Isinya manis dan sedap juga dimakan. Kami menunggu dibawah pokok yang besar itu menunggu buah perian yang masak untuk gugur. Banyak betul buah yang masak gugur terutamanya semasa ditiup angin.
Habis ke segala ceruk kampong itu dan kampong-kampong sebelah kami pergi dibawa oleh Pok Su kami.
Satu hari kami dibawa ke Pasir Mas. Saya ternampak disuatu kedai kapak-kapak kecil; inilah sebenarnya "kapok bukuuh". Saya sangat berminat, dan apabila saya tanya harga kepada taukeh kedai itu, dia terus halau saya. "Giih, giih, mu budok kechek, mano bulih beli kapok, giih..giih."
Pok Su saya barulah beritahu bahawa budak kecil tak boleh beli kapak bungkus, itu senjata berbahaya.
Ada satu kesukaan budak-budak kecil di Kg Bemban iaitu menangkap burung, saya tak ingat namanya. Burung itu banyak di sawah. Sawah amat luas di Kg Bemban itu.
Suatu hari, Pok Su sudah siapkan tempurung-tempurung kelapa. "Noh, amik nih, kito gi ssawoh, nok igap burung, sapa ssawoh kito ketok ppurung nih, nati burung-burung tu tok leh terbeng, jatuh, nati kito igap, kito sembeleh, kito baka kak api, maken." (Translation: Nah, ambil ni, kita pergi ke sawah, kita nak tangkap burung, sampai di sawah, kita ketuk tempurung ini, nanti burung-burung itu tidak boleh terbang, jatuh,nanti kita tangkap, kita sembelih, kita bakar kat api, kita makan").
Seronok betul menangkap burung dengan cara mengetuk tempurung itu, selepas itu hampir setiap hari semasa di Kg Bemban kami pergi ke sawah, tangkap burung.
Wan saya mengajak kami pergi ke Rantau Panjang, disana ramai saudara-maranya, pergi dengan cara naik teksi (basikal roda tiga) dan kami juga pergi ke Tanah Merah ke suatu kampong dimana ramai saudara-mara Wan saya.
Ada juga saudara-mara Wan saya di Wakaf Baru. Pak Chu Kamarzaman saya yang bawa kami ke tempat-tempat itu. Pak Chu adalah sebaya dengan emak saya.
Emak saya tu pelik sikit. Walaupun dia dilahirkan di Kelantan, dan emaknya sendiri orang Kelantan, tetapi sepatah haram dia tak tahu bahasa Kelantan. Wan saya lagi teruk. Oleh kerana dia keseorangan di Pahang, dia cuba meniru Bahasa Orang Temerloh, sehinggakan loghat Temerloh pun tak kena, dan Bahasa Kelantannya dah satu macam. Kadang-kadang saya kena translatekan bahasanya ke loghat Temerloh proper bila dia bercakap dengan orang Temerloh dan saya kena translatekan bahasa Kelantannya bila dia bercakap dengan orang Kelantan. Kalau tidak orang tak faham bahasanya.
Dua minggu kami berada di Pasir Mas, maka sampailah masanya kami pulang ke Temerloh. Macam-macam dibekalkan oleh Pak Chu, dan Pak Ngah saya untuk kami bawa balik ke Temerloh.
Masa kami pulang ke Temerloh, Raslan tidak ikut serta. Dia tinggal di Kelantan di rumah Aki Omar, dan akinya sendiri pun masih ada disana iaitu ayah kepada Pakwe Hassan.
Selepas itu, Pak Chu Kamarzaman sentiasa datang ke Temerloh, dia adalah tukang membuat rumah dan banyak juga rumah-rumah di Temerloh dia buatkan, dia ambil upah.
Kini Pak Chu Kamarzaman, Pak Ngah Daud sudah meninggal dunia. Begitu juga ayah saya, emak saya manakala Aki dan Wan saya sudah lama sebelum itu meninggalkan kami. Abang Dol, Aband Din, Saidal Khadri juga sudah meninggal dunia. Di Kelantan tinggal lagi Pok Su, dia pun sudah tua lebih tua dari saya. Di Pahang hanya tinggal saya seorang saja lagi adik beradik saya, manakala Jaenah tinggal di Kelang, Selangor.
Cucu Wan saya di Pahang iaitu anak kepada Cikgu Choh (Cikgu Yusof)(adik kepada emak saya) adalah Penghulu Hamdan, Anuar, Bakri dan adik-adik mereka tinggal di Kuala Lumpur, manakala anak kepada Mak Itam saya tinggal lagi 2 orang iaitu Suriati dan Sazlan (yang tinggal di Kuala Lumpur).
Hubungan keluarga saya dengan keluarga di Kelantan masih erat dan kami sentiasa kunjung mengunjung.
Keluarga sebelah ayah saya amatlah besar di Pahang ini. Tetapi itu adalah cerita yang lain. | Ingatan Silam di Pekan Sehari Temerloh Posted: 25 Dec 2011 06:11 PM PST Semalam saya membawa 2 orang cucu saya ke Pekan Sehari Temerloh. Penjual dan peraihnya semakin ramai, pengunjungnya juga ramai. Saya turun ke Pekan Sehari itu mulai jam 9.30 pagi dan kembali ke rumah semula jam 12.30 tengah hari.
Mengunjungi Pekan Sari ini mengingatkan saya ke zaman lampau semasa saya baru masuk sekolah ke darjah satu di Sekolah Melayu Bandar Temerloh (nama terkenalnya ialah Sekolah Lanjut).
Kenapa Sekolah Lanjut? Sebab berhampiran Sekolah itu ada pokok lanjut (orang Melaka sebut pokok binjai).
Semasa itu nenek saya berjual di Pekan Sari itu dan ayah saya juga berniaga di situ.
Nenek saya yang saya panggil Wan, dia adalah orang Kelantan dari Pasir Mas; dia berkahwin dengan atuk saya yang pada masa itu bekerja di Pasir Mas (atuk saya adalah orang Kg Berhala Gantang, Temerloh).
Wan saya rajin berniaga. Macam-macam dia berniaga di Pekan Sari Temerloh diantaranya budu (yang dipanggil "peda" oleh Orang Pahang).
Saya suka membantu Wan saya berniaga kerana selepas berniaga itu Wan saya akan beri kepada saya 20 sen. 20 sen itu adalah besar semasa itu iaitu di tahun 1953 (belum Merdeka). Macam-macam boleh beli dengan 20 sen tu, nasi lemak harganya hanya 10 sen saja. Boleh beli "air batu campur" dan gula-gula atau ice-cream lagi.
Ayah saya juga berniaga berdekatan dengan Wan saya. Ayah saya berniaga Apam Balik, dialah orang yang pertama di Temerloh yang berniaga Apam Balik. Apam Balik yang kuali besar itu harganya hanya 50 sen sahaja. Apam Balik memang laku pada waktu itu kerana tidak ada sesiapa pun yang berniaga Apam Balik. Ayah saya ditolong oleh anak saudaranya iaitu Abang Mat Ali Idris, dan kalau Abang Mat Ali tak datang, barulah saya tolong ayah saya. Ayah saya biasanya beri 50 sen kepada saya setelah habis berniaga di Pekan Sari tu.
Semua peniaga-peniaga di Pekan Sari itu membayar "cukai" kepada Tok Muda Awang Ngah kerana kawasan Pekan Sari itu adalah tanah miliknya. Cukai itu bukanlah besar, tengok jenis perniagaanlah. Kalau berjual hasil kampong, cukainya hanyalah 5 sen, dan kalau nampak besar sikit perniagaanya dicukai hingga 20 sen.
Tok Muda Awang Ngah adalah Penghulu Mukim Perak, kawasan Pekan Sari ini adalah didalam Mukim Perak.
Kawasan Pekan Sari ni adalah agak strategik. Di situ adalah pengkalan semua motor boat yang datang dari hulu Sungai, dan disitu ada kedai membeli getah dan rotan disamping kedai kopi yang sangat popular.
Pada masa itu Bandar Temerloh hanya mengandungi Jalan Ibrahim dan Jalan Abu Bakar, 3 baris kedai sahaja; manakala sederet kedai di tepi tebing Sungai Pahang itu dinamakan Kuala Semantan.
Masa itu, orang yang datang dari hulu Sungai dari Mukim Bangau, Mukim Sanggang, Mukim, Kerdau, dan Mukim Lipat Kajang tidak pergi ke Bandar Temerloh tetapi pergi ke Kuala Semantan, dan Kuala Semantan adalah sebutan yang jauh lebih popular dari Bandar Temerloh.
Kuala Semantan ini adalah muara Sungai Semantan yang bertemu Sungai Pahang. Disitu terdapat ratusan rumah-rumah rakit, kebanyakannya didiami oleh orang dari Kelantan dan juga orang-orang yang berniaga di kawasan Kuala Semantan dan Bandar Temerloh.
Aki, Wan, Ayah dan Emak saya juga tinggal di Rakit di Kuala Semantan kerana pada waktu itu Ayah saya masih tidak boleh pulang ke kampong kami, iaitu Kg Lubok Kawah kerana ayah saya adalah bekas tahanan Penjajah Inggeris, beliau baru dibebaskan dari tahanan dan hanya dibenarkan oleh Inggeris tinggal di Bandar Temerloh.
Jika bukan hari Pekan Sari (iaitu hari Ahad sahaja), Ayah saya bekerja sebagai tukang masak di Kedai Restoran Haji Amin yang dipanggil Restoran Antarabangsa.
Berbeza dengan Wan saya yang berniaga di pekan-pekan sehari di Kg Sanggang, dan Kg Chenor.
Pada hari Pekan Sari di Kuala Semantan inilah ayah saya dapat bertemu dengan saudara maranya dari Kg Bangau, Kg Telok Ira, Kg Berhala Gantang, Kg Bintang, Kg Tebing Tinggi dan Kg Sanggang kerana ayah saya sekali-kali tidak boleh menziarahi mereka di kampong-kampong mereka.
Seolah-olah Hari Pekan Sari ini merupakan Hari Merdeka bagi ayah saya.
Emak saya pula menjaga anak-anak termasuk dua abang saya yang lebih tua dari saya, pupu saya, Saidal Khadri, anak kepada ibu saudara saya (adik kepada emak saya) dan seorang anak angkat aki saya, kini ibu kepada seorang wakil rakyat UMNO di Pahang.
Dari segi permakanan pula, emak saya sentiasa membantu orang menyembelih kerbau berdekatan dengan Rumah Rakit kami, maka sedikit daging diberikan kepada emak saya dan masa itu perut kerbau ini dibuang begitu sahaja, tidak diproses, dan emak saya mengambil perut ini untuk cukup bekalan makanan sehari dua. Maklumlah kami orang miskin, apa juga boleh untuk dimakan, kami ambil, asalkan yang halal.
Aki saya pula adalah seorang Ustaz, berpencen sebagai guru ugama, fasih berbahasa Arab dan Inggeris, dan dia mengajar mengaji bertajwid kepada anak-anak dan pemuda-pemudi di bandar Temerloh. Aki saya belajar di pondok di Kelantan selama lebih 10 tahun.
Di bawah Pekan Sari ini terdapat Penambang iaitu jeti yang menempatkan boat-boat untuk membawa mereka yang berulang alik dari Kg Bangau dan Kg Bangau Parit. Masa itu belaum ada lagi Jambatan Temerloh dan Jambatan di Sg Semantan.
Maka mereka yang datangnya dari Seberang Temerloh akan menaiki boat di Padang Tenggala untuk ke Kuala Semantan dan mereka yang datang dari Bangau dan kampong-kampong diatasnya yang tidak menggunakan boat dari kampong masing-masing akan menaiki boat di Tanjung Keramat berseberangan dengan Kuala Semantan.
Semua pengusaha-pengusaha boat di Jeti ini adalah Orang Kelantan. Mereka sangat enterprising.
Pekan Sari pada waktu itu tidaklah sebesar yang ada sekarang ini. Sekarang ini panjangnya Pekan Sari itu adalah lebih kurang 2 kilometer. Semasa itu hanyalah ditebing kedai sederet Kuala Sementan dan membawa sedikit ke kawasan rumah pasung berdekatan Bukit Istana.
Boleh nampak dari hujung ke hujung Pekan Sari itu. Taklah seperti sekarang, letih nak berjalan menghabiskan seluruh kawasan Pekan Sari itu.
Sambil saya berjalan di Pekan Sari itu semalam, saya melayan cucu saya dengan perbualan-perbualan iaitu menjawab soalan-soalan dari Aina yang bermacam-macam dengan soalan-soalan yang saya tak sangka boleh terkeluar dari budah berumur 3 tahun, cukup petah cukup berpengetahuan.
Annuar pula saya dokong dia, kalau tidak tak sampai kemana-mana sebab di setiap gerai jualan, dia akan berhenti, pegang ini dan pegang itu, dan dia sangat minat apabila ada orang berjual ikan yang masih hidup.
Pekan Sehari Temerloh, walaupun meriah, tetapi belum ada frasarana yang sesuai. Orang Kampong masih kena membentangkan kertas atau tikar diatas tanah untuk meletakkan barang-barang dari kampong.
Macam-macam barangan dari kampong ada. Kepada kebanyakan penghuni di Temerloh, mereka pergi ke Pekan Sehari ini dan membeli ration untuk seminggu sehinggalah bertemu di Pekan Sehari di minggu depannya. Barangannya bukan sahaja murah sedikit daripada di market basah tetapi pelbagai jenis barangan kampong yang tidak dijual di market basah.
Saya beli sedikit sayur dan juga labu. Cucu saya cukup suka makan labu masak lemak. Entah apa yang terlintas di fikiran saya, saya ternampak kepada orang berjual arnab. Saya beli sepasang arnab dan cucu saya cukup berminat dan menjadi pet masing-masing arnah yang dibeli itu.
Jam 12.30 tengah hari saya kembali ke rumah. Saya mengajak Kak Hendon pergi menziarahi Siti Zainab di Hospital Temerloh, beliau terkena sambaran dari api dari tong gas yang bocor di rumahnya.
Di Hospital kami bertemu dengan Haji Abas dan isterinya yang juga mahu menziarahi Siti Zainab, seorang aktivis PKR Negeri Pahang.
Jam 2.30 petang saya dan Kak Hendon pergi ke Matau kerana PKR Ranting Matau mengadakan Kursus PACABA, cukup ramai PACABA di Matau dan mereka akan betugas semasa PRU-13 nanti.
Saudari Anita Karim (Nieta Nassa), Setiausaha PKR Cabang, Sdr Khalid Dahalan, Penolong Setiausaha, Sdri Noryati Ghani, Pemangku Ketua Wanita Cabang,Sdri Rosnita Sdri Leha dan Sdri Juriah, sudah berada di Matau semasa saya sampai disana, dan setelah hampir selesai Kursus itu Sdr Razak Hussain, Timbalan ketua Cabang, Sdr Ramli Ketua Penerangan Cabang dan Sdr Mohd Saludin Omar, Pengerusi Tetap Cabang menghadirkan diri.
Sdr Zakri selaku ketua Ranting meminta supaya diadakan sekali lagi Kursus Pacaba di Matau kerana lebih ramai lagi anak-anak muda, anggota-anggota ranting tidak dapat hadir kerana pada waktu yang sama diadakan spring test untuk kereta dan motor dan mereka berada disana.
Setelah selesai program di Matau, saya dan Kak Hendon, kembali ke Rumah mengikuti jalan Kuala Krau, kami singgah di Pejabat PKR Kuala Krau untuk solat dan kemudian meneruskan perjalanan pulang. | "Kalau anak kita dihantar ke kelas Kemas, dia akan jadi bodoh" Bob Manolan Posted: 25 Dec 2011 03:55 PM PST Didalam ucapan Bob Manolan di Kg Penderas pada 24hb Disember lalu beliau menyatakan bahawa Kemas ini selain dari nak memberi gaji kepada orang-orang UMNO yang tak ada kerja, adalah satu pembaziran kepada wang Negara.
"Anak-anak kita yang dihantar ke kelas Kemas akan menjadi lebih bodoh dari kanak-kanak di Tadika lain. Kemas ni hanya ada kelas di luar bandar sahaja; orang Bandar tak mahu kelas Kemas ni; tengoklah di Bandar, bila ada kelas Kemas dan ada pulak kelas Tadika lain yang berdekatan, ibu bapa pilih Tadika yang lain itu, walaupun berbayar.
"Guru-guru di kelas Kemas ni kurang standard, mereka tu pencacai UMNO. Anak-anak kita dah dua tahun di kelas Kemas, tak tau apa satu pun," kata Bob.
"Dikalangan kita Orang Asal, kononnya, nak memperbaiki ekonomi kita diperbuatlah TSK, kebun getah kita yang sedia ada ditebang, ditanam semula dibawah TSK, kononnya kita akan memperolehi pendapatan yang jauh lebih tinggi.
"Walhasilnya, kalau dulu dengan kebun yang kita tanam sendiri, kita boleh dapat RM500.00 sebulan, tapi di bawah TSK kita hanya dapat beberapa ringgit sahaja setahun. UMNO bukan nak naikkan taraf ekonomi kita, tetapi kroni UMNO mahu tebang kayu getah kita untuk dijualkan dan mereka dapat faedahnya.
"Isu tanah kita, disana ceroboh disini ceroboh, kenapa? Sebab tanah yang kita sangka kita punya sebab tanah itu dulunya dijagai nenek moyang kita, rupa-rupanya tidak direzabkan; habis hutan sekeliling kampong kita diceroboh dan balak dibawa keluar, kroni UMNO untung berjuta ringgit, tapi kita hanya dapat habuk.
"Kita mahu tanah kita diwartakan dan pencerobohan keatas tanah warta ini dijadikan kesalahan jenayah yang berat, dan didalam kawasan warta itu kalau ada orang kita mahukan geran tanah untuk tapak rumah dan ladang mereka, kita berikan geran, tapi yang penting tanah itu mesti diwartakan." ujar Bob Manolan.
Bob Manolan adalah Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat dan AJK Angkatan Muda Keadilan. Beliau adalah Orang Asal dari suku kaum Semelai. | Ceramah di Penderas disabpotaj oleh UMNO dan Kemas Posted: 25 Dec 2011 06:20 AM PST Sungguh hebat. Ceramah PKR di Kg Penderas disabotaj oleh UMNO dan Kemas. UMNO mengadakan 2 program iaitu di Kg Paya Luas dengan menjemput dengan bas penduduk Orang Asli kesana dan mengadakan Pesta Sukan di Kg Penderas untuk menghalang anak-anak muda menghadiri Majlis Ceramah PKR; manakala Kemas mengadakan Pertandingan Bolasepak bagi menghalang belia lelaki menghadiri Majlis Ceramah ini.
Ceramah kelompok yang diadakan oleh PKR di Kampong Penderas hanya dihadiri oleh seramai 40 orang sahaja. Kebiasaannya, ceramah di Kg Penderas mengundang kehadiran tidak kurang dari 150 orang penduduk.
UMNO dan Kemas mungkin sudah berpuas hati dengan sabotaj yang mereka lakukan, tetapi mereka tidak sedar bahawa anak-anak muda yang terlibat dengan Pesta Sukan dan Pertandingan Bolasepak itu sudah pun menghantarkan mesej kepada PKR Ranting Penderas dengan mengatakan bahawa mereka saja libatkan diri dengan aktiviti anjuran UMNO dan Kemas itu agar UMNO terasa selesa, walhal mereka tidak menyokong UMNO, dan mereka mahu PKR mengadakan Perjumpaan yang lain untuk anak-anak muda itu datang beramai-ramai.
Mereka juga berpesan supaya program PKR di Kg Penderas tidak diumumkan secara terbuka, tetapi dibisikkan dari telingan ke telinga agar program itu tidak disabotaj oleh UMNO!
Mengetahui akan hakikat ini, PKR Ranting Kg Penderas tidak gusar dengan jumlah kehadiran di Ceramah Kelompok PKR di Kg Penderas itu.
Anak-anak muda itu hanya menghantar wakil mereka seramai 6 orang ke Majlis Ceramah itu sebagai sokongan simbolik golongan mereka kepada PKR dan menandakan bahawa mereka tidak bersama dengan UMNO. | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan