Perutusan Maulidur Rasul 1436 Hijrah
Tanggal 12 Rabiul Awal saban tahun pastinya membangkitkan rasa kerinduan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sambutan Maulidur Rasul tahun ini yang disambut dalam tahun baharu 2015 wajar dimaknai dalam konteks mencontohi kepemimpinan Rasulullah S.A.W sebagai asas pewujudan sebuah masyarakat dan negara yang madani melalui kepimpinan strategik.
Sirah Rasulullah S.A.W memperihalkan betapa kebijaksanaan Baginda selaku pemimpin masyarakat menyelesaikan perseteruan kalangan kabilah Arab Quraisy melalui peletakan Hajarul Aswad serta menggagas penggubalan Sahifah Madinah sebagai pemupukan ukhuwah Islamiyyah antara Ansar dan Muhajirin.
Keperibadian Baginda yang sederhana namun bersifat strategis dan ikonik jelas merupakan teladan terbaik bagi sekalian umat Islam. Inilah yang seharusnya dicontohi dan dimaknai oleh sekalian pemimpin Islam khususnya dalam meraikan jamak budaya tanpa mengkesampingkan nilai-nilai Islami yang bersifat sarwajagat.
Menguruskan kepelbagaian tidak harus bersandar kepada slogan dan cogankata semata-mata, tidak juga bersifat obses melulu pada agenda sempit dengan mengatasnamakan agama. Sebaliknya ia memerlukan kesungguhan dan pemaknaan yang betul ke atas prinsip-prinsip Islam yang akhirnya diterjemahkan dengan istiqamah, adil dan saksama.
Inilah cabaran terbesar kita: menyantuni kepelbagaian dan memimpin ummah dengan iktibar kepemimpinan Rasulullah S.A.W sebagai pedoman. Ini menepati penegasan Al-Quran menerusi Surah Al-A’raf ayat 157:
“Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Salam Maulidur Rasul 1436 Hijrah buat sekalian umat Islam Malaysia. Semoga Sambutan Maulidur Rasul tahun ini mengukuhkan kecintaan kita kepada Baginda seterusnya mengembalikan kita kepada fitrah Islami yang menganjurkan keadilan, kedamaian, dan kesederhanaan.
ANWAR IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan