Isu proses pilihanraya adil dan bersih masih berlarutan. Untuk mencari titik noktah atau "closure", kerajaan bersetuju untuk meminta Parlimen menubuhkan Jawatankuasa Terpilih untuk meneliti samada bantahan-bantahan yang dibuat oleh sesetengah pihak berasas atau tidak, di samping mencari jawapan kepada kekeliruan-kekeliruan yang ditimbulkan.
Jawatankuasa ini juga akan mencadangkan apa-apa yang dirasakan boleh membantu menambahbaik proses perjalanan pilihanraya di negara.
Saya amat alu-alukan tindakan kerajaan ini.
Pada saya ini adalah opsyen yang lebih baik dibandingkan dengan memanggil Parlimen dari bercuti untuk mengadakan sidang tergempar.
Kelebihan Jawatankuasa Terpilih dibandingkan dengan sidang tergempar adalah:
(1) Fokus hanya kepada isu yang dibawa. Tidak ada ucapan-ucapan retorik yang lebih politik daripada fakta
(2) Tempoh mesyuarat yang lebih panjang. Sidang tergempar hanya satu hari sahaja.
(3) Boleh memanggil saksi-saksi untuk beri keterangan. Sidang tergempar tidak membenarkan saksi-saksi memberi keterangan.
Soal siapa mempengerusikan Jawatankauasa ini sedang hangat diperkatakan. Pada saya jawatan Pengerusi tidak semestinya perlu dijawat oleh pembangkang. Korum dan komposisi Dewan Rakyat mesti dikekalkan dalam mana-mana Jawatankuasa Terpilih Parlimen.
Pada saya, isu kononnya Pengerusi Jawatankuasa dari pembangkang akan lebih efektif tidak timbul sama sekali. Sesiapa pun dalam jawatankuasa itu boleh bercakap, boleh mencadang dan boleh menyoal saksi-saksi sebanyak mana mereka mahu.
Lagi pun, dengan perhatian orang awam dan media yang sudah tentu akan memantau perjalanan mesyuarat Jawatankuasa tersebut dengan terperinci, tidak akan ada ruang untuk sesiapa pun memanipulasinya. Kalau ada manipulasi, rakyat akan menghukum parti tersebut.
Seperkara lagi yang menjadi pertanyaan ialah apakah Parlimen boleh menubuhkan Jawatankuasa Terpilih semasa dalam sesi cuti. Saya rasa soalan ini ada asasnya.
Pembentukan mana-mana Jawatankuasa Terpilih perlu mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen. Jadi hanya pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada 3hb Okt 2011 nanti bakal menyaksikan penubuhan Jawatankuasa ini.
Walaupun begitu, sementara menunggu 3hb Okt, BN dan PR bolehlah membuat kerja-kerja awal seperti menyenarai pendekkan calon-calon Jawatankuasa mereka dan membuat penyelidikan awal mengenai isu berkenaan supaya apabila diumumkan penubuhannya pada 3hb Okt nanti, Jawatankuasa ini boleh terus bekerja tanpa membuang masa.
Saya harap dengan adanya Jawatankuasa ini, isu yang didepani oleh SPR akan terjawab juga akhirnya.
Terima kasih.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan