OLEH ZULKIFLI YAHAYASUASANA sangat tidak menggembirakan para pendukung dan penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara apabila kita dipaksakan dengan satu babak konflik politik yang berpanjangan.
Seluruh mata bertumpu kepada karenah para pemimpin Pakatan. Isu besar di mata rakyat bukan siapa layak jadi Menteri Besar Selangor. Tidak juga isu berkaitan para pemimpin Pakatan, sikap, ketegasan, toleransi atau apa-apa yang berkaitan dengan hukum hakam. Di mata rakyat, isunya ialah keupayaan Pakatan mengurus konflik. Ahli akademik tidak perlu membuat kajian lapangan untuk mencerap berjaya atau gagal Pakatan mengurus konflik. Dengan sebelah mata kasar, semua pihak boleh membuat kesimpulan berasaskan persepsi bahawa konflik telah gagal diurus! Tempoh mengurus konflik telah melepasi tarikh luput.
Musuh politik Pakatan, BN sangat berharap konflik ini terus berpanjangan. Mudah mereka memberitahu rakyat, "Tengok, baru perintah negeri sudah kelam kabut, macam mana nak perintah negara." Persepsi itu mampu terpahat kukuh di pemikiran rakyat kerana ia berserta bukti.
Bahaya yang menanti ialah persepsi itu yang akan dibawa ke hadapan untuk diterjemahkan di peti undi dalam pilihan raya.
Pakar pengurusan konflik, Datuk Mujahid Yusof Rawa menjelaskan bahawa politik secara pakatan memang dinamik dan rapuh. Konflik dalam parti politik boleh tercetus dengan pendekatan politik pakatan atau lebih selesa disebut tahaluf.
"Oleh sebab politik Malaysia adalah 'ideological base' maka ia menjadi semakin sukar. Menjadi semakin sukar dalam suasana ini apabila kepimpinan tidak urus konflik 'intra-party' dan sekali gus membawa kepada 'inter-party'," ulasnya.
Mujahid mencadangkan langkah awal dalam mengatasi konflik ini iaitu, berhenti tuduh-menuduh dan serang menyerang 'dalaman' dan 'luaran' parti yang bertahaluf. Penegasan yang sangat penting ialah pemimpin tertinggi parti yang bertahaluf wajib bertemu tanpa lengah.
Mujahid adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Ironinya, pakar pengurusan konflik itu tidak dapat melihat konflik tamat dengan segera. Serangan antara pihak dalaman dan antara parti berterusan juga. 'Nangoi-nangoi' bawahan usah dikira, terus berperang di alam maya.
Pengkaji pengurusan konflik, Kirchoff dan Adam, menghuraikan empat keadaan di mana konflik terjadi iaitu persekitaran stres (tekanan) yang tinggi, peranan dan tanggungjawab yang kabur, situasi di mana terdapat ramai ketua (bos) dan kewujudan teknologi yang canggih. Pemikiran tersebut yang dicetuskan pada 1982 mendahului zaman kerana kewujudan teknologi canggih, khususnya ICT pesat di masa mutakhir ini. Teknologi canggih itulah yang banyak memburukkan keadaan dalam konflik.
Lagi pengkaji konflik, Filley (1975), menjelaskan bahawa terdapat juga kesan positif apabila berlakunya konflik iaitu dapat menyekat atau mengurangkan terjadinya konflik yang lebih serius, menggalakkan pencarian kepada fakta-fakta baru atau jalan penyelesaian dan menilai keupayaan individu khususnya pemimpin. Namun bahana negatif dari konflik adalah lebih banyak dan lebih buruk.
Menurut Hellriegel dan rakan-rakan (2001), pengurusan konflik mengandungi proses-proses diagnostik, gaya-gaya interpersonal, strategi-strategi perundingan, dan kaedah-kaedah lain yang mana direka untuk mengelakkan sebarang konflik yang tidak diperlukan dan mengurangkan atau menyelesaikan konflik yang berlebihan. Kebolehan untuk memahami dan mengdiagnos konflik dengan betul merupakan satu perkara penting untuk mengurus konflik.
Sepatutnya kita rasa malu untuk menyenaraikan idea pakar pengurusan konflik Barat kerana isu yang berlegar sekarang adalah berkaitan dengan batang tubuh parti Islam yang sedang bertahaluf dengan parti-parti lain. Tiada yang lebih hebat daripada jalan penyelesaian Islam. Namun retorik itulah yang disebut berulang-ulang lebih 1,000 tahun lalu, sejak bermulanya Perang Jamal dan Siffin. Hingga kini, konflik yang melibatkan umat Islam, parti dan jemaah Islam tidak juga berakhir. Lepas satu, satu. Islam tidak salah tapi yang salahnya kaedah Islam hanya diretorikkan semata-mata, tidak digunakan.
Dr Mujahid menegaskan, satu acara penting ke arah menghentikan konflik ialah setiap parti daripada rakan yang berpakat wajib mengawal partinya untuk tidak memburukkan keadaan. Itu kaedah Islam sebenarnya. Islam tidak benarkan umatnya menghina sembahan orang kafir sekalipun, kerana implikasinya akan berlaku tindak balas. Maka konflik jadi tidak selesai akan berterusan. Nah, kalau etika Islam dipatuhi tidak ada orang yang membuat sidang media, memanggil media talibarut pihak lawan yang selama ini kita benci habis-habisan, untuk menyerang pula rakan sekutu dalam Pakatan. Pihak yang diserang pula akan buat perkara serupa. Bila konflik akan berakhir?
"Semua pihak berpakat perlu melihat objektif besar pakatan untuk membawa perubahan politik baru dan apa sahaja yang menghalang matlamat ini perlu dihentikan segera," tegas Mujahid. Hukum aulawiyatnya begitu. Jangan dilayan nafsu serakah untuk berdendam dan melepas geram sesama sendiri.
Cukup-cukuplah dengan apa yang dilalui. Semoga Allah memberi jalan terbaik agar konflik ini ditamatkan. PAS kembali bersatu dan persefahaman Pakatan kembali mantap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan