Oleh DATUK HAJI MD. NASIR GHANI(Naib Ketua UMNO Bahagian Cheras)
PERSEPSI masyarakat Melayu yang selama ini menganggap UMNO adalah sebuah parti sekular atau kebangsaan yang meminggirkan peranan ulama sewajarnya perlu diubah.
Persepsi sedemikian sebenarnya telah ditanam oleh parti PAS, sebuah parti yang kononnya berjuang menegakkan syiar Islam di negara ini atau
'hizbullah'.
Manakala mana-mana parti yang tidak sehaluan dengan mereka terutama UMNO akan disifatkan sebagai taghut dan menyokong PAS pula adalah jaminan untuk ke syurga.
Begitulah penerapan awal ideologi sempit PAS untuk menimbulkan kekeliruan kepada penganut Islam yang akhirnya sehingga sekarang, UMNO masih dilebelkan sebagai sebuah parti assabiyah yang turut meminggirkan peranan golongan ulama.
Bagaiamanapun, parti tersebut tetap memperalatkan sistem demokrasi dan pilihan raya sebagai saluran untuk menerapkan ideologi perjuangan mereka.
Dalam
'Amanat Haji Hadi', dinyatakan walaupun demokrasi adalah ciptaan Barat bukan Islam, di mana di dalamnya terdapat pelbagai kelemahan dan penyelewengan ketara, namun PAS tetap akan menyertai pilihanraya……".
Janji PAS masuk syurga
Ini jelas menunjukkan bahawa PAS begitu licik meyakinkan golongan ulama bahawa mereka berjuang menerusi demokrasi untuk menegakkan sebuah negara Islam.
Retorik sedemikian perlu diruntuhkan segera kerana jelas dan ketara sekali bahawa parti itu memperlalatkan agama untuk kepentingan kuasa politik.
Dalam konteks ini, saya berpendapat UMNO, sebagai sebuah parti terbesar umat Islam perlu memperkasakan semula halatuju golongan ulama dalam parti.
Sebenarnya UMNO tidak pernah pupus golongan atau cendikawan Islam, UMNO sentiasa melahirkian pemimpin muda yang berpendidikan agama.
Sebelum ini pun saya pernah menulis bahawa UMNO tidak sesekali meminggirkan golongan ulama, sebaliknya peranan mereka sentiasa dihargai.
Kerana kitu, kita harus berani untuk menyatakan bahawa UMNO tetap sebuah parti Islam yang memperjuangkan kepentingan umatnya secara jelas dan tegas.
Intipati perlembagaan UMNO yang bermatlamat menegak dan mengembangkan syiar Islam sewajarnya diterjemahkan kepada umum supaya mereka lebih memahaminya.
UMNO perlu lebih berani untuk kedepan membicarakan soal-soal agama dan keislaman secara lebih terbuka.
Hari ini, UMNO dilihat seperti kurang berminat untuk membicarakan soal hukum-hakam agama sehingga menimbulkan pandangan serong bahawa UMNO meminggirkannya.
Kita tidak perlu lagi bercakap soal pembangunan bersendikan Islam yang sedang rancak berlaku di negara kita hari ini.
UMNO perlu segera relevankan peranan ulama dalam parti
Memang, semua orang tahu bahawa pelbagai dasar Islam yang diperkenalkan sama ada di sektor swasta, kerajaan mahupun institusi perbankan adalah usaha gigih UMNO yang turut diperkakui oleh dunia Islam dan antarabangsa.
Kita juga tidak perlu lagi bercakap mengenai kejayaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang diasaskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Memang ia satu kejayaan hebat untuk golongan saudara baru.
Sebaliknya kaedah atau perbuatan yang bercirikan Islam dalam ruang kehidupan kita seharian yang perlu difikir dan dibangunkan secara menyeluruh.
Kita kena jujur mengakui bahawa perjalanan hidup kita hari ini dilihat semakin jauh menyimpang daripada asas agama.
Pemimpin kita lebih banyak bercakap soal pembangunan material daripada pembangunan rohaniah.
Di dalam UMNO, kita lebih fokus membicarakan soal kuasa dan kedudukan daripada mencari alternatif untuk menyuburkan Islam yang semakiin tersepit di baham arus pembangunan.
Pemimpin UMNO sewajarnya perlu menjadi
'role-model' kepada pembangunan umat Islam dalam arus pemodenan ini dengan mempamirkan perbuatan dan tingkah laku yang mulia.
Sebagai contohnya, pemimpin UMNO harus berupaya menjadi iman kepada sekelompok masyarakat yang diwakilinya, sepertimana dipraktikan oleh pemimpin PAS sekarang ini.
Ini bukan bermakna kita meniru perbuatan atau gaya pemimpin PAS, tetapi ia adalah satu kewajipan yang perlu dilaksanakan berdasarkan tuntutan syariat.
Sehubungan itu, apabila ada cadangan supaya UMNO membuka sayap ulama, pada saya ianya adalah satu tindakan berani dan perlu disegerakan.
Peranan golongan ulama perlu direlevankan secepat mungkin bagi membuktikan kepada umum bahawa UMNO tidak pernah sesekali meminggirkan golongan berkenaan.]
Kaedah atau cara mana untuk memikat penghijrahan golongan ulama ke dalam UMNO perlu dirintis secepat mungkin.
Saya percaya sayap ulama dalam UMNO mampu bergandingan dengan Sektariat Ulama Muda UMNO (ILMU) yang mengumpul lebih 40 orang lulusan agama daripada Madinah, Jordan, Mesir dan beberapa universiti terkemuka tempatan.
Saya yakin gandingan mantap golongan ulama dan ILMU itu akan melahirkan satu mekanisma baru kepada kekuatan parti dalam menghadapi cabaran yang lebih besar terutama membabitkan pembangunan syiar Islam.
Dalam pada itu, saya berpendapat ILMU dan ulama UMNO juga sewajarnya turut bergandingan dengan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) sama ada diperingkat sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Langkah itu perlu dalam usaha UMNO melahirkan modal insan yang berkualiti dan memiliki ketakwaan untuk membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang dengan perpegang teguh kepada syariat Islam.
Perlu diingatkan bahawa UMNO masa kini bukan sahaja sedang bertarung dengan perebutan kuasa politik, malah bertanggung jawab untuk membentuk manusia progresif yang berpegang kepada agama.
Ini soal tuntutan dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan oleh UMNO kerana pemimpin UMNO adalah penganut agama Islam yang maha suci.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan