Saya memasukki Felda Jengka 22 pada 17hb Februari 2011 untuk bertemu dengan Anggota-Anggota Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat Ranting Felda Jengka 22 dengan harapan untuk membuka Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat bagi membantu PAS untuk menghadapi PRK DUN Kerdau.
Setelah berbincang dengan Sdr Rosli Yasin dan anggota-anggota Jawatankuasa PKR Ranting Felda Jengka 22, kami bersetuju untuk merasmikan Bilik Gerakan itu pada 19hb Februari 2011, dan melantik Jawatankuasa yang akan bertugas di Bilik Gerakan itu serta Jawatankuasa Operasi bagi menjalankan kempen di Felda Jengka 22.
Pada 19hb Februari 2011, suatu Majlis telah diadakan di Felda Jengka 22, dan pada malam itu Dato Fauzi Abdul Rahman, selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang telah merasmikan Bilik Gerakan itu terletak di Kedai Sdr Rosli No. 20 Felda Jengka 22.
Keesukan harinya, petugas-petugas dari Kuala Krau bersama-sama dengan petugas-petugas dari Felda Jengka 22 telah mendirikan khemah dihadapan kedai Sdr Rosli di tanah lapang milik tuan rumah dihadapannya, dan Tuan Rumah telah mengizinkan rumahnya serta halaman rumahnya itu digunakan untuk tujuan sambungan Bilik Gerakan itu.
Peyokong-penyokong parti di Felda Jengka 22 menunjukkan semangat yang sangat tinggi dan mereka sanggup meninggalkan kerja di ladang untuk memberikan bantuan kepada jentera PKR di Felda Jengka 22.
Malangnya, saya tidak mempunyai apa-apa dana untuk makan-minum mereka yang hadir dari pagi hingga ke malam.
Melalui bantuan dari Dato Fauzi, dapatlah saya atasi masalah kewangan untuk petugas-petugas. Mereka tidak mengharapkan apa-apa bayaran, tetapi makan-minum mereka perlulah ditanggung.
Bersama-sama denga Sdr Nizam Hamid, Timbalan Pengerusi PKR Negeri Pahang dengan mandat dari Dato Fauzi, kami telah menghadiri mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di Markas Besar PAS di Kerdau, dan saya dilantik menjadi salah seorang daripada Pengarah Pilihanraya PRK DUN Kerdau bertanggungjawab keatas petugas-petugas dari Parti Keadilan Rakyat.
Didalam mesyuarat itu saya meminta supaya saya diberikan tugas untuk mempelopori gerakan untuk kawasan Felda iaitu di Felda Jengka 25, 23 dan 22. Tetapi Felda Jengka 23 telah diserahkan kepada Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Felda Jengka 25 pula diserahkan kepada pihak PAS. Oleh itu saya meminta agar Jengka 22 itu diserahkan kepada PKR, dan dipersetujukan.
Maka mulai 22hb Februari kami pun mendirikan khemah untuk tapak Ceramah di Felda Jengka 22, dan disamping itu mulai menerima panggilan dari rakan-rakan di luar Kuala Krau dan di luar Negeri Pahang yang meminta kami menyediakan rumah-rumah kerana mereka mahu turun membantu.
Saya merasa cukup terdesak kerana Bilik Gerakan Jengka 22 yang kami kendalikan itu tidak diperuntukan dengan apa-apa bantuan kewangan dan walaupun kami mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan dari luar, kami tidak mempunyai kemampuan.
Alhamdulillah, pada malam pengumuman calon PAS untuk PRK itu oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS, YB Azmin Ali membawakan peruntukan daripada Jawatankuasa Pilihanraya PKR Pusat. Peruntukan itu walaupun tidak besar sudah memadai dan boleh mencukupi sekurang-kurangnya sehingga 4 atau 5 hari; namun, Sdr Azmin berjanji untuk menambahkan peruntukan itu selepas Tarikh Penamaan Calon.
Daripada peruntukan permulaan itu, dapatlah diatasi masalah makan-minum dan kami telah menyewakan 5 buah rumah untuk penempatan di Felda Jengka 22.
Mulai penamaan calon pada 26hb Februari 2011, kami telah menyusun langkah dan menjalankan tugas-tugas harian bagi memperolehi sokongan di Felda Jengka 22.
Gerak kerja kami mungkin sedikit berbeza dengan gerak kerja yang dilakukan oleh petugas-petugas lain. Kami memulakan gerakan dengan "breakfast" bersama-sama mulai jam 8.00 pagi, dan selepas itu kami pecahkan kumpulan kami kepada 3 kumpulan untuk bertanggungjawab kepada 3 zon di Felda Jengka 22. Zon 1 adalah untuk blok 1, 2, 3, dan 4. Zon 2 adalah untuk blok 5, 6, 7, dan 8; manakala zon 3 adalah untuk blok 9,. 10, 11, 12, dan 13.
Tugas pertama selepas sarapan pagi adalah untuk melakukan kerja-kerja "touch-and-go" mengedarkan risalah khusus untuk peneroka-peneroka Felda, kami tidak mahu mengedarkan risalah-risalah yang tebal-tebal yang sarat dengan isu nasional dan antarabangsa, kerana peneroka-peneroka mestilah didatangi dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka.
Tindakan touch-and-go itu mengambil masa hanya 1 jam dan selepas itu petugas-petugas kami akan kembali semula ke markas, dan kami ulangi semula gerak-kerja pergi rumah ke rumah dengan jemputan ke Majlis Ceramah pada waktu malamnya.
Tenaga ini kami hantar juga ke Felda Jengka 25 dan Jengka 23 untuk mengedarkan risalah Warga Felda secara touch and go.
Sebelah petang kumpulan wanita pula akan pergi ziarah dari rumah ke rumah mengenal pasti peneroka-peneroka yang boleh menyokong dan mengundi PAS dan mengenalpasti pengundi-pengundi yang bermasalah seperti sakit dan sebagainya dan mengenalpasti mereka yang diatas pagar.
Mulai jam 5.00 petang, petugas-petugas khas pula akan membuat laungan menggunakan kenderaan untuk menjemput peneroka-peneroka keluar pada jam 9.00 malam untuk mendengar ceramah-ceramah yang diaturkan.
Selepas 28hb Februari 2011, kumpulan kami di Jengka 22 telah menjadi lebih besar apabila kumpulan yang telah menghadiri kursus selama 2 hari di Temerloh menyertai kami.
Saya menjangkakan dengan kehadiran kumpulan ini bersama dengan kehadiran wanita-wanita dari Kelantan dan Perak, kami boleh bergerak dengan lebih agresif di Felda Jengka 22. Rupa-rupanya, mereka berada diluar kawalan saya selaku Pengarah Pilihanraya, mereka mempunyai pimpinan sendiri dan tugas mereka pun bukan di Jengka 22. Mereka hanya makan dan tidur di Jengka 22, tetapi hakikatnya mereka bukan sebahagian dari tenaga di Felda Jengka 22, dan mereka pula menganggapkan apa yang dilakukan di Felda Jengka 22 itu adalah "same old story, tidak ada perubahan" dari segi mendapatkan pengundi-pengundi.
Amat terasa saya dan petugas-petugas di Felda Jengka 22 kerana kami bolehlah diklasifikasikan sebagai menggunakan sistem "kolot"; selain daripada Wanita Perak yang selepas itu membantu kami di Felda Jengka 22, kumpulan "ahli kursus" itu tetap bertugas diluar kawasan Jengka 22.
Setiap malam kami mengadakan ceramah, tetapi bukan ceramah untuk ceramah. Ceramah kami adalah sebahagian dari kerja kami sepanjang hari dari jam 8.00 pagi dan disudahi dengan ceramah pada waktu malamnya.
Penceramah-penceramah yang didatangkan termasuklah Dato Seri Anwar Ibrahim, Dato Seri Wan Azizah, Tan Sri Khalid Ibrahim, YB Saifuddin Nasution,Dato Fauzi Abdul Rahman, YB Fuziah Salleh, YB Zuraida Kamaruddin, CheguBard, Shamsul Iskandar, Azmizam, Rebin Birham, Sabbaruddin (SU PKR N. Sembilan) dan ramai lagi pimpinan PKR Pusat yang didatangkan selain dari Timbalan Presiden PAS dan calon PAS.
Di dalam rancangan Felda Jengka 22 ini, kehadiran hanya bermula dari jam 9.45 malam, tetapi mulai 9.00 malam sudah mulai didatangi oleh para hadirin. Maka sayalah kena korbankan masa dan suara selama 30-45 minit menunggu kehadiran yang lebih ramai, dan seperti biasa ucapan saya berkisar hanya kepada masalah Peneroka Felda dan lebih khusus kepada isu-isu di Felda Jengka 22.
Pada 27hb Februari 2011, Dato Seri Najib Tun Razak telah hadir ke Jengka 22, puluhan bas dan ratusan kereta dari luar telah didatangkan untuk Majlis meraikan Dato Seri Najib.
Dato Seri Najib telah mengumumkan pengembalian baki wang cess sejumlah RM13,000.00 dengan membuat tiga pilihan kepada peneroka-peneroka seperti berikut:
Peneroka-peneroka boleh memilih untuk menerima bayaran RM13,000.00 dengan syarat peneroka-peneroka dikenakan bayaran BK setiap bulan ssebanyak RM650.00; peneroka-peneroka juga boleh memilih untuk menerima bayaran RM6000.00 dengan syarat membayar BK kepada Felda sebanyak RM550.00 setiap bulan; dan pilihan ketiga ialah Peneroka-Peneroka tidak mengambil apa-apa bayaran wang cess dengan syarat peneroka-peneroka kena membayar BK kepada Felda sebanyak RM400.00 sebulan.
Inilah jenaka zaman ini. Pertama sekali, mana bisa wang cess dikembalikan kepada peneroka kerana wang cess adalah wang yang terkumpul dari potongan harga produk khusus untuk tanam semula. Keduanya, kenapa pula wang cess yang kononnya dikembalikan tetapi Felda akan mengenakan bayaran BK yang beratus kali ganda dari wang yang diterima, suatu sistem yang jauh lebih teruk dari ALONG.
Inilah rasuah politik untuk mendapatkan undi peneroka-peneroka.
Walaupun rasuah politik dari UMNO ini begitu hebat, namun, lebih ramai peneroka-peneroka sudah menjadi lebih insaf dan sedar, dan didalam PRK ini, majoriti UMNO dapat dikurangkan di Felda Jengka 22, inilah rekod kegagalan UMNO untuk menguasai undi peneroka-peneroka.
Felda Jengka 22 telah menunjukkan jalan.
Kami pulang ke kawasan masing-masing dengan perasaan puas!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan