13 Februari 2015
Permergian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rahmatullah malam tadi adalah satu kehilangan besar buat parti politik itu dan tanah air.
Bekas Menteri Besar Kelantan itu dianggap sebagai pejuang Islam yang sentiasa tegas mempertahankan kepimpinan ulama dan pentadbiran Islam. Ketokohannya mentadbir Kelantan selama 23 tahun menyebabkan Allahyarham sentiasa disegani oleh kawan dan lawan dalam politik.
Pendirian dan ketegasannya dalam politik sentiasa dihormati oleh ahli-ahli Pas mahupun rakan-rakan dalam pakatan pembangkang. Allahyarham dianggap sebagai tokoh ulama dan pemimpin paling berpengaruh dalam Pas yang mendapat kepercayaan penuh ahli untuk memimpin parti itu.
Meskipun berbeza ideologi politik, Puteri UMNO mengagumi kepemimpinan Allahyarham kerana sikapnya yang sentiasa bersederhana dalam kehidupan dan menghormati sesiapa sahaja, walaupun berbeza fahaman politik.
Pemergian Allahyarham yang sentiasa memperlihatkan ketegasannya dalam memperjuangkan Islam tentu sekali amat dirasai oleh para pemimpin, ahli, penyokong Pas mahupun umat Islam keseluruhannya.
Puteri UMNO mendoakan semoga ahli keluarga Tok Guru, pemimpin dan ahli Pas serta umat Islam tabah menghadapi kehilangan ini. Semoga Allah memberkati perjuangan Allahyarham dan rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan