HARAKAH KEKAL TANGGUNGJAWAB ISTIQAMAHNYA
Muhammad Nuruddin Bashah
Pasca Muktamar Pusat, atau pun sebelumnya, saya tidak berminat menulis dan mengulas isu konflik secara terbuka. Apabila membaca Harakah keluaran beberapa minggu lalu, saya tertarik dengan sisipan Fikrah yang mengenengahkan fungsi dan kemampuan Harakah sebagai medan dakwah dan siasah yang baik. Saya fikir ada baiknya saya menulis serba sedikit kenangan indah saya bersama akhbar rasmi PAS ini. Harakah adalah akhbar yang kekal bertanggungjawab secara ISTIQAMAH hingga kini.
Setiap gerakan Islam yang hebat pasti ada wadah media yang menjadi proksi aau lidah rasmi yang mengiringi perjuangan mereka. Akhbar, majalah, jurnal atau risalah adalah antara bahan utama yang membantu gerakan Islam sejak awal gerakan muwajahah silmiyyah diperkenal oleh Ikhwanul Muslimin. Teringat saya kisah indah kehebatan akhbar-akhbar Ikhwan yang dinukilkan oleh Dr Yusuf Al Qaradhawi di dalam buku Aku Dan Al Ikhwan Al Muslimun. Akhbar Al Ikhwan bukan sahaja dijadikan bahan dakwah dan agenda siasah Ikhwan, malah ia diambil kesempatan pula oleh Imam Hassan Al Banna untuk menulis secara berkala dengan membawa agenda tarbiah sebagai agenda besar. Kuliah setiap hari selasanya dijadikan Risalah Selasa dan juga dimaktubkan di dalam akhbar Ikhwan.
Hal ini bagi saya tidak pelik malah ia juga amalan di Malaysia, Mursyidul Am PAS dan Presidennya tidak kering idea dan ilmu untuk terus menulis secara ISTIQAMAH dalam kolum khas nasihat dan tafsir mereka masing-masing. Malah jika tidak salah saya, Presiden kita Dato' Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang telah mengulas tafsir dalam kolumnya sebelum menjadi presiden lagi. Inilah pengiktirafan berterusan Harakah kepada generasi ulama' dan tuan guru-tuan guru berkaliber yang ada di dalam PAS. Kolum itu menjadi kegemaran saya dan saya secara berkala masih mengumpul dan meneliti bahan-bahan kedua Tuan Guru itu. Kepada mahasiswa atau aktivis yang bukan aliran agama, bahan seperti ini sahaja pun mampu menyebabkan anda berkebolehan untuk bertazkirah jika anda memanfaatkan tulisan -tulisan ini.
Saya tertarik dengan saranan Haji Ishak Surin YDP Kawasan Batu yang menyarankan agar golongan yang 'berada' atau berkemampuan untuk membeli Harakah dan menajanya untuk diedar kepada para pengundi, penyokong atau pihak yang tidak mengundi PAS. Bahan dalam Harakah sarat dengan isi 3 elemen Tarbiah, dakwah dan siasah. Ia mampu melunak hati yang keras untuk menerima kebenaran. Persoalannya ia perlu dibaca dengan 'ISTIQAMAH' dan itulah peranan kita memastikan bahan ini secara konsisten sampai ke tangan mereka. Saranan YDP Batu itu tidak baru, suatu ketika YB Ustaz Idris Ahmad juga pernah menyarankan untuk ahli PAS meletak Harakah di rumah-rumah pengundi dan kedai-kedai kopi untuk dijadian bahan sembang, bahan diskusi semasa 'mengeteh atau mengopi'. Semasa saya menjadi Ketua Penerangan MTD Sungai Rapat sepanjang pilihanraya yang lalu, saya pernah membuat kertas kerja khas bagaimana UPU perlu menyahut seruan Ustaz Idris yang telah beliau bentang dalam Liqa' Fikri PAS Perak sebelum itu malah saranan itu juga dimuatkan dalam artikel tetap Ustaz Idris dalam Harakah. Alhamdulillah ada UPU yang menyahut seruan dan memandang penting agenda ini.
Suatu ketika pasca pemecatan DSAI, Harakah menjadi terlalu laris bagaikan ikan yang naik ke darat sebelum tsunami. Saya menghayati fenomena itu kerana saya antara penjual Harakah sekitar tahun 1998 hingga 2002. Bapa saya sebagai pesara guru telah memiliki sebuah kedai ubatan tradisional dan kitab telah menjadikan Harakah sebagai salah satu bahan jualan kami. Untung tidak ke seberapa tetapi kepuasan memberi bahan yang amat ditagih ketika itu cukup terasa. Mungkin itulah perasa pengedar dadah, berasa puas memberi bahan tagih kepada para penagih, jika boleh diumpamakan. Kami terpaksa menunggu bekalan Harakah di Taman Brown Pulau Pinang daripada Pak Ibrahim (pengedar tahun-tahun itu). Kami juga terpaksa menjadi tukang angkut kepada pengedar Harakah lain yang tidak sempat ke Taman Brown setiap kali keluaran muncul. Harga ketika itu adalah RM 1.30. Sekaligus hubungan kami sesama penjual menjadi erat.
Pembeli Harakah ketika itu ada yang berseloroh, 'dadah dah sampai belum, kami gian dah ni'. Dalam zaman yang belum dipengaruhi sihir media sosial dan gajet, akhbar cetak seperti Harakah menjadi tumpuan dan ia paling terserlah berbanding akhbar pembangkang lain.
Ada yang ingin menjadi pengedar 'segera' mengambil bekalan kepada kami tanpa mahu mengambil untung dan dijual dengan harga yang sama. Fenomena apakah ini? Ya para petugas PAS ketika itu sanggup menjadi kaki tangan Haraah secara tidak rasmi kerana Harakah benar-benar memacu GERAK, Reformasi dan segala kebangkitan ketika itu.
Kami jual hingga ke pasar tani dan pasar malam. Hari ini kita tidak lihat lagi suasana menjual harakah secara gerai ke gerai. Saya pernah melakukannya apabila Harakah Isnin tiba, kami yang juga memiliki gerai di Pasar Tani Ahad di Balik Pulau, mengelek Harakah untuk dijual dari orang ke orang, gerai ke gerai ala-ala 'salesmen' kerana Harakah dikehendaki segera oleh pembaca. Ayat 'Harakah satu', mai aku punya satu, 'bagi stok lebih sikit' adalah ayat yang saya masih ingat semasa menjual ala 'salesmen' dahulu. Ada juga yang 'nakal'. Melempar Harakah yang saya hulur di hadapan saya. Oh ya ketika itu penyokong Dr Mahathir kan masih ada. Mereka cukup bencikan Harakah.
Apabila fenomena Harakah dikesan juak-juak Dr Mahathir maka beliau geledah dan rampas Harakah sesuka hati. Stok tergencat banyak kali. Ramai yang marah-marah pengedar seperti kami. Harakah dijadikan keluaran 2 kali sebulan! Tidak masuk akal dan harga menjadi RM 2.50. Harakah cukup tebal dan tidak mampu membuat liputan semua berita kena semuanya hangat dan panas. Harakah kembali normal cuma harga tidak kembali ke RM 1.30. Harga RM 2 cukup murah bagi anda memiliki JURNAL HARAKI seperti Harakah.
Harakah bermaksud gerakan. Secara bahasa dan istilahnya, Harakah memang telah terbukti menjadi akhbar gerakan dan ia bergerak secara ISTIQAMAH. Merujuk Tema Ucapan Rasmi Presiden PAS baru-baru ini, 'Terus ISTIQAMAH', Harakah telah lama berISTIQAMAH dalam membawa mesej lidah jamaah. Dalam mengharungi krisis MB Selangor, Harakah menjadi lidah yang mengembali fokus, tidak bersifat batu api sepertimana sihir media sosial, terus membawa isu kepincangan Barisan Nasional, mengenengah isu ekonomi, mustadhafin dan luar negara walaupun krisis kelihatannya lebih diminati oleh ahli PAS. Tidak hairan portal talian, meda sosial lebih diminati ahli PAS berbanding Harakah saat ini kerana Harakah tidak mengapikan krisis.
Saya teringat kata-kata Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman dalam Persidangan ICT & Media Baru 2011di KUIZM, beliau menegaskan media sosial dan media alternatif bukan mukjizat yang boleh membangkitkan rakyat atau mencorak sesuatu revolusi. Ia hanya menghebahkan dan menyemarakkan maklumat sahaja tanpa ada etika jurnalism dan etika kewartawanan yang berkesan. Tiada nilai pertanggungjawaban dalam menghebah atau menulis di media sosial. Inilah bezanya dengan Harakah. Kenyataan dalam talian cukup pantas dan segera kadangkala tidak melalui proses perenungan matlamat, faktor luaran dan kesam akibat sesuatu penulisan. Tidak seperti akhbar terbit /cetak yang terpaksa melalui proses demi proses sebelum dicetak. Kerana itu tulisannya matang.
Saya menjadikan Harakah sebagai materi utama dalam kerja news monitoringsaya saban bulan. Sejak tahun 2007 hingga kini koleksi buku skrap pemantauan isu telah berpuluh-puluh dan isi perutnya kebanyakkan daripada Harakah. Kerja research dan meneliti isu secara belakang tabir yang saya lakukan beberapa tahun lalu untuk beberapa pemimpin jamaah juga mengambil manfaat daripada kerja news monitoring yang saya lakukan tanpa mengira jawatan, masa dan tanpa arahan sesiapa. Ia hobi, minat dan kesungguhan yang terbit kerana saya tida tergamak me 'let go' Harakah lama saya sebagai pembalut nasi lemak dan kepada pihak recycle paper sebelum saya membedah isi Harakah itu.
Bak kata Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dalam video biografi yang saya tonton beberapa tahun lalu, kata beliau Harakah umpama jurnal dan bahan separa akdemik ilmiah yang padat. Membacanya perlu teliti dan bersungguh. Jika membaca dan meneliti Harakah Insya Allah manfaatnya akan dirasai. Itulah antara ungkapan Mursyidul Am dalam video berkenaan jika saya tidak tersilap ingat.
Sejak mendengar ucapan itu, saya cuba mengajar diri saya membaca dengan tekun isi Harakah.
Agenda tarbiah juga telah lama menjadi agenda besar Harakah. Kolum dua Tuan Guru kita, kolum Ustaz Zainuddin Hashim, Abdul Shukor Harun, dan Kolum Ustaz Idris Ahmad. Tetapi adakah ia menjadi bahan bacaan 'ISTIQAMAH' ahli PAS. Adakah ahli PAS menitik beratkan menjadikan kolum ini sebagai bacaan wajib dalam usrah-usrahnya?
Jika di sekolah adalah majalah dalam darjah, ada akhbar dalam darjah, apa salahnya dalam usrah iaitu bilik darjah dalam jamaah diadakan akhbar dalam darjah iaitu Harakah? Saya yakin Harakah belum dimanfaat sepenuhnya oleh ahli dalam medan diskusi. Hal inilah yang mengganggu keseimbangan 3 elemen pemusatan kerja dalam jamaah. Elemen tarbiah menjadi dingin, lesu, malap dan mandom. Saban muktamar mengumandang idea tarbiah yang dinamik tetapi hakikatnya agenda mudah membedah Harakah pun belum mampu diISTIQAMAHkan oleh ahli dan para naqib dalam PAS bagaimana ingin dinamik lagi?
Presiden TERAS Cikgu Hj Azmi Abd Hamid ada mengulas bahawa Harakah telah menjadi media mainstreem. Saya juga mengikuti pemikiran dan kerja buat beliau dalam NGO MAPIM di Utara. Beliau antara pembaca Harakah yang tegar, setegar dua Tuan Guru kita yang membaca Harakah walaupun di dalam wad.
Ia kekal mainstreem sudah berdekad usianya sejak tahu 1987. Sejarah menyaksikan akhbar kebangkitan rakyat lain tidak mampu kekal seperti Al Imam, Pengasoh, Neracha dan juga zaman kita ini bebrapa nama akhbar yang tidak perlu kita nyatakan namanya telah terpadam penerbitannya. Mungkin kita boleh berkata akhbar islamis yang diharam berkenaan dilakukan oleh penjajah dan Harakah muncul di zaman moden 1980an. Tetapi realitinya Harakah bertahan dan ia mampu kekal. Faktor utama adalah ia akhbar yang berpenyokong. Semasa saya menulis untuk Era Pakatan sekitar tahun 2009, akhbar yang mulai naik nama itu padam di pertengahan jalan. Ia tiada pendokong yang mahu membelanya semasa aktiviti 'penyaun' mengeledah dan merampas naskhah Era Pakatan ketika itu. Mereka rugi ribuan ringgit. Maka perlu kita sedarkan kepada para ahli dan penyokong label akhbar untuk ahli PAS sahaja jangan dianggap sebagai ancaman Akta Cetak sahaja. Anggaplah ia satu motivasi bahawa ahli PAS perlu muhasabah kerana masih ramai ahli PAS yang tidak berselera membaca Harakah akhbar jamaah sendiri malah lebih gemar membaca akhbar rakan Pakatan Rakyat yang lain walaupun ia tidak menjadi kesalahan.
Saya mendoakan Harakah terus ISTIQAMAH dan kekal dalam perjuangan memartabat Islam dan rakyat di Malaysia.
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK DPP Sungai Petani
Timbalan Ketua Penerangan DPP Negeri Kedah
Ahli PAS
Jitra 8.54 pagi
20 September 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan