Setelah perjumpaan saya dengan beberapa orang Pemuda PAS dan anggota-anggota PKR di Temerloh semalam dan sambil minum-minum teh petang semalam saya benar-benar rasa teruja untuk menuliskan "borak-borak" petang sambil bersantai.
Permulaan ceritanya mudah sahaja. Salah seorang mereka bertanya saya: "Haji bertanding dimana kali ni?" Saya jawab saya tidak bertanding kali ni. Saya dah beritahu Dato Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Negeri, dan Sdr Ahmad Nizam Hamid, Timbalan Pengerusi PKR Negeri, dan saya sudah sms kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.
"Kenapa?" tanya dia. Soal peribadi saya tentulah memainkan peranan kenapa saya tidak lagi mahu bertanding, umur sudah lanjut, dan kemampuan kewangan pun amat kurang.
Tetapi selebih dari itu, saya sudah kurang yakin dengan sistem Pilihanraya di Malaysia ini. Penipuan, manipulasi, penindasan, salah guna kuasa, rasuah, pendatang asing menjadi pengundi, semua itu mempengaruhi saya untuk tidak mahu bertanding. Tetapi itu adalah keputusan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan Parti, dan selagi parti tidak memboikot Pilihanraya, maka saya juga terikat dengan keputusan parti itu.
Akhirnya mereka menyatakan sikap kurang senang mereka dengan 2 orang pemimpin satu dari PKR dan satu lagi dari PAS, dan jika kedua-dua ini dijadikan calon oleh PKR dan PAS, mereka menyatakan bahawa mereka tidak akan keluar mengundi, bahkan mereka menyatakan bahawa jika YB Saifuddin Abdullah dikekalkan oleh BN sebagai calon, mereka akan mengundi Saifuddin.
Pandangan mereka mendapat tentangan dari saya. Saya katakan bahawa kita kena akur dengan keputusan parti, PKR dan PAS; dan jika mereka dijadikan calon parti, kita wajib kena memberikan sokongan kita samada kita setuju atau pun tidak kerana keputusan parti mengikat ahli-ahli dan kalau betul-betul tidak bersetuju maka perlulah kita mengundur diri dari parti.
Mereka menyatakan bahawa mereka tetap sayang kepada parti dan jika parti meletakkan calon yang lain, mereka tetap akan menyokong calon itu.
Diantara perkara yang mereka usik adalah perkara yang mudah-mudah sahaja. "Tengoklah Haji 2 orang tu, mereka tu tak pandang kami ni, kalau Haji ada minum bersama kami, mereka pasti akan duduk bersama; tetapi kalau kami minum dengan ahli-ahli bawahan ini, mereka pandang kami macam kucing kurang. Itu namanya sikap sombong," kata mereka.
"Lihat pulak peribadi mereka, lepas bertukar daripada kereta mewah, bertukar lagi kepada kereta mewah. Kami taulah mereka tu banyak duit, tapi mereka itu nak helo ajak kami minum teh sebulan sekali pun tak mau. Mereka berkawan dengan orang-orang yang ada kelas sahaja, kami ni kelas rendah. Dengan Haji mereka berkawanlah sebab Haji peguam."
"Orang Temerloh ni kadang-kadang tak tau Haji ni seorang Peguam, sebab cara hidup Haji sangat sederhana; di warong mana-mana pun sanggup minum dengan kami, dan Haji boleh hu hah dengan sesiapa saja, kami senang dengan Haji. Pemimpin PKR dan PAS itu tidak ada kesanggupan buat begitu.
Kami tahu pemimpin PKR tu kuat membodek, dia pandai membodek pemimpin atasan, dan pemimpin atasan pun suka dengan bodek dia, dan memberikan pujian kepada dia.
Dari segi kerja parti, hapah pun dia tak buat. Ranting-ranting yang kami buat dulu mampus semuanya kerana dia tidak mahu ambil tahu.
Dia ada 2, 3 orang kroni. Dengan kroni itulah dia sampai kemana-mana; dia tidak peduli kepada ahli-ahli lain; kalau pergi Kongres dia tak peduli samada kami ni ada tempat tidur atau pun tidak, dia tidur Hotel, kami ni terpaksalah menumpang rumah PKR Terengganu atau lain-lain Negeri yang masih ada kosong.
Kami sayang kepada PKR kerana kamilah anggota-anggota yang awal semasa penubuhan PKN dulu dan pada waktu itu kami seronok buat kerja di bawah Haji selaku Ketua Bahagian, tapi bila Haji dah pergi kedudukan parti menjadi semakin malap......"
Macam-macam mereka timbulkan, dari jam 2.30 petang hingga jam 6.00 petang sembang semalam tu. Mereka minta saya menegur pemimpin itu supaya berubah sikap, supaya menjadi humble, supaya aktif dalam parti, supaya merendah diri, supaya bergaul dengan ikhlas dengan orang ramai dan bukan memilih bulu dari kalangan orang yang ada "standard" saja.
Senang mereka cakap begitu, tapi bukan senang untuk saya menyampaikan teguran mereka itu. Saya katakan kepada mereka, "Kenapa tidak panggil pemimpin itu dan bersemuka, kan itu lebih baik, mungkin dia sendiri tidak sedar bahawa tindak-tanduknya itu tidak disenangi oleh orang-orang bawah."
Menghampiri 6.00 petang, saya pinta diri dari mereka kerana saya belum lagi solat Asar, tetapi saya keluar dari Sembang Petang itu dengan hati yang sangat sugul dan berdukacita. Saya katakan kepada diri sendiri, tegur mati emak, tak tegur mati ayah; kedua-duanya mendukacitakan saya.
Saya harap melalui tulisan ini, kepada pihak yang berkenaan itu, cuba-cubalah tukar sikap, jika kita mahu parti kita kuat.
Mereka memberitahu saya bahawa mereka sangat takut calon kita itu menang. Kalau kalah tak apa, kata mereka, tapi kalau menang, rosak PKR dipandangan umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan