Tun,
Lihatlah kemusnahan yang dilakukan oleh manusia bernama Najib Tun Razak yang mengekalkan dasar Mahathir Mohamed.
Dasar yang Tun bawa untuk membasmi kemiskinan petani-petani luar bandar dengan menempatkan peneroka-peneroka kedalam kawasan tanah penempatan beramai-ramai telah berjaya dilaksanakan.
Tetapi pada tahun 1990, Dr Mahathir telah menyeleweng dari dasar yang diturunkan oleh Tun. Mahathir tidak lagi mahu menjadikan dasar membasmi kemiskinan dikalangan petani-petani luar bandar, dan sebaliknya mahu menggunakan Felda untuk tujuan menempatkan badan itu sebagai badan konglomerat pertanian yang terbesar.
Mahathir mahu Felda dijadikan badan korporat, terlibat dengan perniagaan dalam dan luar negara, beliau tidak mahu lagi petani-petani ditempatkan dirancangan-rancangan Felda, tetapi sebaliknya tanah-tanah yang diserahkan oleh kerajaan-kerajaan Negeri kepada Felda dijadikan ladang-ladang yang dikelola-urus oleh Felda sendiri untuk mendatangkan untung dan laba kepada Felda sebuah badan yang bertukar wajah menjadi badan konglomerat pertanian.
Dibawah pentadbiran Mahathir, golongan profesional seperti Taib Andak dan Raja Alias tidak lagi dilantik menjadi Pengerusi Felda dan ini diteruskan oleh anak Tun, Najib, yang terus melantik ahli-ahli politik menjadi pengerusi Felda, dan lebih teruk lagi dari itu, Najib telah melantik seorang Pengerusi yang telah didapati terlibat dengan rasuah yang dikenakan 6 tahun penggantungan oleh UMNO. Sekiranya kes ini dilapor kepada SPRM dan SPRM bertindak sebagai Badan Bebas sudah tentu orang ini dipenjarakan sebagai seorang yang dijatuhkan hukuman rasuah.
Semasa golongan profesional ini mentadbirkan Felda, bukan sahaja wang rezab Felda bertambah dari masa ke semasa dan mungkin pada hari ini sudah pun sampai ke tahap melebihi RM10 billion, tetapi dibawah Najib selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada Felda, wang rezab Felda menjunam jatuh dari RM4.3 billion kepada RM1.3 billion.
Sudah tentu berlaku penyelewengan yang melampau yang telah berlaku didalam pengurusan kewangan Felda ini, dan baru-baru ini Felda telah pula meminjam daripada KWSP sebanyak RM6 billion.
Pinjaman itu untuk apa? Sekiranya pengurusan kewangan didalam pentadbiran Felda tidak diperbetulkan, maka pinjaman Felda ini akan terbeban kepada peneroka-peneroka untuk menjelaskannya.
Tun,
Peneroka-peneroka sudah sangat lama menderita dan berkorban demi masa depan mereka. Dan kini sudah mulai ternampak kesenangan itu.
Tetapi Felda telah memanipulasikan sekali lagi kedudukan peneroka-peneroka Felda.
Peneroka-peneroka yang sudah menjelaskan Bayaran Kembali kepada Felda dan menjelaskan bayaran cac (btd) melalui Felda masih lagi menunggu-nunggu geran tanah mereka yang sengaja dilewat-lewatkan oleh Felda. Walaupun dari segi GSA, Kerajaan Negeri berhak mengeluarkan geran tanah kepada peneroka-peneroka tetapi dari segi prosedurnya pihak Feldalah wajib membuat syor kepada Kerajaan Negeri supaya geran dikeluarkan kepada peneroka-peneroka.
Ada disesetengah rancangan Felda kelewatan ini sudah pun tertangguh melebihi 14 tahun, dan kelewatan tertangguh hingga 6 atau 7 tahun adalah perkara yang normal.
Apabila notis-notis dihantar kepada Felda, jawapan standard diberikan oleh Felda bahawa tindakan sedang atau sudah diambil, namun, geran-geran tanah peneroka berkenaan tetap juga tidak diserahkan kepada peneroka-peneroka.
Tun,
Tentu Tun masih ingat bahawa setiap peneroka Felda dikenakan bayaran RM4.00 setiap ekar setiap bulan selama 15 tahun bertujuan untuk dimasukkan kedalam Tabung Tanam Semula, sebagai kemudahan kepada peneroka-peneroka untuk menguruskan tanam semula apabila sampai waktunya.
Kepada mereka yang belum menerima geran tanah, Felda telah memanipulasikan pengurusan ini dengan mengadakan Perjanjian Tanam Semula dimana syarat-syarat dan terma-termanya sangatlah berat sebelah sehingga menyebabkan peneroka-peneroka menanggung hutang yang begitu besar diantara RM70,000.00 hingga RM120,000.00.
Ada juga peneroka-peneroka yang terpaksa menanggung hutang yang lebih besar kerana kebun-kebun mereka yang ditanam melalui Felda telah gagal ditanam semula walaupun pokok-pokok sawit atau getah mereka telah ditebang oleh Felda; mereka ini diberikan pinjaman elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 sebulan tetapi kebun-kebun mereka tidak mengeluarkan sebarang hasil/pendapatan dan justeru itu mereka akan menanggung hutang dan tidak ada sumber menjelaskan hutang itu.
Bagi mereka yang tanam sendiri pula, Felda telah membuat manipulasi kewangan dengan gagal menjelaskan bayaran kembali dari Tabung Tanam Semula itu dan sesetengah dari mereka hanya dibayar separuh sahaja dari kewangan Tabung yang dicarumkan oleh peneroka-peneroka itu dan selebihnya dikehendaki mengambil input-input pertanian yang tidak dikehendaki oleh peneroka-peneroka kerana input pertanian yang dibekalkan oleh Felda adalah input yang mutu rendah.
Tun,
Berpuluh-puluh tahun Felda telah selewengkan pendapatan peneroka-peneroka kerana membayar peratusan perahan yang kecil berbanding peratusan perahan sebenar.
Felda memberikan peratusan perahan hanya diantara 17 hingga 18% sahaja sedangkan peratusan perahan yang disahkan oleh Makmal boleh meningkat hingga melebihi 30%. Ini bererti setiap peneroka telah ditipu sebanyak lebih dari RM1000.00 setiap bulan.
Dizaman Tun dulu tak pernah kita dengar peneroka-peneroka menyaman Felda. Tetapi dizaman Dr Mahathir dan dizaman Najib ini, peneroka-peneroka akan hanya mendapat keadilan dengan menyaman Felda.
Di Felda Kemahang 3 di Kelantan, Mahkamah Persekutuan telah menganugerahkan lebih RM11 juta kepada peneroka-peneroka disana kerana peratusan perahan yang jauh lebih kecil dari yang sepatutnya.
Di Felda Maokil, Johor seramai 650 peneroka-peneroka menyaman Felda, di Serting 1 dan 2 seramai 766 orang peneroka menyaman Felda, dan di kawasan Jengka diluar DUN Jengka, seramai 700 peneroka sudah pun melantik peguam untuk menyaman Felda. Seramai 1000 orang lagi di gugusan Bera dan 1000 lagi di DUN Jengka, 300 orang di gugusan Keratong sedang bersedia menyaman Felda.
Menyaman Felda bukanlah satu perkara yang menyeronokkan tetap satu perkara yang perlu dibuat kerana Felda tidak mahu berunding dengan peneroka-peneroka, dan Felda hanya tahu "bahasa" saman sahaja.
Disamping isu perahan ini, timbul juga isu buah-buah "muda", "mengkal" yang direject oleh Kilang-Kilang Felda. Setelah dibuat kiraan, tidak kurang dari RM20,000.00 kerugian menimpa peneroka-peneroka Felda kerana buah yang direject itu diproses bersama dengan buah yang normal yang dihantar kekilang, tetapi hasilnya tidak diberikan kepada peneroka-peneroka bahkan peneroka-peneroka itu pula dikenakan denda.
Pemeriksaan di Makmal mengesahkan bahawa buah-buah reject itu boleh mendapat peratusan perahan antara 19 hingga 21 peratus.
Tun,
Kadar Getah Kering yang disahkan oleh Makmal boleh mencapai hingga 62%, tetapi kilang-kilang getah Felda hanya membayar lebihkurang 45% sahaja.
Kajian sedang dibuat untuk mengumpulkan maklumat-maklumat untuk memfailkan saman di Mahkamah mengenai KGK ini.
Di seluruh rancangan-rancangan Felda di seluruh Negara kini peneroka-peneroka sedang mengambil tindakan untuk menyaman Felda samada berhubung KPG, KGK, kegagalan tanam semula oleh Felda, Tabung Tanam Semula, bayaran insentif tanam semula oleh MPOB, dan geran tanah.
Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku jika Felda yang Tun asaskan itu berperanan untuk melaksanakan tujuan asalnya iaitu untuk meninggikan taraf ekonomi peneroka-peneroka Felda.
Tun,
Ucapan Tun di Parlimen pada 27hb April 1960 adalah untuk semua tanah-tanah Kerajaan Negeri yang diserahkan kepada Felda jelas melarang Felda dari menyerahkan tanah-tanah itu kepada syarikat atau anak-anak syarikat. Dan setiap rancangan itu ditempatkan peneroka-peneroka.
Tetapi Dr Mahathir dan Najib telah menyelewengkan dasar itu dengan tanah-tanah itu diserahkan kepada Felda dan Felda menyerahkan kepada Felda Plantation, dan setelah 1990 Felda tidak lagi mengambil sebarang peneroka baru.
800,000 ekar tanah kerajaan Negeri itu dijadikan Felda Plantation, dan sekarang ini jumlah yang sangat besar dari kalangan generasi baru Felda yang tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal dengan ibu-bapa masing-masing dengan tidak mempuyai masa depan, mereka kini menganggur dan separa-menganggur dengan pendapatan kecil.
Tun,
Jika 800,000 ekar itu diambil dan diagih-agihkan kepada generasi baru Felda, sebahagian daripada masalah generasi baru didalam rancangan Felda itu dapat diatasi, dan inilah keputusan yang diambil oleh Pakatan Rakyat.
Dari segi penempatan peneroka-peneroka baru Felda ini, dasar yang Tun perjuangkan adalah selari dengan dasar yang diambil oleh Pakatan Rakyat, dan saya amat yakin Tun sangat bersetuju dengan dasar Pakatan Rakyat ini.
Akhirnya Tun, saya masih mengingati Tun semasa saya bertugas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dimana disetiap hari Ahad saya bertugas di kediaman Tun di Sri Taman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan