Oleh SYED ALI ALHABSHEE DALAM sehari dua ini, saya lihat banyak komen yang melemparkan kritikan kepada saya berhubung teguran saya terhadap Datin Paduka Marina Mahathir.
Ini ekoran penyertaan beliau bersama perhimpunan haram Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu yang mana penamat daripada demontrasi itu tidak mendatangkan hasil baik kepada pihak pengajur dan rakyat keseluruhannya.
Secara ikhlas saya tegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengn cara Marina kerana tindakan tersebut dikhuatiri akan memberi impak kurang baik kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Memang Marina bebas berbuat demikian dan sememangnya dalam sistem demokrasi sesiapa sahaja boleh berhimpun dan bersuara untuk melepaskan ketidakpuashatian terhadap beberapa dasar kerajaan.
Saya tidak kata Marina tidak boleh berbuat demikan tetapi apa yang tegaskan bahawa perbuatan tersebut kurang manis kerana dia adalah anak kepada pemimpin UMNO yang terbilang.
Malah saya juga menjelaskan, pada hemat saya bahawa Dr. Mahathir mungkin tidak bersetuju dengan perbuatan Marina. Itu kemungkinan yang saya baca daripada sudut seorang pemimpin UMNO.
Ada yang mengkritik saya dengan mendakwa bahawa apa yang UMNO lakukan semuanya baik manakala dilakukan pihak pembangkang semuanya tidak baik.
Hujah tersebut ternyata amat tersasar, sebaliknya saya juga tetap bersetuju dengan beberapa pemikiran pembangkang seperti daripada PAS misalnya, jika ianya baik untuk rakyat dan umat Islam.
Tetapi dalam gerakan gila Bersih 2.0 di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini, saya tetap mempertahankan kewibawaan kerajaan yang saya sifatkan sebagai perbuatan pengkhianat untuk menghancurkan keamanan negara ini.
Masing-masing ada hujah, tetapi selagi saya orang UMNO, saya tetap mengatakan Bersih adalah pertubuhan haram yang cuba 'test-market' pemimpin Melayu.
Saya tetap menuduh Bersih ada agenda lain bagi merealisasikan impian pembangkang untuk menguasai negara ini secara kotor.
Kalau setakat untuk menyerahkan memorandum dan menegur perjalanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada saya bukan dengan mengupah orang ramai supaya berhimpun secara haram dan memaki-hamun kerajaan.
Tetap mempertahankan kepimpinan Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana MenteriOleh sebab itu, saya sudah beberapa kali menegaskan bahawa saya tetap akan mempertahankan UMNO dan barisan pemimpinnya yang sedang bertungkus-lumus untuk membina negara yang hebat.
Dalam keadaan sekarang, saya tetap akan mempertahankan dasar pemerintahan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.
Samalah taat setia saya kepada pemimpin UMNO terdahulu, seperti Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebagai pemimpin dan pejuang UMNO, waima sesiapa sahaja ketuanya, adalah mejadi tanggungjawab untuk kita mentaati pemerintahannya selagi pada hati saya ianya benar dan tidak menyeleweng.
Ingin saya jelaskan, istilah 'pak turut' tidak pernah melekat dalam darah perjuangan saya selaku pemimpin UMNO, sebaliknya saya gunakan akal dan pertimbangan yang saksama dengan mengambil kira kepentingan parti dan rakyat.
Oleh sebab itu, sehingga kini saya tidak pernah mengejar kedudukan atau melobi jawatan menggunakan pintu belakang untuk dihormati sebagai pemimpin UMNO.
Prinsip saya mudah ; sebagai ahli parti, kita taat kepada ketua dan bekerja dengan ikhlas kerana yakin dengan perjuangan dan apa yang kita lakukan semuanya kerana Allah S.W.T.
Biarpun sebanyak mana tuduhan tidak berasas dilontarkan
kepada saya, banyak kritikan pedas dan banyak tohmohan jahat dihemburkan kepada saya, hati saya tidak pernah gundah dan saya terima dengan berlapang dada.
Ujian Allah S.W.T tetap ada yang ianya pasti akan datang menguji hamba-Nya.
Oleh sebab itu, saya selalu bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana diberikan peluang, kekuatan dan berada di jalan yang benar untuk menabur khidmat bakti kepada sesama Islam, khususnya.
Saya selalu bermuhasabah diri bahawa semuanya adalah ketentuan Illahi dan yang baik tetap datangnya daripada Allah S.W.T. dan segala yang jahat itu datangnya daripada saya.
Justeru itu. perjuangan saya adalah untuk parti, untuk kelompok masyarakat yang saya wakili dan untuk menjana kesinambungan perjuangan orang Melayu dan umat Islam amnya.
Mana yang pada hemat saya tidak betul dan menyusahkan rakyat, saya akan tegur secara terbuka menerusi laman blog ini.
Malah saya juga besedia untuk ditegur. Oleh sebab itu saya sentiasa melapangkan pintu pejabat saya kepada sesiapa sahaja yang berhajat untuk menemui saya tanpa sebarang temu janji.
Selagi dikurniakan kudrat oleh Allah S.W.T, selagi itulah saya akan berkhidmat untuk rakyat tanpa harapkan puji-pujianSaya tak kisah orang nak kata begitu begini yang penting kepada saya selagi dikurniakan kudrat oleh Allah S.W.T, saya akan berkhidmat untuk mereka dengan iklhlas tanpa mengharapkan puji-pujian.
Dalam laman blog ini, sejak dimulakan pada tahun 2008, banyak sudah saya menegur dan mengkritik beberapa dasar kerajaan atau menteri terbabit berhubung pelbagai isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Daripada isu perkauman, agama, kaum sehinggalah soal budaya, saya telah memberikan pelbagai pandangan dan kritikan ikhlas demi untuk kepetingan semua pihak.
Bagaimanapun, ada seseuatu perkara tidak semestinya saya boleh menegurnya secara terbuka kerana saya adalah pemimpin UMNO dan teguran perlu dibuat mengikut saluran tertentu.
Itu sudah menjadi peraturan dan tatatertib ahli parti yang mesti kita patuhi dan akur.
Sebagaimana yang saya tegaskan tadi bahawa saya akan
tetap mempertahankan kewibawaan UMNO sebagai sebuah parti yang mendominasikan pemerintahan kerajaan BN hari ini.
Oleh itu, kita sewajarnya sentiasa mengawal-selia emosi kita supaya tidak selalu melulu dalam perbuatan, dan kita selalunya tidak selalu cabul dalam percakapan.
Bercakaplah menggunakan sopan santum, tegurlah secara berhemah lagi tertib supaya tidak terbawa-bawa dengan bisikan syaitan dan iblis.
Ingatlah, sebagai manusia kita diberikan kebebasan untuk bercakap dan jika ada yang berhujah bahawa demokrasi itu semuanya boleh, kita kena akuinya.
Bagaimanapun sebagai manusia apatah lagi yang dilahirkan sebagai umat Islam, kita kena ingat satu perkara, iaitu apa sahaja yang kita lakukan di atas muka bumi ini, kelak kita akan dihisab di padang masyar.
Ketika itu kita tidak boleh lagi untuk berbohong dan berdusta !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan