Merdeka Review
“Perjalanan yang kita ambil dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka hanya mengambil masa 15 minit, dan kita sampai ke Dataran Merdeka untuk mengisytiharkan satu proklamasi untuk berjuang. Dan ramai di kalangan kita telah berjalan bukan 15 minit, tetapi 13 tahun sampai hari ini.”
Demikianlah kata-kata Naib Presiden PKR Tian Chua, mengimbau nostalgia kelahiran parti KEADILAN dalam gerakan Reformasi, yang bermula pada September 1998.
Tian Chua berkata, ramai yang tidak kenal secara peribadi Anwar Ibrahim, tidak lebih sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri Barisan Nasional yang dipecat dari kerajaan, 13 tahun lalu. “Beliau tidak tinggalkan pesan tentang rancangan bagaimana kita tawan kerusi-kerusi. Tidak ada mesej tentang bagaimana kita harus berjuang. Rakyat yang mengatur sendiri. Aktivis-aktivis dari bawah yang memberanikan diri untuk berdepan dengan penindasan. (Ramai antara mereka) …yang mengorbankan pekerjaan, bahkan keluarga dan segala-galanya untuk mencapai kejayaan.”
Kata-katanya disambut dengan tepukan gemuruh, dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pulai Springs Resort, petang tadi. Tian Chua sempat mengaitkan gerakan reformasi dengan senario politik di dunia, menyaksikan bagaimana Revolusi Jasmin yang berlaku di Timur Tengah sehingga membawa kepada Arab Spring.
“Rakyat bangkit, yang 99% tuntut hak keadilan dari 1%,” katanya dengan tegas, malah beliau yakin “sejarah telah mentakdirkan gerakan rakyat ini akhirnya akan menang.”
Mendengar dari akar umbi
Mengambil iktibar dari Barisan Nasional, Tian Chua menggesa agar pemimpin mendengar kepada rintihan rakyat, dan bukannya pakar-pakar dari syarikat perhubungan awam seperti APCO sekiranya berkuasa. “Kita nak selesaikan masalah transport, tanya pemandu teksi; kalau kita nak selesaikan isu penternakan lembu, tanyalah penternak lembu; kalau kita nak selesaikan masalah beras, tanyalah petani-petani! Kita harus sentiasa pastikan, parti ini harus sentiasa ada proses mendengar dari akar umbi!”
“Perjuangan rakyat” menjadi tema yang ditonjolkan dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR, yang berkemungkinan besar kongres terakhir untuk parti itu sebelum PRU 13. Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, (gambar kiri) mengimbas liku hidupnya 13 tahun yang lalu, khususnya selepas Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Wan Azizah mengakui dirinya terkesan dengan beberapa insiden, antaranya seorang makcik yang bertubuh bongkok datang ke ceramah dan menghulurkan wang satu ringgit untuknya. Ketua Umum Anwar Ibrahim yang berucap di akhir Kongres, turut membangkitkan beberapa kisah yang menyentuh hatinya ketika turun ke gelanggang.
Misalnya, seorang Tok Lebai yang datang dengan pakaian yang lusuh, menyerah satu sampul, yang diketahui isinya ialah RM1000 hanya selepas beliau membukanya dalam kereta. Beliau juga tersentuh apabila seorang Cina yang beredar setelah ceramahnya bermula, yang disyakinya sebagai ahli MCA. Namun, orang Cina itu kembali dengan motornya, membawa ubat batuk dan gula batuk kepadanya, kerana mendapati suaranya sudah serak.
Anwar (gambar kanan) mengakui dirinya dinasihati Wan Azizah untuk mengurangkan aktivitinya baru-baru ini, kerana kesakitan bahagian pinggangnya dan batuk. Namun, beliau mendakwa bahawa rakyat di bawah adalah “ubat”-nya, ketika beliau turun dan merenung mata-mata rakyat di akar umbi. Anwar turut mengingatkan, ratusan ribu rakyat yang terlibat dalam perjuangan ini, dan mereka tidak mendapat sebarang habuan atau manfaat.
Beliau sempat mengisahkan pengalaman Naib Presiden PKR Nurul Izzah, juga anak perempuannya, yang sedikit khuatir apabila ahli korporat besar seperti Tony Ferdenandez, adik Najib dan jutawan yang ramai turun untuk berkempen di kawasannya, iaitu Lembah Pantai.
Secara terus-terang Anwar Ibrahim menyatakan bahawa usah diharapkan korporat besar akan menyokong perjuangan PKR, kerana mereka mempunyai kepentingan yang dilindungi kerajaan Barisan Nasional. Berulang-kali beliau mengingatkan, “Siapa yang sokong kita? Pemandu teksi, pekerja di kilang, peniaga kecil…”
Khalid segan berdepan dengan Syed Husin Ali
Khalid Ibrahim mengakui bahawa dirinya memikul cabaran yang besar selepas menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, dan beliau sentiasa berhati-hati kerana sedar kesalahan dirinya akan meruntuhkan usaha-usaha dalam reformasi.
Khalid Ibrahim (gambar kiri) mengakui bahawa dirinya “hormat kepada Anwar Ibrahim”, tetapi “segan bila berdepan dengan Syed Husin Ali (bekas Timbalan Presiden PKR)”. Beliau sedar bahawa penampilan dirinya lebih sebagai ahli korporat, dengan pakaian yang agak jenama, tali leher dan sebagainya, pernah diragui sama ada berkemampuan untuk memikul tugas “Merakyatkan Ekonomi”. Sambil berseloroh beliau berkata dirinya tidak main golf, beliau mengisahkan bagaimana misi “merakyatkan ekonomi” itu disempurnakan melalui urus tadbir ekonomi yang baik, “minda korporat, rakyat di hati”, kata Khalid Ibrahim.
Isu paling besar Melayu: Ketidaksamarataan
Di samping itu, Khalid Ibrahim menegaskan bahawa ketidaksamarataan adalah isu yang paling besar untuk Melayu. “Saya mula-mula tidak mahu bercakap seperti saudara Iskandar, yang mengatakan bahawa masalah orang Melayu sudah mula takut. (Kononnya) ‘kita mesti tunjukkan kita menjuarai isu Melayu untuk tarik balik sokongan Melayu’.”
“Kita bukan Ibrahim Ali, saya tak mahu campur dalam kumpulan tersebut,” tekannya dengan yakin. Malah, Khalid berkata dirinya bersedia untuk menjelaskan kepada masyarakat Melayu, tentang apa masalahnya dengan Dasar Ekonomi Baru. Beliau berkata, negara kita kaya, tetapi kelemahan itu disebabkan urus tadbir yang tidak baik. Lebih-lebih lagi, penyebaran maklumat tersekat kerana diserang oleh media arus perdana.
“Kelemahan Johor kerana Melayu mempercayai apa yang disebarkan Utusan Malaysia,” katanya dengan nada menyindir, sambil menyuntik semangat bahawa urus tadbir baik di Selangor akan diteruskan di negeri Johor – menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat untuk menawan kubu UMNO-BN ini dalam PRU 13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan