“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat” – Surah Al-Hajj, Ayat 34
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafak ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah inayahNya maka diizinkan olehNya jua untuk kita kembali meraikan hari besar dalam Islam yakni sambutan Eiduladha bagi tahun 1435 Hijrah.
Pastinya sambutan Eiduladha saban tahun kita lalui dengan penuh rasa keinsafan: dengan sirah Ibrahim dan Ismail A.S yang memperihal kesiapsiagaan seorang bapa dan anak yang dengan penuh tawadhuk dan ikhlas melaksanakan perintah Allah SWT, meski nyawa dan darah galang gantinya.
Inilah falsafah ulung di sebalik ibadah korban: keikhlasan dan kesyukuran ke atas nikmat Ilahi yang kemudiannya dikembalikan dengan rasa tawadhuk demi mencapai redhaNya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang antara lain mafhumnya:
“Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.”
Falsafah yang sama juga tersirat di sebalik ibadah haji, yang menjadi pelengkap kepada Rukun Islam sebagai agama yang suci. Penyucian diri melalui proses dan fasa-fasa ibadah haji nyata sekali merupakan satu bentuk pemurnian akal dan jiwa melalui pemupukan elemen kebersamaan dan persaudaraan sesama Muslim. Realitinya, semua insan adalah sama di sisi Tuhan, tinggal lagi baik buruk akhlaknya dan juga tinggi rendah imannya yang menjadi sandaran.
Sambutan Eiduladha ini pastinya mendorong kita memaknai prinsip agung yang digagas oleh Islam: keadilan insani. Prinsip keadilan ini diulang sebanyak 56 kali di dalam Al-Quran, justeru kewajaran kita untuk menjamin keadilan, merai kepelbagaian dan menghormati perbezaan adalah sesuatu yang tidak boleh dikesampingkan. Ini telah Allah SWT tegaskan lewat Surah Al-Maidah Ayat 8:
"Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Inilah keindahan Islam yang diwariskan Rasulullah SAW kepada umat baginda. Kendatipun begitu dalam pada kita meraikan hari besar ini, kita terus menerus dihambat dengan agenda yang sedang menghenyak imej Islam di mata dunia, mengambil contoh isu ISIS yang hangat diperkatakan mutakhir ini. Matlamat sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip keadilan Islam malah mencemar imej Islam yang berselindung di sebalik agenda perjuangan Islam.
Rentetan kegagalan memahami Islam secara holistik, maka wujudlah persepsi yang salah sedemikian rupa, lantas mengesani kesyumulan Islam di mata khalayak. Inilah yang ditekankan oleh Almarhum Hasan al-Hudaybi, "Tegakkanlah Islam di dalam dirimu, nescaya ia tertegak di watanmu".
Tuntasnya, kembalilah kita kepada fitrah dengan memaknai Islam dan gagasan manusiawi yang terkandung dalam ajarannya. Moga Eiduladha yang akan diraikan mampu mencetus keinsafan kepada kita dalam menjaga ukhuwah sesama insan disamping kita memperkemas habluminallah.
Mewakili kepimpinan dan akar umbi KEADILAN seluruhnya, saya merakamkan ucapan Salam Eiduladha buat seluruh umat Islam di Malaysia. Moga ibadah korban yang kita sempurnakan mendapat tempat di sisi Ilahi, demikian juga buat jemaah haji Malaysia didoa agar selamat menunaikan ibadah haji dan selamat kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur moganya, inshaaAllah.
ANWAR IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan