KUALA LUMPUR, 23 Nov 2011 : Kementerian Pertahanan diminta bertindak adil kepada bekas-bekas anggota tentera dan mereka yang masih berada dalam perkhidmatan, terutama melibatkan pencen dan caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sehingga kini skim pencen yang diberikan kepada bekas-bekas anggota tentera hanyalah dikhususkan kepada mereka yang berkhidmat sehingga tidak kurang 21 tahun, manakala mereka yang berhenti ketika perkhidmatan kurang tempoh itu tidak diberikan pencen.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, langkah tersebut ternyata tidak adil, malah jelas menganiaya bekas anggota tentera terbabit, pada hal mereka juga telah melakukan pengorbanan besar kepada negara walaupun tempoh perkhidmatannya kuurang 21 tahun.
Menurut beliau, untuk memberikan keadilan, mereka yang berkhidmat kurang 21 tahun juga patut diberikan pencen oleh pihak Kementerian Pertahanan.
Katanya, selain itu, kadar pencen di kalangan bekas tentera juga tidak sama antara mereka yang menamatkan perkhidmatan bermula tahun 2001 dan sebelumnya.
"Anggota tentera yang telah berkhidmat sehingga 21 tahun dan bersara mulai tahun 2001 menerima bayaran pencen llebih tinggi berbanding yang bersara sebelum tahun 2001. Ini jelas tidak adil dan menganiaya anggota tentera yang telah bersara sebelum tahun 2001.
" Oleh itu, bayaran pencen kepada mereka perlu diselaraskan bagi membolehkan mereka yang bersara sebelum tahun 2001 turut menerima bayaran pencen sama tinggi dengan mereka yang bersara mulai tahun 2001," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Kementerian Pertahanan hari ini, beliau berkata, ketidakadilan juga turut berlaku berhubung caruman LTAT, apabila caruman tersebut hanya memberikan peluang kepada para pegawai.
Katanya, tabung tersebut ditubuhkan pada tahun 1991 yang disertakan penyelarasan gaji di kalangan anggota tentera ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan.
"Namun amat dikesali, caruman yang dibuat menerusi pembelian saham dengan potongan gaji 10 peratus itu tidak pula turut sama memberikan peluang kepada anggota tentera lain-lain pangkat.
"Demi keadilan, saya berharap agar anggota lain-lain pangkat turut diberkan peluang oleh pihak Kementerian Pertahanan bagi membolehkan mereka turut sama membuat caruman dalam tabung tersebut," ujarnya.
Beliau turut menyarankan pihak kementerian agar memberikan anugerah kepada Allahyarham Lafternan Adnan Saidi yang telah terkorban bersama 42 rakan-rakannya dalam mempertahankan negara ketika penjajahan Jepun.
Kehebatan, komitmen dan kesungguhan Allahyarham dalam mempertahankan negara, katanya, tidak dapat dinafikan lagi oleh sebarang pihak malah turut diakui pihak tentera Jepun.
"Pihak tentera Jepun sendiri mengatakan jika ada 10 orang rakyat Malaysia seperti Allahyarham Adnan Saidi belum tentu negara ini dapat dijajah," tegasnya.
Pengorbanan Allahyarham, menurutnya, tidak sepatutnya dipandang sebelah mata dengan tidak diberikan anugerah yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik, Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman dan Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika bangun mencelah sewaktu penggulungan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, turut mendesak pihak kerajaan memberikan keadilan kepada bekas anggota-anggota tentera.
Sementara itu, ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, Nasir Zakaria berharap agar pendedahannya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Kementerian Sumber Manusia kelmarin diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian terbabit.
Dalam ucapannya, beliau mendedahkan beberapa aduan masalah yang sedang mencengkam pemandu-pemandu bas MARA Liner di seluruh negara.
Cengkaman tersebut berlaku ekoran tindakan pihak pentadbiran bas MARA Liner yang kini telah menghapuskan cuti isteri bersalin selama 7 hari kepada para pemandu bas tersebut.
Selain itu, cuti kematian waris dikurangkan dari 3 hari kepada 2 hari, kesukaran mendapatkan pinjaman bank disebabkan tidak mendapat sokongan majikan, tuntutan kerja lebih masa (OT) tidak dibayar jika melebihi 1/3 daripada gaji pokok.
Di samping itu, tuntutan elaun sewa khas bagi pemandu yang diarahkan keluar atas urusan sewa khas sebanyak RM17.00 terpaksa menunggu kadang-kadang hampir 6 bulan baru dibayar, manakala bil hospital untuk rawatan dan perubatan keluarga pula tidak 'dicover' oleh majikan.
"Tentang jawatan pula, dari pengurus, penyelia sampai ke pemandu, semuanya bertaraf kontrak. Mereka terpaksa 'sign' kontrak dua tahun sekali. Sampai bila tak tahu bila mereka akan diberikan taraf jawatan tetap dan disahkan jawatan oleh majikan," jelasnya.
Belau berharap agar segala permasalahan yang dialami oleh para pemandu dan kakitangan bas tersebut diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian terbabit bagi kepentingan kebajikan mereka.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6673-pencen-caruman-ltat-jangan-aniaya-bekas-tentera-Bekas komando tuntut hak
TANGGA BATU - Bekas Komando Angkatan Tentera yang pernah berjuang ketika zaman menentang pengganas komunis era 70-an menuntut kerajaan memberikan hak sama rata bagi Elaun Hilang Upaya anggota yang mengalami kecacatan kekal sewaktu mereka berkhidmat dahulu.
Koperal (B) Yaacob Hassan, 58, mendakwa, ketika ini kerajaan hanya menyediakan Skim Bayaran Pampasan Bencana Kerja (Ex-Gratia) bagi anggota tentera yang mengalami kecederaan bermula pada 2001 hingga sekarang.
Sedangkan menurutnya, anggota tentera sezaman dengannya hanya diberikan sedikit pampasan dianggap tidak setimpal berbanding zaman kini yang diberikan pelbagai kemudahan oleh pihak kerajaan.
Yaacob yang kehilangan pergelangan tangan kanan dan mengalami kecacatan tangan kiri akibat jerangkap samar ketika menyertai operasi mempertahankan negara daripada ancaman komunis pada 1976 di Gubir, Kedah mendakwa, hanya diberikan pampasan RM2,000 atas kecederaannya itu.
Menurutnya, ketika itu dia berumur 25 tahun dan terpaksa menerima hakikat menjalani kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) seumur hidup.
"Umum sedia maklum, pada 2001 ke atas tiada lagi ancaman komunis. Bagi anggota yang menerima skim pencen bawah RM720 naik ke RM720.
"Tetapi, bagi yang sudah mencecah RM720 tidak merasa naik lagi. Begitu juga kadar elaun kecacatan kekal yang dibayar tidak sama rata antara kami. Tangan saya kudung dapat RM500 tetapi ada dalam kalangan rakan seperjuangan yang kudung kaki dapat RM150 sahaja," katanya ketika meluahkan rasa tidak puas hatinya itu di rumahnya di Kampung Tanah Merah Jaya, semalam.
Yaacob berkata, golongan sepertinya berjuang melawan komunis tetapi jasa dan pengorbanannya bagaikan tidak dihargai.
"Apa salahnya jika kerajaan samakan bayaran kami semua dan serapkan dalam pencen. Saya dah jumpa pelbagai pihak untuk menyuarakan masalah ini tetapi malangnya masih tidak berhasil walaupun saya sudah perjuangkan perkara ini sejak 1978 lagi.
"Bukan saya sahaja yang tertunggu-tunggu perkara ini, bahkan hampir 200 bekas tentera seperti saya yang menjadi OKU kerana berperang dengan komunis menunggu tindakan kerajaan," katanya.
Menurutnya, golongan tentera kini dilayan istimewa oleh kerajaan apabila disediakan dengan pelbagai kemudahan dan insurans berkelompok serta pelbagai skim berbanding zaman dahulu.
"Bagi yang cedera atau terkorban ketika berkhidmat di luar negara, mereka dibayar dengan puluhan ribu ringgit.
"Kami pula diberikan sedikit sumbangan, kadang-kadang RM200 dan kadang-kadang RM500 ketika menghimpunkan kami sewaktu menyambut Hari Pahlawan, Hari Kemerdekaan ataupun hari raya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan