''CUKUP-CUKUPLAH Anwar dengan sikap pura-pura kamu. Cukup-cukuplah memfitnah orang lain demi menutup kesalahan kamu." Kata-kata ini dilafazkan oleh Ezam Mohd. Noor yang suatu ketika dulu bukan sahaja menjadi sahabat Anwar, malahan sanggup masuk lokap dan penjara semata-mata demi mempertahankan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Sememangnya Ezam adalah antara insan yang paling layak untuk menasihatkan Anwar untuk menghentikan sandiwaranya yang menjadikan arena politik negara sebagai medan bagi mempertahankan dirinya daripada segala tuduhan berkaitan dengan masalah moral yang dihadapinya.
Walaupun pelbagai bukti semakin jelas tidak menyebelahinya namun Anwar tidak mahu menunjukkan tanda-tanda hendak mengalah. Sebaliknya demi cita-cita politiknya untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar mempertaruhkan segala-galanya demi mempertahankan dirinya.
Anwar tidak mahu mengambil jalan mudah iaitu meletakkan jawatan dan berundur sekali gus untuk mententeramkan kembali arena politik negara. Sokongan membuta tuli yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin DAP dan Pas pula memberikan semangat kepada Anwar untuk terus bersandiwara.
Bagi Anwar sejak tahun 1998, beliau sentiasa menganggap dirinya suci dan bersih, jauh daripada dosa-dosa yang dikaitkan dengan dirinya. Kepada Anwar, apa juga tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah konspirasi, fitnah dan mainan politik yang amat menjijikkan.
Walaupun pada tahun 1998 hingga 2004, Anwar berjaya mempengaruhi ramai orang untuk mempercayai hujah tersebut tetapi sekarang suasana sudah berbeza.
Satu demi satu tuduhan yang dihadapinya memungkinkan ramai yang berfikir semula apakah ia benar-benar satu konspirasi atau begitulah wajah sebenar Anwar yang dianggap isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai anugerah tuhan.
Sebab itulah ceramah-ceramah Anwar semakin hari semakin kurang sambutannya walaupun Anwar berucap dengan penuh nada amarah. Yang mengangguk dan bertepuk tangan di hadapannya adalah terdiri daripada insan-insan yang seolah-olah sudah ditutup pintu hati mereka untuk melihat kebenaran.
Apa yang menjadi persoalannya ia kejujuran Anwar yang cuba mengangkat dirinya sebagai pembela rakyat sejati dengan sokongan rakan-rakan sekutunya seperti DAP dan Pas. Jika Anwar benar-benar mementingkan kehidupan rakyat, beliau tidak akan mengheret mereka untuk turut sama-sama terjebak dalam dakwaan moral yang dihadapinya.
Pemimpin dan ahli DAP serta Pas pula terus menyokong Anwar kerana mereka begitu percaya bahawa hanya Anwar sahaja yang boleh menyatukan mereka. Bagi mereka, kalau Anwar tidak ada maka ranaplah pakatan pembangkang.
Jelaslah matlamat mereka hanyalah untuk merebut kuasa dan bukan benar-benar bertujuan bagi membela nasib rakyat.
Imej Malaysia pula tercalar hanya kerana mainan politik yang tidak berkesudahan oleh Anwar. Segala-galanya hanya kerana Anwar ingin memperjuangkan nasib dirinya yang cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri tersekat di tengah jalan.
Keadaan lebih malang berlaku kepada orang Melayu yang terus berpecah belah kerana pandangan yang berbeza terhadap apa yang berlaku ke atas Anwar. Kesudahannya kita menjadi lemah dan ini memberi kesempatan kepada pihak lain untuk memperkukuhkan kedudukannya.
Walaupun ada cadangan bahawa polemik yang berlaku termasuklah rakaman video seks yang dikatakan mirip Anwar diselesaikan melalui cara Islam namun semuanya dipandang serong dan dipolitikkan. Anwar menolak mentah-mentah manakala pihak yang menyokongnya mengeluarkan pelbagai hujah bagi mempertahankan keengganan Anwar untuk bersumpah.
Malahan mereka memberi hujah bahawa dalam Islam kita dilarang membuka aib orang. ''Hakikatnya keaiban itu datang dari siapa kalau bukan Anwar sendiri? Kalau dia tidak lakukan perkara terkutuk dan tiada bukti sebegini, adakah media akan paparkan semua ini,'' kata Ezam.
Pokok pangkalnya jika Anwar seorang pemimpin yang baik sudah tentu beliau tidak akan membiarkan arena politik negara menjadi tidak tenteram dan kucar-kacir hanya kerana isu beliau seorang, tetapi Anwar tidak bersikap demikian.
Justeru wajarkah pemimpin seumpama ini terus dibela atau disokong sedangkan beliau sendiri menolak banyak laluan bagi membolehkan namanya dibersihkan.
Atas sebab itulah, kepada mereka yang masih menyokong Anwar, masanya sudah tiba untuk mereka mencari kebenaran.
Kalau pun mereka tidak mahu menerima hujah manusia maka sebagai orang Islam kembalilah ke jalan Allah untuk memohon petunjuk dan hidayah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan bumi.
Tiada gunanya dari hari ke hari, kita seolah-olah melakukan dosa kering apabila cuba menafikan kebenaran semata-mata kerana ketaksuban atau berikutan fahaman politik berbeza.
Arena politik negara tidak seharusnya dibiarkan terus berada dalam keadaan tidak stabil hanya semata-mata kerana insan bernama Anwar Ibrahim.
Kalau benarlah Anwar yakin bahawa beliau telah difitnah dan dianiaya berikutan kononnya BN dan UMNO terlalu takut dengan kehebatan beliau berpolitik, maka berserahlah kepada Allah SWT.
Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama orang yang benar dan mereka yang dianiaya tidak ada hijab antara dia dan Allah SWT.
Oleh itu Anwar perlu mengambil kesempatan untuk membuktikan dirinya teraniaya dan bukannya berdolak-dalik sehinggakan wartawan pun mahu dimaki hamun kerana bertanya soalan.
Anwar tidak perlu emosional atau tertekan jika beliau berada di pihak yang benar tetapi daripada segala tindak-tanduk dan bukti setakat ini, seolah-olah hanya satu sahaja yang perlu dilakukan oleh Anwar seperti mana nasihat Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, ''Bertaubatlah dan ambil sikap memperbaiki diri."
Oleh Zulkiflee Bakar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan