Bermula dengan pengharaman Parti Komunis Malaya oleh Penjajah Inggeris, Malaya Merdeka mengekalkan pengharaman itu.
Parti Komunis Malaya adalah organisasi politik yang tertua di Malaya dengan penyusunan organisasi yang baik dan parti politik pertama yang bangun menentang penjajah, termasuk penjajah Jepun dan penjajah Inggeris.
Apabila parti itu diharamkan oleh Inggeris parti itu mengambil perjuangan bersenjata menentang Inggeris. Semua perutubuhan-pertubuhan politik kiri dan nasionalis di Malaya yang turut diharamkan oleh Inggeris akhirnya tidak mempunyai landasan perjuangan yang kuat, dan akhirnya parti-parti ini bergabung dengan Parti Komunis Malaya untuk menggempur penjajahan Inggeris.
Golongan nasionalis dan kiri ini akhirnya semuanya dilabelkan sebagai komunis dan sebagai komunis mereka dilabelkan sebagai pengganas.
Usaha untuk mendamaikan Parti Komunis Malaya dengan aliran politik tanah air gagal semasa rundingan antara Tunku Abdul Rahman dan David Marshal dengan Chin Peng di Baling kerana syarat-syarat perdamaian itu ialah supaya Parti Komunis diharamkan bergerak di Malaya. Maka perjuangan Parti Komunis melalui senjata tetap diteruskan walaupun akhirnya British menyerahkan kepada Perikatan kemerdekaan Malaya, suatu kemerdekaan yang menidakkan peranan semua pihak yang berjuang menuntutnya.
Komunisme haram dan tetap haram di Malaysia. Malaya/Malaysia mengambil sikap tertutup terhadap komunisme walaupun di Britain sendiri wujud pelbagai bentuk Parti Komunis seperti Parti Komunis England, Parti Komunis Marxis-Leninis, Parti Komunis Trotsky dan pelabagai Parti Komunis lagi.
Di Malaya, semua parti-parti kiri dianggap komunis dan keanggotaan parti-parti itu ditangkap dibawah ISA dan dikurung bertahun-tahun. Diantara yang menjadi mangsanya adalah pimpinan dan keanggotaan Parti Boroh Malaya dan Parti Rakyat Malaya. Parti Boroh Malaya akhirnya diharamkan oleh Kerajaan Perikatan, dan hampir keseluruhan pimpinan Parti Rakyat Malaya diISAkan.
Prestasi parti kiri di Malaya iaitu gabungan Parti Boroh Malaya dan Parti Rakyat Malaya adalah tinggi. Parti gabungan itu berjaya memenangi puluhan kerusi Parlimen dan berpulu-puluh lagi kerusi Dewan Undangan Negeri. Gabungan itu mencatatkan kejayaan yang besar apabila memenangi banyak kerusi diperingkat Kerajaan Tempatan. Bandaraya Pulau Pinang dan Perbandaran Melaka terletak dibawah pentadbiran Fron Sosialis (gabungan Parti Rakyat dan Parti Boroh).
Perikatan yang dalam ketakutan berhadapan dengan pengundi Bandar terpaksa mengadakan satu Suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya Athinahapan yang mengesyorkan pilihanraya peringkat Kerajaan Tempatan diharamkan dan ahli-ahli Majlis dilantik daripada kalangan pemimpin Perikatan dan pemimpin-pemimpin pembangkang dinafikan menjadi ahli majlis.
Ada juga Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Parti Rakyat yang kukuh dan kuat dilucutkan kerakyatannya.
Demikian sekali fobia Perikatan terhadap apa juga yang mereka terhidu walaupun dengan hiduan yang palsu terhadap kehadiran komunis didalam politik tanah air.
Sebagai ideologi, komunisme memperjuangkan dasar bahawa dari seseorang sumbangannya mengikut kemampuannya kepada seseorang mengikut keperluannya. Jika seseorang itu adalah seorang doktor, maka dia sumbanglah kemampuan sebagai seorang doktor tetapi dia membawa pulang mengikut keperluannya. Kalau dia mempunyai hanya sekadar seorang isteri dan dua orang anak maka sekadar itulah juga keperluannya. Seseorang boroh menyumbangkan tenaganya, tetapi kalau dia mempunyai seorang isteri dan 8 orang anak, maka dia membawa pulang mengikut keperluan itu.
Sehingga kini belum tercetus di mana-mana lagi masyarakat komunis. Masyarakat komunis adalah masyarakat tanpa kelas, satu untuk semua dan semua untuk satu, total equality. Ini adalah masyarakat Utopia yang boleh wujud hanya sebagai teori tetapi sukar wujud secara amalinya.
Berbeza dengan masyarakat sosialis. Masyarakat sosialis mendasar bahawa dari seseorang itu mengikut kemampuannya dan kepada seseorang mengikut sumbangannya; masyarakat sosialis bukanlah masyarakat tanpa kelas (classless society), ia tetap masyarakat yang mempunyai lapisan-lapisan kepentingan didalam masyarakat, ia adalah class society.
Pendapatan penduduknya mengikut sumbangan masing-masing. Hanya didalam masyarakat sosialis menolak bentuk penindasan, samada penindasan individu keatas individu atau penindasan golongan keatas golongan.
Kedua-dua fahaman sosialis atau komunis menolak sistem kapitalis, suatu sistem dimana sekumpulan kecil yang menguasai modal dan kekayaan menggunakan modal dan tenaga manusia untuk kepentingan kaum modal, suatu sistem yang tidak adil dimana pengumpulan harta kekayaan adalah ditangan segelintir manusia dan golongan majoriti rakyat membanting tulang untuk kehidupan.
Di Negara Barat komunisme telah dapat dilenturkan dengan Negara-Negara itu mewujudkan sistem Negara Berkebajikan dengan memberikan khidmat percuma kepada pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kedudukan orang-orang yang tidak bekerja serta orang-orang tua.
Satu gerakan lagi ialah penubuhan parti-parti sosial-demokratik seperti Parti Buruh di England dimana parti itu berpijak dari dasar sosialisme tetapi mengkompromikan sosialisme itu dengan dasar kapitalisme. Banyak negeri-negeri di Eropah dikuasai oleh Parti-Parti Sosialis yang diberikan berbagai nama.
Negara-negara Eropah Timur yang pada satu ketika dulu diperintah oleh Parti-Parti Komunis telah menolak komunisme dan mengambil dasar demokrasi.
Begitu juga dengan Negara-Negara Asia Tengah termasuk banyak Negara-Negara umat Islam telah menolak Parti Komunis.
Negara terbesar di dunia yang mengamalkan sistem sosialis dibawah pemerintahan Parti Komunis adalah China. Rakan-rakan komunis yang lain termasuklah Vietnam, Laos, Korea Utara dan Cuba.
Negara-Negara di Amerika Latin banyak yang sudah memilih secara demokrasi pemerintahan dibawah parti-parti Sosialis dengan kefahaman mengikut keperluan tempatan.
Di Malaysia, parti DAP adalah sebuah parti social-democratic dan menjadi anggota kepada badan Sosialis Antarabangsa seperti juga parti PAP di Singapura. Parti Sosialis Malaysia memperjuangkan fahaman sosialis, ia bukan parti komunis tetapi memperjuangkan pemerintahan yang memberikan kekuasaan kepada rakyat; pemimpin utama kepada parti itu adalah Dr. Nasir dan parti ini adalah serpihan daripada Parti Rakyat Malaya, dan merupakan parti ulung pada hari ini memperjuangkan sosialisme di Malaysia dan kini sedang mendapat sokongan khususnya dari masyarakat Bandar.
Adapun komunisme tetap haram dan diharamkan di Malaysia, hanya dilemanya Parti UMNO mengujudkan hubungan intim dengan Parti Komunis China dan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan China semakin ditingkatkan melepasi batasan ketakutan kepada fahaman komunis.
Apa pun fahaman komunis di Malaysia tetap haram!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan