DUNGUN, 9 Ogos 2014 - Rata-rata di kalangan wakil rakyat mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri bersama rakyat masing-masing.
ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik turut mengadakan majlis tersebut yang berlangsung bermula jam 10.00 pagi hingga jam 2.00 petang di perkarangan kediaman beliau, di sini, hari ini.
Di laluan pintu masuk ke perkarangan kediaman beliau diletakkan bendera Israel untuk dipijak oleh para tetamu yang hadir kemudian ianya dibakar sebagai simbolik menunjukkan protes di atas kebiadapan rejim zionis yang melakukan serangan tidak berperikemanusiaan di Gaza.
"Kita menerima baik cadangan yang dikemukakan oleh pihak Pemuda PAS DUN Sura, supaya bendera rejim zionis diletakkan di laluan masuk ke perkarangan lokasi majlis ini untuk dipijak oleh para tetamu yang hadir seterusnya dibakar sebagai menunjukkan protes terhadap sikap biadap rejim ke atas saudara seIslam di Gaza, "
"Sebelum ini, kita turut menghulurkan sumbangan kewangan yang disalurkan melalui PAS Kawasan Dungun sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa saudara kita di sana, " ujar beliau ketika melayan tetamu yang hadir.
"Di samping kita menyambut Hari Raya sewajarnya kita jangan lupa kepada saudara kita di Gaza yang masih terkepung dengan serangan ganas rejim zionis, kita doakan saudara kita di sana terus diberi kekuatan dan kemenangan oleh Allah S.W.T., insyaAllah, " tambah beliau lagi.
Majlis yang dihadiri oleh lebih tiga ribu orang itu turut dikunjungi oleh Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan isteri serta pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari golongan warga Tionghua.
Golongan kanak-kanak diraikan dengan penyediaan aiskrim percuma dan agihan duit raya.
Acara pembakaran bendera zionis Yahudi dilakukan di waktu puncak majlis dan disempurnakan bersama oleh Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan ADUN Sura sendiri diiringi laungan takbir oleh para hadirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan